EventHiburan

Raikan Kemeriahan Aidilfitri Menerusi Showcase Virtual Dayang Nurfaizah

Pengalaman yang dilalui oleh penyanyi ini bukan sedikit malah sepanjang dua dekad mengabadikan diri dalam bidang muzik membuatkan Dayang Nurfaizah menjadi antara permata berharga buat industri seni.

Sentiasa hadir dengan pelbagai produk baharu saban tahun, kini dia tampil dengan SHOWCASE VIRTUAL DAYANG NURFAIZAH sempena kehadiran Syawal, bulan yang amat dinanti-nantikan seluruh umat Islam.

Menariknya, konsep dan idea yang diketengahkan oleh INDIGITAL MUSIC itu disambut baik olehnya yang tahu kebanyakan peminat setianya sentiasa menantikan aktiviti terbarunya itu.

Bakal disiarkan secara virtual menerusi saluran YouTube INDIGITAL MUSIC, showcase maya ini turut mendapat kerjasama dan sokongan penuh daripada stesen radio Hot FM dan Donna.

Memilih beberapa buah lagu daripada album terdahulu yang diedarkan oleh INDIGITAL MUSIC, pastinya seleksi lagu itu akan mengimbau kembali kegemilangan Dayang di pentas ANUGERAH JUARA LAGU (AJL).

Hanya menggunakan telefon untuk proses rakaman, showcase virtual yang akan ditayangkan pada hari raya kedua (25 Mei 2020) itu turut mendapat sentuhan dan susun atur muzik oleh Tze Wan.

“Saya faham dengan kekangan pandemik Covid-19 dan beberapa fasa Perintah Kawalan Pergerakan yang dilalui oleh rakyat Malaysia membuatkan semua orang berjaga-jaga.

“Ramai yang memilih untuk duduk di rumah dan bertepatan dengan itu juga membuatkan saya mengadakan showcase ini agar mereka boleh saksikan dari rumah sahaja.

“Ini merupakan kali pertama saya mengadakan showcase secara virtual dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat. Harapnya peminat tidak melepaskan peluang untuk sama-sama menyaksikannya nanti,” katanya.

Menerusi showcase selama 30 minit itu, Dayang menyanyikan lima buah lagu terdiri daripada Di Pintu Syurga, Tak Pernah Menyerah, Lelaki Teragung, Separuh Mati Ku Bercinta dan satu lagu hari raya.

**KONSERT VIRTUAL DAYANG NURFAIZAH
Tarikh: 25 Mei 2020
Saluran: YouTube Indigital Music Pukul: 4.00 PETANG
Kerjasama: Hot FM dan Donna

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button