• FOLLOW US
Viral

Menang Saman RM3 Juta, Pengasas Tati Harap Ia Jadi Pengajaran

Susulan memenangi kes tuntutan saman fitnah sebanyak RM3 juta, pengasas produk kosmetik Tati Skincare, Norashikin Muhammad berharap perkara ini dapat dijadikan sebagai pengajaran buat netizen dan pengguna di luar sana.

Menurut Norashikin, pihaknya terpaksa mengambil tindakan menyaman seorang blogger wanita yang berterusan mengeluarkan artikel berunsur fitnah yang mengaitkan produk miliknya.

“Alhamdulillah keputusan mahkamah memihak kepada kami berhubung kes saman fitnah yang difailkan Tati Skincare. Tujuan kami adalah untuk membersihkan nama daripada terus-terusan difitnah oleh blogger ini. Bukan satu artikel yang dikeluarkan, sebaliknya sampai berbelas-belas artikel fitnah yang ditulis olehnya sejak dari bulan Januari 2017 hingga April 2017.

“Selain buat fitnah mengenai produk Tati, dia turut menggunakan gambar peribadi saya dan meninggalkan komen-komen tidak elok sehingga menganggu kehidupan peribadi saya. Kalau ada masalah atau tidak puas hati dengan produk kami, bukan ini caranya. Yang kami pelik, individu ini bukan merupakan pengguna produk Tati Skincare. Tak tahu apa niat dia berbuat demikian,” kata Norasyikin kepada KopiPlanet.com.

Norasyikin ditemui pada majlis sidang media Tati Skincare yang diadakan di ibu kota hari ini. Turut hadir ialah tiga lagi pengasasnya iaitu Norhayati Norhasyima, Maradina Najib dan Tanti Rahayu Abdul Halim.

Pada 22 November lalu, Mahkamah Kota Bharu, Kelantan telah mengarahkan individu tersebut (defendan) untuk membayar kepada Tati Skincare (plaintif) sebanyak RM3 juta berhubung penulisan artikel berbaur fitnah yang ditulis olehnya.

“Saya harap dengan penjelasan yang telah dibuat ini, orang di luar sana tidak lagi memandang serong terhadap produk keluaran kami,” ujarnya.

Pengasas Tati Skincare, (dari kiri) Tanti Rahayu Abdul Halim, Maradina Najib, Norhayati Hasyima Muhammad dan Norasyikin Muhammad. Turut kelihatan ialah peguam mereka, Md Faiez Md Suhaimi (paling kanan) dan Pengurus Operasi Tati Skincare, Shaiful Rizal.

Dalam pada itu, Peguam yang mewakili Tati Skincare iaitu Md Faiez Md Suhaimi turut memohon agar setiap blogger di luar lebih beretika dalam menulis artikel yang ingin disiarkan.

“Setiap pekerjaan ada etikanya, begitu juga blogger. Individu ini menulis artikel tentang perkara tidak benar dan fitnah terhadap anak guam saya. Antara artikelnya ialah produk Tati Skincare ialah produk timbang kilo, mendakwa pengasasnya pergi umrah dengan menggunakan hasil penipuan terhadap orang ramai dan menyebarkan cerita produk anak guam saya ialah produk beracun.

“Sehubungan itu, anak guam mengambil tindakan mahkamah bagi membersihkan nama mereka. Sebelum diteruskan dengan tindakan mahkamah, pihak kami ada menjalankan proses mediasi (perbincangan) dengan defendan dan memintanya menurunkan artikel di laman blognya. Namun demikian, dia tetap berdegil sehingga akhirnya kes ini dibawa ke mahkamah dan Alhamdulilah terbukti anak guam saya difitnah,” jelasnya.

Ujarnya lagi, pihaknya berharap agar netizen tidak menggunakan media sosial dan internet untuk menghentam mana-mana pengasas produk sebaliknya jika ada masalag terus berhubung dengan pihak berkaitan daripada menerbitkan artikel yang sama sekali tidak benar.

Tati Skincare mula dilancarkan pada 2015 dan sehingga kini ia sudah mengeluarkan 11 jenis produk, antaranya krim pemutih, gincu, maskara dan bedak kompak. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend