• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Lama Berehat, Mawar Rashid Kini Kembali Dalam Telemovie Penaklukan Syaitan

Setelah hampir dua tahun berehat daripada dunia lakonan, pelakon Mawar Rashid kini kembali ke kaca televisyen menerusi penampilan di telemovie Penaklukan Syaitan.

Mawar berkata, kini dia sudah bersedia untuk aktif berlakon setelah melahirkan anak sulung, Raden Muhammad Rafael pada 13 Mac lalu.

“Sepanjang berehat, saya banyak beri tumpuan kepada cahaya mata sulung dan tidak pernah tetapkan tempoh tertentu untuk kembali berlakon.

“Bagaimanapun, dengan anak saya yang kini sudah masuk usia tujuh bulan, saya rasa sudah bersedia untuk menerima sebarang tawaran lakonan,” ujarnya.

Dia berkata demikian ketika ditemui semasa majlis pratonton telemovie Penaklukan Syaitan yang berlangsung malam tadi.

Dalam pada itu, ketika ditanya apa yang membuatkan dia bersetuju untuk terbabit dalam telemovie berkenaan, Mawar menjelaskan selain ia sebuah naskhah seram, dia sudah lama teringin untuk berlakon di bawah arahan Michael Ang.

“Apabila mendapat tawaran Michael, saya ambil masa untuk beri persetujuan memandangkan ia sebuah cerita seram. Lagipun, saya juga sudah lama tidak muncul di kaca televisyen.

“Namun disebabkan nak sangat bekerja dengan Michael, saya terima sahaja tawaran ini. Sebelum ini, saya hampir bekerjasama dengannya untuk sebuah drama, tetapi saya terpaksa tolak kerana kekangan jadual,” jelasnya.

Jangan lupa saksikan telefilem Penaklukan Syaitan di slot Citra Exclusive yang bakal bersiaran hari ini, (19 Oktober), pada jam 9 malam di Astro Citra (131) dan Citra HD (126).

Selain Mawar, telefilem ini turut dijayakan oleh Ben Amir, Nadya Syahera, Sharifah Shahora, Norlia Ghani, Alif Muhaimin dan ramai lagi. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend