FilemTerkini

Mulut Masin Tampilkan Kisah Tentang Lima Bersaudara Terkena Sumpahan

Memahami kehendak penonton yang sentiasa menginginkan konten segar dan menghiburkan, Astro Shaw terus komited dengan usahanya dalam membawakan kepelbagaian filem bagi menepati cita rasa penonton.

Kini, Astro Shaw tampil berbeza buat kali pertama menerbitkan sebuah filem berjudul Mulut Masin, khas untuk ditayangkan terus Di Pawagam Rumah Anda, Astro First. Bukan itu sahaja, filem ini menonjolkan cerita tentang kanak-kanak yang jarang dipersempahkan kepada penonton.

Mulut Masin yang menemui penonton mulai 19 November di saluran 480 menampilkan hasil sentuhan daripada pengarah filem Pusaka, Razaisyam Rasyid.

Menariknya, ia menguji kreativitinya apabila diberi peluang buat kali pertama untuk mengarah filem yang melibatkan pelakon- pelakon cilik sebagai teraju utama serta cabaran menjalani sesi penggambaran ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Antara kelainan Mulut Masin adalah dengan membarisan pelakon kanak-kanak berbakat besar sebagai penggerak utama cerita dan setiap watak telah dijayakan oleh Jay Nazif, As’ad Motawh, Danish Hazriq, Muzayyin Mahyuddin dan Cassia Iman.

Turut membintangi, pelakon terkenal Farahdhiya, Maria Farida, Lan Pet Pet, Khatijah Tan, Aloy Paradoks, Dee Al-Hadi, Azman Hassan, Bohari Ibrahim dan Amir Ameezan.

Pengarah Filem Mulut Masin, Razaisyam Rasyid berkata, sesi penggambaran filem Mulut Masin memberi pengalaman berbeza kepada
seluruh tenaga produksi yang terlibat.

“Bayangkan kami sudah mendapat momentum dan keserasian tetapi terpaksa dihentikan kerana PKP dan kemudian setelah tiga bulan berehat, kami perlu mendapatkan semula momentum yang sama seperti sebelumnya bagi memastikan mood dan kualiti penggambaran masih
seiring.

“Selain itu, ia turut memberi cabaran buat kami untuk berkarya dalam normal baharu dan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan,” jelasnya.

Menurut Razaisyam, dari sudut sinematografi ia tampil berbeza dengan filem-filem yang pernah dihasilkannya sebelum ini dengan menerapkan lebih unsur kemelayuan dan lebih ringan agar penonton rasa lebih dekat dengan jalan cerita.

“Lebih istimewa, Mulut Masin adalah filem kekeluargaan, jadi terdapat babak-babak yang saya cuba tonjolkan untuk membawa penonton mengimbau kembali memori zaman kanak-kanak lebih-lebih lagi
kenangan apabila pulang ke kampung dan berkumpul dengan sepupu terdekat.

“Mungkin dalam keadaan sekarang ini kebanyakkan orang di luar sana tidak dapat pulang ke kampung halaman atau berkumpul beramai-ramai bersama ahli keluarga, tetapi saya harap dengan kehadiran Mulut Masin dapat membuat mereka sentiasa hargai hubungan bersama orang tersayang tidak kira jauh mahupun dekat,” ujarnya.

Mulut Masin mengisahkan tentang lima orang sepupu yang merasakan diri mereka telah disumpah dengan sumpahan mulut masin arwah nenek kerana menghilangkan surat wasiat nenek.

Mereka berusaha untuk membatalkan sumpahan tersebut dengan mencari semula wasiat yang telah hilang sebelum sumpahan itu memecah-belahkan keluarga mereka. Pelbagai insiden telah berlaku kepada mereka berlima dan tanpa sedar gerak geri mereka diperhatikan.

Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina
Raja Arshad berkata, sebelum ini Astro Shaw aktif membawakan filem-filem tempatan untuk dipersembahkan kepada penonton menerusi tayangan Di Pawagam Rumah Anda, Astro First.

Ujarnya, pada kali ini Astro Shaw bawakan filem terbitannya sendiri dan lebih istimewa ia mengangkat kisah kanak-kanak.

“Seperti mana yang ramai tahu, filem yang berlatarkan cerita kanak-kanak
jarang ditonjolkan. Jadi kami ketengahkan kisah tersebut dengan menyelitkan gabungan elemen kekeluargaan, komedi dan seram, yang mana ketiga-tiga elemen ini sering menjadi pilihan utama
penonton tanah air.

“Uniknya lagi, filem ini juga mampu mengajak penonton untuk lebih menghargai hubungan dengan ahli keluarga, nenek serta sepupu terdekat, di samping mengimbau kembali zaman kanak-kanak yang boleh membuat mereka tersenyum apabila mengenangnya,” jelasnya.

Menurut beliau, pihaknya yakin subjek utama yang diselitkan amat dekat dengan masyarakat, tambahan pula ‘mulut masin’ adalah perumpamaan yang sering diperkatakan sejak turun temurun.

Jelas beliau, bagi memastikan filem ini dapat diterima oleh generasi lama dan sekarang, pihaknya merasakan Razaisyam mampu menyeimbangi unsur kemelayuan dengan gaya kontemporari.

“Bagi menggabungkan idea untuk lakon layar yang komersial pula, pasukan penulis Astro Shaw writers’ room turut memainkan peranannya dalam penghasilan skrip.

“Semoga filem ini bukan sahaja dapat memberi hiburan semata-mata kepada penonton tetapi turut memberi pengajaran tentang nilai kekeluargaan, lebih-lebih lagi keseronokan apabila bersama orang tersayang,” ujarnya.

Saksikan filem Mulut Masin yang akan berada di pawagam rumah anda, Astro First, untuk melanggan sila ke saluran 480. Penonton juga boleh strim Mulut Masin di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, penonton boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button