Bukan calang-calang penangan drama Suamiku Anak Mak apabila potongan babak yang dikongsikan di media sosial pun sudah cukup membuatkan penonton beremosi, termasuk penyanyi Shila Amzah yang mengakui tidak mempunyai kesabaran untuk mengikuti drama berkenaan.
Menerusi perkongsian di akaun Threads miliknya, Shila meluahkan perasaan selepas melihat beberapa sedutan drama yang kini hangat diperkatakan dalam kalangan netizen.
“Tak cukup sabar utk tgk cerita “anak mak”ni. Lalu-lalu snippets kat thread pun dah boleh buat naik hormon cortisol,” tulisnya.
Kenyataan spontan itu nyata mencuit perhatian kerana menggambarkan betapa kuatnya kesan babak dalam drama berkenaan terhadap emosi penonton, meskipun hanya menyaksikan potongan pendek yang tular di media sosial.
Mak Leha dan Haris buat penonton hilang sabar
Bukan Shila seorang yang berasa demikian, malah ruangan komen media sosial turut dibanjiri reaksi penonton yang meluahkan rasa geram terhadap gelagat watak Mak Leha, lakonan Dian P. Ramlee, serta Haris yang dibawakan oleh Keith Foo.
Antara komen yang mencuri perhatian termasuklah “Mertua dari neraka”, “Keluarga toksik” dan “Suami lembik”, yang menggambarkan kekecewaan penonton terhadap konflik antara watak-watak utama drama berkenaan.
Watak Mak Leha khususnya menjadi perhatian apabila tindakannya mencetuskan ketegangan dalam kehidupan rumah tangga anaknya, Haris, sekali gus menguji kesabaran Zaraa yang dilakonkan oleh Emma Maembong.
Sementara itu, Haris turut menjadi sasaran kritikan apabila penonton mempersoalkan pendiriannya dalam mengimbangi tanggungjawab terhadap ibu dengan peranannya sebagai seorang suami.
Reaksi tersebut membuktikan bahawa konflik yang dipaparkan berjaya mencetuskan perbincangan dalam kalangan penonton, khususnya mengenai hubungan ibu mentua dengan menantu dan tanggungjawab seorang suami selepas berkahwin.

Kisah ‘anak mak’ yang dekat dengan realiti
Menariknya, kekuatan Suamiku Anak Mak bukan hanya terletak pada konflik yang mencetuskan kemarahan penonton, tetapi juga pada isu kekeluargaan yang dekat dengan kehidupan masyarakat.
Istilah ‘anak mak’ sering digunakan untuk menggambarkan lelaki yang mempunyai hubungan rapat dengan ibunya. Namun, keadaan menjadi rumit apabila hubungan tersebut mempengaruhi keputusan rumah tangga sehingga menjejaskan perasaan dan kebahagiaan pasangan.
Dalam drama ini, Haris berdepan dilema apabila perlu mengimbangi kasih sayang terhadap ibunya, Mak Leha, dengan tanggungjawabnya terhadap Zaraa.
Bagi penonton, persoalannya bukan sama ada seorang anak lelaki perlu menyayangi ibunya atau tidak, sebaliknya sejauh mana dia mampu menjadi suami yang bertanggungjawab tanpa membiarkan konflik keluarga berlarutan.
Situasi itu turut menjadikan watak Zaraa dekat dengan penonton yang pernah menyaksikan atau berdepan dilema serupa dalam kehidupan sebenar.
Drama yang berjaya mencetuskan emosi penonton
Apabila nama watak mula menjadi bahan perbualan dan potongan babak mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial, ia menunjukkan bagaimana sesebuah drama boleh melangkaui skrin televisyen dan menjadi topik perbincangan dalam kehidupan seharian.
Reaksi Shila Amzah, ditambah pula dengan komen netizen yang tidak dapat menyembunyikan rasa geram terhadap Mak Leha dan Haris, memperlihatkan keberkesanan konflik drama ini dalam mencetuskan respons emosi penonton.
Walaupun tindakan watak-watak berkenaan mengundang kemarahan, itulah antara persoalan yang membuatkan penonton terus mengikuti perkembangan ceritanya: mampukah Haris akhirnya menetapkan pendirian, dan sampai bilakah Zaraa perlu bersabar?
Dibintangi Emma Maembong, Keith Foo, Dian P. Ramlee dan Izzue Islam, Suamiku Anak Mak kini sedang ditayangkan menerusi slot Megadrama, jam 10 malam, di saluran Astro Ria, dan boleh distrim melalui sooka.
Nampaknya, bukan sahaja Zaraa yang perlu menguji kesabaran berdepan kerenah Mak Leha, penonton di rumah juga turut sama beremosi mengikuti perjalanan kisah mereka! – KopiPlanet.com



