Cerita ArtisHiburan

MC Syze Partaruhkan Selamba, Tampilkan Gandingan Bersama Joe Flizzow

Setelah 16 tahun muncul menjadi artis rakaman dalam landskap muzik Malaysia, MC Syze yang merupakan penyanyi rap, penghibur, produser dan penyumbang suara di radio akhirnya memutuskan untuk memulakan babak baru dalam kariernya.

Syze berhasrat untuk memanfaatkan pengetahuan serta ilmu yang diperoleh sepanjang berada dalam kancah ‘scene urban’ dengan menubuhkan label miliknya sendiri yang dinamakan Trigger Happy Records.

Projek perdana yang muncul dari ‘hiatus industri’ ini merupakan album penuh milik Syze yang diberi judul Syze Does Matter dan mengandungi 13 buah lagu keseluruhannya. 

Single utama dari album rakaman ini merupakan ATCL (A Thing Called Love) yang dilancarkan pada 9 Julai lalu dan telah mengumpulkan lebih dari 130,000 pendengar pada hampir 50 negara termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Jerman, Switzerland, Singapura dan Malaysia.

Single yang merupakan lagu di trek ke tujuh album ini, Selamba menampilkan ikon hip-hop tempatan serta presiden DefJam Asia Tenggara – Joe Flizzow.

Lagu Selamba telah berjaya memenangi peminat dan pengkritik serta sedang dalam perjalanan untuk menjadi salah satu tonggak budaya dalam Muzik Malaysia. 

Muzik video yang akan ditayangkan secara perdana semalam (18 Disember) telah diarahkan oleh ATG yang sedang membina gelombang di industri tempatan dengan menyalurkan visual dan hasil kerja kreatif untuk artis-artis seperti Zamaera dan Luqman Podolski.

Muzik video berdurasi 5 minit 10 saat itu ditayangkan pada pukul 10 malam tadi laman YouTube MC SYZE dan turut menampilkan Sonaone, Darren Ashley, Orumari dan Azique Beats.

Single dengan judul Selamba ini merupakan taruhan utama seterusnya  MC Syze. Selamba dalam konotasi Bahasa Melayu mempunyai pelbagai maksud dan ia bergantung kepada bagaimana seseorang menggunakan perkataan itu dalam konteks masing-masing.

Bagi Syze pula, Selamba bermaksud santai, tenang dan fokus. Dengan menjadi selamba, Syze berjaya mengatasi halangan dan mencapai kemajuan positif dalam kariernya.

Syze juga berhasrat untuk mendorong masyarakat untuk menyesuaikan diri dengan pola fikir Selamba ini kerana dengan hanya menjadi Selamba, seseorang dapat membuat keputusan yang lebih bijak untuk tahun 2021 dengan lebih progresif kerana 2020 merupakan tahun yang penuh tekanan buat semua.

Menurut Syze, dia berbesar hati memilih Joe untuk menjadi penyanyi undangan istimewa dalam lagu ini kerana perkataan selamba itu sangat menepati karakter Joe Flizzow. 

“Saya membesar dengan mengikuti dan mendengar lagu-lagu Too Phat dan Joe merupakan seorang ikon dalam industri malah idola ramai orang termasuk saya. Segalanya tentang Joe merangkumi perkataan selamba dan memang kena betul dengan karakternya.

“Cara Joe menulis juga tidak terlalu ‘complicated’ atau sukar. Senang untuk pendengar dan masyarakat hadam dan menyanyikan semula. Bagi saya, Joe merupakan mentor yang hebat untuk saya dari tahun 2004 hingga sekarang,” ujar Syze.

Sebagai infomasi, Syze juga sebenarnya pernah tampil dalam siri cypher Joe Flizzow – 16 Baris.

Selain itu, pendengar radio arus perdana turut mengingati kejayaannya melalui lagu Dancin’ yang melonjak dan trek malar segar satu ketika dulu. 

Menurut Joe Flizzow pula lagu Selamba dianggap sebagai sebuah penawar atau remedi untuk tahun 2020 yang dianggap memberi dugaan serta tamparan hebat untuk semua masyarakat.

“Menurut saya, pada akhirnya sesebuah lagu kena sedap, tidak kiralah dengan siapa kita nyanyikan. Kekuatan lagu ini terletak pada melodi dan merupakan sesuatu yang segar untuk industri muzik.

Lagu ini mempunyai elemen RnB dan rap. Boleh saya katakan bahawa genre RnB sudah semakin kurang di Malaysia. Dan lagu ini memang sesuatu,” ulas Joe.

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
1
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button