FilemTerkini

Seandainya Kau Ada Tampil Kisah Romantik Islamik, Jalani Penggambaran Di Mekah, Madinah & Uzbekistan

Boleh dikatakan tidak banyak filem-filem tempatan yang menghasilkan naskhah yang menampilkan kisah romantik Islamik.

Bagaimanapun, sempena bulan Ramadan ini, Astro Shaw kini tampil dengan sebuah filem Seandainya Kau Ada, kisah romantik Islamik yang diadaptasi daripada novel popular, Seandainya Kau Ada karya Kamsiah Abu dan diterbitkan oleh Zeel Production.

Pengarah dan penerbit Seandainya Kau Ada, Haji Md Fadzil Teh atau lebih mesra dengan panggilan Haji Zil berkata, produksi Zeel Production telah menghasilkan ratusan buah drama dan telefilem sejak tahun 1995.

“Jadi tiba masanya untuk produksi ini mengambil langkah seterusnya dengan menghasilkan filem pula. Ternyata menghasilkan filem mempunyai cabaran yang berbeza.

“Alhamdulillah, untuk filem pertama kami iaitu Seandainya Kau Ada akhirnya akan menemui penonton 29 April ini,” ujarnya.

Jelas Haji Zil, filem berkenaan mempersembahkan sinematografi menarik dan penonton dapat lihat keindahan negeri Perlis serta turut menjalani penggambaran di luar negara seperti di Kota Mekah, Madinah dan Uzbekistan.

Antara barisan pelakon yang membintangi filem berkenaan seperti Fendy Bakry, Raysha Rizrose, Ruhanies, Aidit Noh, Rozita Che Wan, Shah Iskandar, Haris Ismail, Daler Yusuf, Azhan Rani, Ali Reza, Fendi Seman, Fauziah Nawi, Scha Ellinnea dan Fahrin Ahmad.

Kisahnya bermula dengan Syahirah yang mencintai Fazlur sejak kecil. Hubungan mereka mula bertambah erat saat Fazlur melanjutkan pelajaran ke Uzbekistan dan berjanji untuk pulang mengahwini Syahirah.

Namun, semuanya berubah apabila Fazlur menghilangkan diri di hari perkahwinan mereka. Syahirah mula berpatah hati dan membawa diri ke Uzbekistan. 5 tahun di Uzbekistan, Syahirah berkenalan dengan Iskandar, jejaka Malaysia yang berjaya membuka semula pintu hatinya.

Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, ini adalah kali pertama Astro Shaw dapat bekerjasama dengan salah satu produksi yang telah lebih dua dekad bertapak dalam industri seni tanah air iaitu Zeel Production.

“Astro Shaw sebagai penerbit filem tentunya rasa berbesar hati dan teruja untuk berkongsi pendapat pada bahagian akhir penyuntingan dan
membawa filem ini ke platform Astro dengan menyediakan langkah pemasaran yang strategik buat filem pertama terbitan Zeel Production tersebut.

“Kami harap menerusi kerjasama ini, ia akan menjadi permulaan yang baik untuk kolaborasi lain di antara Astro Shaw dan Zeel Production di
masa akan datang,” ujarnya.

Filem Seandainya Kau Ada akan berada di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 29 April ini.

Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button