FilemTerkini

Kerana Korona Angkat Kisah Konflik Kekeluargaan, Mesej & Nilai Murni Di Sebalik Kehidupan Semasa PKP

Tahun 2020 merupakan tahun yang sukar untuk dunia, Astro Shaw terus memainkan peranannya dalam membawakan konten baru dan berkualiti bagi memberikan kepuasan kepada penonton serta merancakkan lagi industri filem tempatan meskipun pada waktu yang mencabar ini.

Kini dengan melangkah ke tahun 2021, mereka tampil dengan sebuah filem yang diinspirasikan daripada latar sebenar iaitu semasa Malaysia dalam situasi pandemik COVID-19.

Filem Kerana Korona mempersembahkan tiga cerita yang mempunyai pertalian dengan satu harapan. Bakal menemui penonton Di Pawagam Rumah Anda, Astro First mulai 21 Januari 2021, ia merupakan filem di bawah arahan pengarah filem pecah panggung, Sangkar (2019) iaitu Kabir Bhatia.

Apa yang menarik, menerusi Kerana Korona, ia akan membawa penonton lebih menghayati nilai murni serta melihat dari sudut positif di sebalik PKP. Seperti babak keluarga menyaksikan hakikatnya PKP memberi peluang untuk mereka memperbaiki serta lebih mengeratkan lagi hubungan bersama orang tersayang.

Bukan itu sahaja, bagi babak di kampung yang ditonjolkan, mesej yang cuba disampaikan adalah apabila terjadi PKP ia membuatkan masyarakat Malaysia lebih bersatu membantu antara satu sama lain agar dapat sama-sama meneruskan perjuangan dalam waktu getir.

Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, Kerana Korona diinspirasikan berdasarkan latar sebenar iaitu ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dalam bentuk filem dengan mengangkat kisah serta konflik berbeza yang mana ia sememangnya terjadi dalam kalangan penonton di luar sana.

“Menariknya, cerita sebegini tidak pernah lagi difilemkan. Maka, diharap menerusi Kerana Korona sedikit sebanyak ia mampu mengingatkan penonton bahawa meskipun kita berada dalam tempoh sukar, sentiasalah hargai orang di sekeliling, terutamanya keluarga tersayang kerana setiap mereka mungkin sedang melalui pergolakan masing- masing.

“Kini, memandangkan sebahagian daripada rakyat Malaysia perlu menempuhi sekali lagi tempoh PKP, lalu kami merasakan sekarang adalah masa yang tepat untuk filem dengan tema sebegini menemui penonton bagi mengisi masa mereka dengan menonton bersama keluarga dan terus kekal berada di rumah,” ujarnya.

Kerana Korona tampilkan tiga kisah yang mempunyai pertalian di mana Zati tidak bahagia bersama Razman. Anak mereka Harun yang mempunyai cita-cita sebagai jurufoto, namun impiannya dipandang rendah oleh Zati dan Razman. Bosan kerana melihat ibu bapanya sering bertengkar, Harun mula keluar secara sembunyi ketika PKP bersama Maya. Manakala, adiknya Bob berusaha menyediakan aktiviti di rumah untuk Zati dan Razman agar mereka berbaik.

Kisah kedua pula menyaksikan tentang seorang doktor bernama Janna yang berdepan dengan dilema tanggungjawab dan pendirian. Manakala, kisah ketiga mengenai warga emas, Leman yang keras kepala dan abaikan prosedur operasi standard (SOP) sehingga merisaukan jirannya Leila. Sementara itu, Leila hidup kesunyian dan tidak berhubung dengan anaknya, Razman.

Sarat dengan emosi, setiap babak telah dijayakan dengan begitu baik oleh pelakon-pelakon hebat tanah air seperti Rita Rudaini, Rashidi Ishak, Ummi Nazeera, Shasha Abedul, Datuk Jalaludin Hassan, Fatimah Abu Bakar, Idan Aedan, Umar Shakur dan Anwaar Beg Moghal.

Lebih menarik lagi, ini juga merupakan gandingan semula Rita Rudaini dan Rashidi Ishak sebagai pasangan suami isteri selepas filem Cinta (2006).

Saksikan filem Kerana Korona yang akan berada di pawagam rumah anda, Astro First, untuk melanggan sila ke saluran 480. Anda juga boleh strim Kerana Korona di Astro Go atau On Demand. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button