FilemTerkini

Proksi Sarat Dengan Aksi Memukau, Tampilkan Kelainan Menerusi Genre Cyber Thriller

Isu mengenai penyebaran berita palsu serta penggodam siber merupakan antara isu yang tidak boleh dipandang ringan dan semakin membimbangkan.

Sehubungan itu, syarikat produksi FEG Equipment telah menghasilkan sebuah filem berjudul Proksi yang mengangkat tema kedua-dua isu berkenaan.

Penerbit filem dan juga merangkap pengarah Proksi, Mohd Shaufe A. Wahib berkata, filem berkenaanmemaparkan genre ‘cyber thriller’ yang mengetengahkan isu semasa iaitu penyebaran ‘berita palsu’, dan ia membawa penonton menyelami dunia penggodam siber, di samping lakonan memukau pelakon-pelakon hebat tanah air.

“Filem ini pada awalnya dirancang untuk ditayangkan di pawagam, namun dalam keadaan sekarang ini serta mengambil kira pelbagai faktor lain, kami percaya platform Astro First adalah saluran terbaik untuk kami tampilkan filem ini kepada penonton sasaran.

“Tajuk Proksi dipilih kerana ianya berkait rapat dengan karakter utama Sam dan Aman, lakonan Bront Palarae dan Allahyarham Ashraf Sinclair. Filem ini amat istimewa bagi kami kerana ia menggabungkan tenaga-tenaga kreatif dan berpengalaman dalam industri perfileman tanah air. Saya harap, filem Proksi dapat memberi kepuasan berbeza kepada penonton dan merancakkan lagi industri filem tanah air,” ujarnya.

Menariknya, filem berkenaan menampilkan gandingan mantap barisan pelakon hebat Malaysia iaitu Bront Palarae Allahyarham Ashraf Sinclair, Remy Ishak, Sangeeta Krishnasamy, Datuk Rosyam Nor, Faizal Hussein, Siti Saleha dan Susan Lankester.

Sementara itu Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, bagi meneruskan usaha dan memastikan variasi kandungan untuk pilihan penonton, kali ini Astro First membawakan filem Proksi, di mana ia mengangkat kisah tentang cyber crime dan genre ‘cyber thriller’ jarang dipersembahkan menerusi filem tanah air.

“Kami berharap agar Astro First akan sentiasa dilihat sebagai platform pilihan yang mampu membuka laluan buat penerbit-penerbit filem Malaysia dalam mempersembahkan naskhah mereka dengan sokongan pemasaran oleh Astro kepada penonton dengan lebih dekat,” jelasnya.

Proksi mengisahkan tentang penggodam elit Sam (Bront Palarae) bersama rakannya, Aman (Allahyarham Ashraf Sinclair) yang telah melarikan diri ke Bangkok. Tanpa pengetahuan Sam, Aman menggodam ‘platform keselamatan data’ yang dikenali sebagai MYSOIL dan bekerjasama dengan Elle (Sangeeta Krishnasamy) untuk menjual data tersebut kepada kumpulan penjenayah yang dikenali sebagai CARRIE di Bangkok.

Dalam masa yang sama, Aman mencuri wang CARRIE. Seorang tentera upahan bernama Aqil (Remy Ishak) cuba mengesan dan mendapatkan kembali wang tersebut. Sam pula telah ditangkap dan disoal siasat oleh dua penyiasat, Roy (Faizal Hussein) dan Remy (Datuk Rosyam Nor). Sam berusaha mencari dalang sebenar di sebalik manipulasi data dan penyebaran “Berita Palsu” yang mampu membahayakan negara.

Jangan lupa saksikan filem cyber thriller padat dengan aksi, Proksi yang akan berada di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 18 November 2021. Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button