
Pentas Akhir Anugerah Lagu Indie (ALI) 2025 menyaksikan Langkasuka mencipta kejayaan selepas dinobatkan sebagai juara menerusi karya Baju Yang Baru (Komposer & Penulis lirik) Zuhaili sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM15,000.
Kemenangan tersebut menjadi kemuncak kepada penganjuran edisi keenam ALI2025 yang menghimpunkan 15 finalis terbaik daripada keseluruhan 590 penyertaan yang diterima.
Sementara itu, Langkasuka juga berjaya memenangi Lagu Pop Terbaik dan Persembahan Terbaik menerusi lagu sama Baju Yang Baru dan menerima hadiah wang tunai RM5,000 untuk setiap kategori.
Manakala, Sethpoll dinobatkan sebagai pemenang Lagu Rock Terbaik menerusi karya Gelandangan Mewah (Komposer dan Penulis Lirik: Sethpoll) turut membawa pulang RM5,000.
Bagi kategori Lagu Hip Hop Terbaik, kemenangan menjadi milik Wrga menerusi GKG (Gomo Kelate Gomo) hasil ciptaan Wrga sendiri, yang melayakkan mereka menerima hadiah wang tunai RM5,000.
Secara keseluruhannya, lima kategori yang dipertandingkan menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM36,000, merangkumi Lagu Terbaik (RM15,000), Lagu Pop Terbaik (RM5,000), Lagu Rock Terbaik (RM5,000), Lagu Hip Hop Terbaik (RM5,000) dan Persembahan Terbaik (RM5,000).
Penilaian ALI2025 dibarisi sembilan juri profesional, iaitu AG Coco, Irena Taib, Leaism, Loy Ekzan, Melina William, Luca Sickta, Prof Madya Dr Muhammad Sayyid bin Shafiee, Roshan Jamrock dan Wing Meng.
Secara keseluruhan, Pentas Akhir ALI2025 menyaksikan persaingan sengit membabitkan 15 karya dalam tiga kategori utama iaitu Pop, Rock dan Hip Hop, dengan setiap finalis membawa identiti serta pendekatan muzik tersendiri.
Pemenang bagi setiap kategori adalah;
Lagu Terbaik: BAJU YANG BARU – Langkasuka
Lagu Pop Terbaik: BAJU YANG BARU – Langkasuka
Lagu Rock Terbaik: GELANDANGAN MEWAH – SethpollLagu Hip Hop Terbaik: GKG (GOMO KLATE GOMO) – Wrga
Persembahan Terbaik: BAJU YANG BARU – Langkasuka
Kesemua pemenang berkongsi hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM36,000, selain menerima pengiktirafan sebagai antara pengkarya dan karya terbaik dalam landskap muzik indie tempatan.
ALI2025 menerima sebanyak 590 penyertaan selepas tempoh penghantaran karya ditutup pada 31 Mac 2026.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 90 lagu terbaik dipilih ke peringkat seterusnya sebelum proses undian awam menentukan 15 finalis yang layak beraksi di Pentas Akhir.
Pemilihan pemenang pula ditentukan berdasarkan 70 peratus penilaian panel juri profesional dan 30 peratus undian awam dalam talian, dengan aspek seperti gubahan, lirik dan keaslian karya menjadi antara kriteria utama penilaian.
Pentas Akhir ALI2025 berlangsung di Proscenium Theatre Jeffrey Cheah Performing Arts Centre, Sunway Square Mall, sekali gus menjadi kemuncak kepada perjalanan 15 finalis yang terpilih daripada ratusan penyertaan.
Penganjuran kali ini turut mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Rakan Muda (Rakan Muzik Presents) yang kekal sebagai penyokong utama program. – KopiPlanet.com



