EventHiburan

Promosi Produk Pelancongan & Kebudayaan, MaTiC Fest Kembali Diadakan 1-3 November

Kali terakhir diadakan pada empat tahun lalu, kali ini Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) kembali menganjurkan MaTic Fest 2019 bagi memberikan lebih banyak pendedahan mengenai produk pelancongan dan kebudayaan yang terdapat dalam negara ini.

MaTiC Fest 2019 akan diadakan bermula dari 1 hingga 3 November ini dan ia turut mendapat sokongan dan kerjasama Pejabat MOTAC Kuala Lumpur/ Putrajaya, Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara (JKKN), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Unit Khas Visit Malaysia 2020 dan Tourism Malaysia Wilayah Tengah, BERNAS, Hotel Regency Kuala Lumpur, KL Hop-On Hop-Off, Touch ‘n Go, First Time Around, MaTiC TV dan Angry Bird Activity Park.

MaTiC Fest 2019 bakal dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan budaya, Datuk Mohammadin Ketapi pada 2 November ini.

Pengarah MaTic, Rudy Irwan Shukaime berkata, penganjuran MaTiC Fest 2019 adalah sebagai pengenalan (teaser) kepada kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020) di samping mempromosikan MaTiC sebagai pusat sehenti untuk kemudahan pelancong dalam dan luar negara menerusi pelbagai perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan.

“Melalui kerjasama ini pelbagai aktiviti dan program berlangsung selama tiga hari dengan pengisian yang bukan sahaja hiburan tetapi program yang memberikan pengalaman unik selaras dengan pendekatan ‘Experience Tourism’.

“MaTiC berharap ia dapat menarik perhatian pengunjung untuk bersama menyemarakkan lagi penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2020 pada tahun hadapan.

“Pelbagai aktiviti menarik yang telah kami sediakan yang mana ia merangkumi semua golongan dan peringkat umur. Antaranya pertandingan pahan tempur, pertandingan gusti lengan, VM2020 Cultural Run, pertandingan Hot Wheels, pertandingan mencanting batik, pertandingan gasing, pertandingan mewarna kanak-kanak dan sukan rakyat. Yang menariknya, kami tidak mengenakan sebarang yuran masuk, sebaliknya ia percuma untuk semua pihak datang meraikannya bersama-sama kami,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sidang media MaTiC Fest 2019 yang berlangsung di Mini Auditorium, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Jalan Ampang, Kuala Lumpur semalam.

MaTiC Fest 2019 turut menyediakan bazar makanan dan gerai jualan produk tempatan seperti rotan dan batik. Antara sajian menarik yang bakal dihidangkan mengikut makanan ‘signnature’ setiap negeri antaranya Nasi Dagang (Terengganu), Nasi Kerabu (Kelantan), Char Koey Teow (Pulau Pinang) dan Asam Pedas (Melaka).

Selain itu, pengunjung juga akan dihiburkan dengan persembahan kebudayaan seperti wayang kulit, mak yong, dikir barat, cak lempong, guzheng, silat, silambam dan tarian serta persembahan muzik dari kumpulan Pretty Ugly, The Rudean, Dewangga Sakti, Banyak Bunyik Republik, Suehaila dan ramai lagi.

Bersempena dengan VM2020, pihak kementerian telah menetapkan sasaran kehadiran pelancongan dari luar dan dalam negara seramai 30 juta orang dan pendapatan sebanyak RM100 bilion bagi membantu meningkatkan ekonomi negara. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button