• FOLLOW US
Event, Hiburan

Konsert Kedua Di Malaysia Imbas Memori Tulus Dalam Bidang Nyanyian

Kali pertama mengadakan konsert di Istana Budaya pada tahun lalu, ternyata penyanyi Tulus mendapat sambutan yang cukup hangat serta jualan tiket yang sold out.

Bagi mengubati kerinduan peminat-peminatnya di Malaysia, Tulus kembali beraksi di negara ini menerusi konsert TULUS SEWINDU TOUR – KUALA LUMPUR 2019.

Ia sekali lagi dibawakan oleh Shiraz Projcts Sdn. Bhd. bersama syarikat rakaman Tulus sendiri iaitu TULUSCompany bersempena meraikan kehadirannya selama lapan tahun dirinya dalam industri seni dengan Sewindu membawa maksud lapan tahun dalam Bahasa Indonesia.

Mengadakan persembahan di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 3 Ogos lalu, penyanyi tersebut nyata berhasil menghiburkan seramai 2,500 peminat yang hadir.

Selain peminat, antara yang turut hadir adalah beberapa artis ternama tanah air seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Fazley Yaakob, Nabila Huda, Sherry Alhadad dan ramai lagi.

Konsert yang bermula pada pukul 9 malam itu menyaksikan Tulus membuka acara dengan persembahan lagu Overture, sekaligus mula menghangatkan pentas dan dimeriahkan dengan sorakan penonton.

Pada malam itu, Tulus mempersembahkan sebanyak 25 buah lagu secara keseluruhannya dalam persembahan yang berdurasi kira-kira dua jam.

Antara lagu-lagu yang dipersembahkan adalah barisan lagu dari single terbarunya hinggalah kepada lagu-lagu hits melalui album-albumnya termasuk ‘Gajah’, ‘Pamit’ ‘Sewindu’ dan ‘Monokrom‘.

Bagi memastikan suasana konsert lebih ceria, Tulus banyak melakukan interaksi dengan peminat, termasuk menceritakan perjalanan kariernya sebagai anak seni selama lapan tahun.

Istimewanya, semasa konsert itu juga, peminat turut dihiburkan dengan persembahan lagu-lagu medley Minang, sesuai dengan asal penyanyi berkenaan yang lahir di Bukit Tinggi, Indonesia.

Secara keseluruhannya, konsert yang berlangsung itu nyata tidak mengecewakan, biarpun rata-rata peminat seperti tidak puas setelah Tulus menutup persembahannya menerusi lagu hitsnya iaitu Manusia Kuat. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend