AntarabangsaBollywood

Peminat Berpeluang Menginap Di Kediaman Mewah Shah Rukh Khan Di Delhi

Ikon Bollywood terkenal Shah Rukh Khan (SRK) dan isterinya, Gauri Khan yang juga merupakan juruhias dalaman terkemuka secara rasminya telah menjadi hos Airbnb dengan menawarkan penginapan sekali seumur hidup di kediaman pasangan ini di Delhi.

Bagi meraikan gaya pengenalan Shah Rukh Khan yang suka mendepakan tangannya selama lebih 30 tahun sebagai bintang ternama dalam industri Bollywood, kempen ‘Home With Open Arms‘ akan memberi penduduk di India peluang untuk menginap di kediaman mewah keluarga Khan. 

Terletak di kawasan kejiranan Panchsheel Park di Selatan Delhi, kediaman keluarga Khan diberikan sentuhan gaya hiasan dalaman isterinya itu yang mesra lagi unik.

Meskipun pasangan terkemuka berkenaan menetap di Mumbai, kediaman mereka di Delhi ternyata kekal sebagai tempat yang istimewa dan penuh nostalgia kerana di situlah mereka membesarkan ketiga-tiga cahaya mata mereka dan masih menggunakan rumah ini apabila singgah ke ibu kota.

Istimewanya, kediaman tersebut juga dipenuhi dengan pelbagai cenderahati dan kenangan perjalanan mereka ke serata dunia serta mencerminkan perjalanan pasangan itu bersama-sama sebagai suami isteri, kemudian sebagai sebuah keluarga.

Kempen ‘Home with Open Arms‘ akan menawarkan tetamu peluang yang jarang-jarang diperoleh untuk menghidupkan semula nostalgia pasangan bintang Bollywood itu.

Dilancarkan pada 18 November, penduduk India boleh mencuba nasib untuk memenangi penginapan semalaman yang akan bermula pada 13 Februari 2021.

Paling istimewa, pasangan pemenang akan melalui itinerari yang disusun atur oleh Gauri, menikmati hidangan sajian mewah makanan kegemaran keluarga Khan, menonton barisan filem kegemaran Shah Rukh Khan dan lagu-lagu box office selain menerima tanda mata peribadi daripada keluarga ini sebagai cenderamata untuk dibawa pulang.

Apabila memperkatakan tentang kota Delhi dan perkongsian mereka dengan Airbnb, pasangan tersebut berkata Bandar Delhi mempunyai tempat yang istimewa dalam hati dan akan sentiasa menjadi rumah mereka.

“Setiap kunjungan mengimbau kembali kepada kenangan sewaktu kami baru bertapak dan kami begitu teruja dapat bekerjasama dengan Airbnb untuk tampil sebagai hos di kediaman kami di Delhi.

“Airbnb telah membuatkan kami berasa seperti berada di rumah sendiri sepanjang perjalanan kami di seluruh dunia dan kami teruja untuk membuka pintu kediaman kami sendiri melalui perkongsian eksklusif ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Airbnb India, Asia Tenggara, Hong Kong dan Taiwan Amanpreet Singh Bajaj berkata Airbnb menawarkan pengalaman unik dan tidak dapat dilupakan untuk tetamu di seluruh dunia.

“Kami teruja untuk bekerjasama dengan Gauri dan Shah Rukh Khan dalam kempen yang sangat istimewa yang menawarkan akses kepada kediaman mereka di Delhi dan julung-julung kali pernah dilakukan.

“Peminat berbilang generasi dan dari serata dunia telah lama mengikuti perjalanan pasangan Bollywood ikonik ini, dan peluang yang jarang-jarang wujud untuk dialu-alukan ke kediaman mereka hanya boleh dilakukan di Airbnb,” ujarnya.

Untuk kempen berkenaan, rumah pasangan itu akan tersedia untuk penginapan semalaman pada 13 Februari 2021. Untuk memohon peluang julung-julung kali ini, Airbnb mengundang tetamu untuk berkongsi makna ‘open arms welcome‘ kepada mereka selewat-lewatnya pada 30 November 2020. 

Pemenang akan dipilih oleh jawatankuasa pemilihan termasuk Airbnb dan Gauri Khan, dan keputusan akan diumumkan pada 15 Disember 2020. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button