EventHiburan

‘Malaikat’ Mahu Buka Mata Masyarakat Mengenai Stigma Penyakit HIV

Jarang-jarang sekali isu penyakit Aids HIV dijadikan sebagai tema sesuatu penerbitan teater. Mengambil langkah berani, Yayasan Royal Widad bakal mengadakan satu pementasan teater berjudul Malaikat yang mengetengahkan isu tersebut bagi membuka mata masyarakat setempat mengenai penyakit HIV.

Selain itu, 70 peratus daripada kutipan itu akan disumbangkan kepada dua rumah perlindungan kanak-kanak penghidap HIV yang terletak di Sungai Buloh, Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Othman Omar berkata Malaikat bakal dipentaskan pada 29 Disember ini di Grand Ballroom, Royal Widad Residence UTM, Jalan Maktab, Kuala Lumpur yang mampu menempatkan sehingga 600 orang penonton.

“Kami mengadakan teater amal ini bagi mengumpul dana untuk membantu mereka yang memerlukan. Pada malam itu nanti ia akan dimeriahkan dengan kedatangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Kami harap dengan usaha seperti ini ia dapat memperbetulkan persepsi masyarakat terhadap pesakit HIV selain membuang stigma buruk terhadap mereka,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Othman ditemui pada majlis sidang media yang diadakan di Royal Widad Residence UTM, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sementara itu, pengarah teater tersebut, Mohd Azam Rezali berkata skrip tulisannya itu akan membawa penonton mendalami ‘penderitaan’ yang dialami penghidap HIV yang sering kali disisihkan masyarakat.

“Untuk teater ini, memang saya pilih tajuk dia Malaikat bagi menggambarkan watak Jibril lakonan Rashdan Baba yang membuka pusat kebajikan bagi membantu pesakit-pesakit HIV.

“Sasaran penonton kita ialah pelajar sekolah dan pelajar Institut Pengajian Tinggi kerana tujuan dan fokus utama kami adalah ingin memberikan pendekatan berunsur pendidikan,” katanya.

Tiket pementasan teater ini dijual pada harga RM150, RM50 dan RM20 yang mana ia boleh didapati dengan menghubungi talian 011-14156590.

Malaikat akan dipentaskan oleh Rashdan Baba bersama pelakon baharu Dayang Fizah, Hadi Malik, Zack, Mildom dan J. Bana.

Teater ini mengisahkan tentang Jibril yang berkahwin dengan wanita yang sering kali berdampingan pesakit HIV. Setelah kematian isterinya, Jibril meneruskan impian murni isterinya dengan membuka sebuah pusat pemulihan untuk pesakit HIV.

Pelbagai dugaan dan rintangan yang dihadapi Jibril bagi membuang stigma masyarakat mengenai pesakit HIV yang sering kali dipandang jelik oleh orang luar. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button