Cerita ArtisHiburan

Penyanyi Popular Jayakan Lagu & Video Kenegaraan Sempena Hari Kemerdekaan Ke-63

Sebuah Projek Video Kenegaraan Bersama Selebriti dan Media telah dihasilkan menerusi terbitan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sempena meraikan Hari Kemerdekaan Ke-63.

Melalui program ini, terdapat dua video berunsur kenegaraan dan patriotik dihasilkan berteraskan kepada dua lagu ciptaan baharu.

Single berkenaan iaitu Janji Merdeka ciptaan Datuk DJ Dave dan lirik oleh Pui Tiong Gee, manakala sebuah lagu lagi berjudul Genderang Cinta, karya Asfan Shah dan lirik KuAlong.

Single Janji Merdeka membabitkan penampilan penyanyi legenda dan superstar iaitu Datuk DJ Dave, Datuk Awie, Ella, Siti Nordiana dan Siti Sarah Raissuddin.

Untuk lagu Genderang Cinta pula membabitkan penampilan penyanyi BBNU seperti Wany Hasrita, Aiman Tino, Afieq Shazwan, Luqman Faiz, Neeta dan Asfan Shah.

Kedua-dua video muzik di bawah arahan Izuan Mokhtar ini dihasilkan atas inisiatif memupuk semangat cintakan tanah air melalui perpaduan bangsa.

“Janji Merdeka adalah luahan kasih sayang terhadap negara yang kita cintai ini. Sejauh mana kita berjalan dan berjaya, Malaysia tetap satu-satunya negara tempat kita berpijak dan berpulang. Lagu ini menyuntik semangat dan rasa terima kasih yang tinggi terhadap negara bangsa melalui perjuangan kemerdekaan yang telah digapai oleh nenek moyang kita terdahulu.

“Merdeka itu bukan sekadar laungan, sebaliknya ia memerlukan penghayatan dari seluruh jiwa kepada tempat di mana kita dilahirkan, dibesarkan dan membina seluruh kehidupan,” kata DJ Dave yang mengambil masa sekitar seminggu menyiapkan karya baharu itu.

DJ Dave turut melahirkan rasa terharu dan bertuah dapat menyumbang suara dalam lagu dan muzik video kenegaraan terbitan FINAS ini.

“Ini merupakan inisiatif kerajaan melalui FINAS dalam meraikan sambutan bulan kebangsaan ke-63 serta menyemai semangat mencintai tanah air tercinta,” ujarnya.

Sementara itu, Asfan Shah yang juga komposer muda prolifik pula menganggap peluang yang diberikan oleh FINAS sebagai sesuatu yang bermakna dalam kerjayanya.

“Peluang mencipta sebuah lagu berunsur patriotik kenegaraan begini tidak selalu hadir. Saya sangat teruja berkolaborasi dengan artis baharu dan lama dalam projek kenegaraan ini,” jelas Asfan. – KopiPlanet.com

 

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button