• FOLLOW US
Event, Hiburan

Kumpulan Legenda Lefthanded, Ramli Sarip Bakal Gegarkan Singapura

Selama empat dekad mewarnai persada seni hiburan tanah air menjadikan Lefthanded sebagai sebuah kumpulan rock terkenal dan terhebat di Malaysia.

Malah, kehebatan kumpulan tersebut bukan sahaja di negara sendiri, malah turut menjangkau sehingga ke negara seberang tambak iaitu Singapura.

Bersempena dengan kehadiran tahun 2020, Lefthanded baru-baru ini telah mengumumkan konsert berskala besar yang akan berlangsung di negara jiran tersebut pada 7 Mac ini di Capitol Theatre.

Pengurus Besar OG Offgrid Projects, Idi Qalif Taha selaku penganjur berkata, konsert ini diadakan bertujuan sebagai penghormatan dalam meraikan ulang tahun Lefthanded yang ke 40 tahun.

“Kami di OG Offgrid Projects telah mengambil keputusan untuk menjadikannya lebih istimewa dengan menyatukan Datuk Nash dan Man Kidal bersama ‘sifu’ mereka iaitu Datuk Ramli Sarip. Tujuan kami memilih Capitol Theatre sebenarnya bertitik tolak daripada sejarah bangunan itu sendiri dan kawasan sekitarnya yang dahulunya amat sinonim dengan ‘Rock Kapak’ ketika era 80an hingga 90an.

“Maka, tujuan kami tidak lain tidak bukan adalah untuk mengembalikan nostalgia Lefthanded dari zaman kasut Aliph dengan imej rambut kembang dan seluar ketat melewati sejarah penubuhan mereka yang kini berusia lebih empat dekad,” ujarnya dalam satu sidang akhbar baru-baru ini.

Ujarnya, satu sejarah juga bakal tercipta memandangkan menurut rekod, belum ada pemuzik Melayu yang pernah mengadakan konsert atau pernah membuat persembahan di pentas sehebat dan seagung Capitol Theatre yang telah dibangunkan sejak tahun 1929.

“Ternyata Lefthanded bakal mencipta sejarah itu. Justeru, para peminat mereka tidak seharusnya melepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada sejarah ‘Never Before, Never Again’ ini,” ujarnya.

Sementara itu, Man Kidal yang mewakili ahli kumpulan berkata, mengikut perancangan asal konsert berkenaan akan diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri, tetapi sudah menjadi rezeki apabila ia berlangsung lebih awal.

Menurutnya, mereka sudah berbincang dengan penganjur sejak tiga bulan lalu dan akhirnya kata sepakat dibuat apabila 7 Mac dipilih sebagai tarikh konsert.

“Untuk konsert berkenaan nanti ia akan berlangsung selama lebih dua jam dan kami pasti ia akan memberikan kenangan dan memori tersendiri buat peminat.

“Mengenai pemilihan Datuk Ramli Sarip pula, ia dibuat kerana beliau banyak memberi sokongan menerusi lagu-lagu dan hala tuju Lefthanded serta menjadi penerbit. Apatah lagi, kami juga memang meminati kumpulan Sweet Charity dahulu,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ramli berkata ia adalah satu penghormatan apabila bergandingan dengan Lefthanded dan memberikan sepenuh sokongan untuk konsert ini.

Ujarnya, selain bertindak selaku penerbit untuk album Lefthanded, hubungan mereka sangat akrab dan masing-masing pernah tinggal serumah kira-kira 30 tahun lalu.

“Semasa aktif bersama Sweet Charity, saya sebenarnya mempunyai impian untuk mengadakan persembahan di Capitol Theater. Kini, impian tersebut tercapai biarpun berkongsi pentas dengan Lefthanded,” jelasnya.

Bagi yang ingin menyaksikan konsert berkenaan, boleh dapatkan tiket di www.ogoffgrid.com pada harga SGD88, SGD108, SGD138 (duduk barisan atas – Dress & Circle) dan SGD148 (duduk barisan hadapan – Stall).

Untuk peluang bertemu ahli band Lefthanded secara dekat pada hari konsert, pemegang tiket hanya perlu menambah SGD50, termasuk T-shirt dan Tote Bag percuma serta terhad kepada 100 peminat sahaja.

Untuk Maklumat lanjut https://www.facebook.com/ogoffgridprojects/ dan https://www.instagram.com/ogoffgridprojects/.
LEFTHANDED – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend