EventHiburan

Sayembara Nyanyian Patriotik Selangor Kembali Buat Tahun Kedua

Bagi mengembalikan semangat kebangsaan di kalangan masyarakat Malaysia khususnya di negeri Selangor, Sayembara Nyanyian Patriotik Selangor (SNPS) 2018 kembali untuk tahun kedua penganjurannya.

Menurut Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain, pertandingan nyanyian patriotik ini diadakan bagi menanamkan perasaan patriotik di kalangan generasi muda masa kini.

“Zaman sekarang dah tidak sama macam dulu, itu sebablah kita perlu titik beratkan semangat kebangsaan kepada anak-anak supaya mereka lebih tahu.

“Lagu patriotik menyedarkan orang ramai untuk cintakan negara. Apabila seseorang cintakan negara, mereka akan berjuang bersungguh-sungguh untuk tanah air tidak kira sama ada dari aspek sukan, seni dan kebudayaan dan lain-lain lagi,” katanya kepada KopiPlanet.com pada majlis sidang media Sayembara Nyanyian Patriotik Selangor (SNPS) 2018 di ibu pejabat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya baru-baru ini.

SNPS 2018 masih lagi mengekalkan barisan juri yang sama seperti tahun lepas iaitu penyanyi Korie dan kakaknya, pengurus artis, Jojie serta guru vokal, Sarah Ismail.

Bercakap mengenai ekspetasinya terhadap bakal peserta tahun ini, Jojie berharap para peserta terpilih akan membuat persiapan rapi bagi menghadapi saingan selain mendalami bait-bait lirik patriotik agar penyampaian lagu itu sampai kepada penonton.

“Saya berharap tahun ini peserta akan lebih bersemangat patriotik lagi. Penganjuran SNPS ini sangat bagus sebab jarang kita tengok pertandingan yang ketengahkan lagu-lagu berunsur patriotik. Harapnya tahun ini penyertaan akan lebih meriah lagi,” katanya.

SNPS 2018 dianjurkan Jawatankuasa Tetap Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan negeri dengan mendapat kerjasama Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Selangor.

Pertandingan kali ini terbahagi kepada tiga kategori iaitu bawah 12 tahun, bawah 18 tahun dan 19 tahun ke atas. Ia terbuka sama ada secara solo, duet atau berkumpulan.

Pendaftaran adalah percuma dan peserta perlu menghantar borang penyertaan sebelum 12 Ogos ini.

Borang pendaftaran boleh didapati di Facebook MBPJ atau Facebook Pemadam Selangor atau menghantar e-mel ke bob@atlasoneevents.com

Peringkat saringan akan berlangsung selama dua hari berturut-turut mulai 18 Ogos dengan diadili tiga juri iaitu Korie, Jojie dan Sarah.

Empat peserta terbaik bagi setiap kategori akan melangkah ke peringkat akhir pada 22 September ini di Dewan Sivik MBPJ.

Untuk kategori bawah 12 tahun, tempat pertama bakal membawa pulang RM1,000, manakala bawah 18 tahun, RM1500 dan 19 tahun ke atas sebanyak RM2,500.

Malam final SPNS 2018 turut akan dihiburkan dengan persembahan lagu patriotik oleh Azharina, Korie dan penyanyi baharu, Dylea. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button