EventHiburan

Konsert Innuendo – The Return Akan Diteruskan Tanpa Reymee

Setelah agak lama tidak membuat kemunculan bersama, kumpulan R&B yang cukup digilai remaja sekitar 90-an, Innuendo bakal mengadakan konsert pada 10 April ini.

Dikenali sebagai konsert Innuendo – The Return dan akan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, namun ia hanya akan menampilkan tiga orang anggota asalnya sahaja iaitu Shamsul Azhar Nazeer (Sam), Ahmad Tajuddin Mohamed Tahir (Taj) dan Saiful Amir Abdul Wahab (Pot).

“Sebenarnya kami ada mengajak seorang lagi anggota kumpulan ini iaitu Reymee, namun dia membuat keputusan untuk tidak turut serta kerana mahu memberi tumpuan kepada keluarga dan perniagaannya sekarang.

“Jadi, kami menghormati keputusannya biarpun setahun kami cuba memujuknya. Apa pun, konsert ini akan tetap diteruskan oleh kami bertiga sahaja,” ujar Sam yang mewakili kumpulan berkenaan ketika pelancaran konsert tersebut.

Ditubuhkan sekitar tahun 1992, Innuendo sangat dikenali ramai menerusi lagu-lagu seperti Belaian Jiwa, Gemawan, Ratu Hati dan Selamanya.

Bercerita lebih lanjut mengenai konsert anjuran Shiraz Projects Sdn. Bhd., Sam memberitahu sebanyak 26 buah lagu yang akan dipersembahkan termasuk medley.

“Semasa konsert itu nanti juga kami akan mempersembahkan sebuah lagu istimewa yang telah dibuat remake semula iaitu lagu Kau Ilhamku,” jelasnya.

Bagi yang ingin menonton konsert berkenaan, tiket-tiket sudah mula dijual dengan harga RM695 (meet & greet), RM355 (diamond), RM255 (platinum) serta RM125 (gold) dan ia boleh dibeli menerusi laman web www.myticket.asia. – KopiPlanet.com.

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button