FilemTerkini

Siti: Are You Ready? Filem Dokumentari Kisah Di Sebalik Tabir Perjalanan Konsert Jelajah Siti Nurhaliza Di Tiga Buah Negara

Buat julung-julung kalinya, penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza menjadi artis pertama Malaysia yang bakal muncul dengan sebuah filem dokumentari Siti: Are You Ready?.

Apa yang menariknya, filem berkenaan memaparkan kisah di sebalik tabir perjalanan Konsert Dato’ Sri Siti Nurhaliza On Tour yang telah dianjurkan di tiga negara iaitu Indonesia, Singapura dan Malaysia pada 2018.

Siti berkata, filem dokumentari berdurasi 80 minit arahan M Azhar Rot dan Anz Izwan serta diterbitkan Shiraz Projects dan Siti Nurhaliza Productions itu memaparkan sisi dirinya yang jarang dipertontonkan pada orang ramai, termasuk sikap ketegasan yang dimilikinya.

“Kalau diikutkan ada lagi sebenarnya kisah yang tidak kami masukkan kerana agak sensitif, terutama membabitkan konflik yang terjadi ketika mahu menjalankan konsert jelajah pertama di Jakarta, Indonesia.

“Namun begitu, di sebalik konflik yang berlaku, ia berakhir menjadi suatu yang positif buat kami. Apa yang kami semua inginkan adalah melakukan persembahan yang terbaik dan berjalan lancar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui setelah selesai majlis pratonton bersama peminat dan pihak media yang berlangsung pada minggu lalu.

Dalam pada itu, Siti menjelaskan bahawa terdapat banyak momen-momen yang ingin dikongsi dalam filem berkenaan, tetapi pihaknya perlu memilih babak-babak yang terbaik serta istimewa untuk dipaparkan.

“Tidak dinafikan banyak babak yang mahu dikongsi, tetapi dari keseluruhan 72 jam yang direkodkan, ia perlu ditapis menjadi 80 minit. Saya melihat apa yang dipaparkan dalam filem ini antara detik paling istimewa yang saya abadikan.

“Saya sendiri tidak menyangka perjalanan konsert ini dapat difilemkan oleh peminat saya sendiri. Mereka sangat berpotensi dalam pengarahan dan saya doakan semoga selepas ini ada lagi anak seni yang boleh muncul dalam filem dokumentari kerana menjadi satu daripada khazanah dan rujukan pada anak-anak muda yang mahu berjaya,” ujarnya.

Bagi yang ingin menonton filem dokumentari, Siti Are You Ready? dan Konsert Dato’ Sri Siti Nurhaliza On Tour – Live In Concert, ia boleh dilanggan menerusi saluran Astro First bermula 30 Disember ini.

Dengan hanya RM19.90, peminat boleh menonton kedua-dua filem dokumentari dan konsert selama 48 jam secara berulang-ulang.

Bagi mereka yang berada di luar Malaysia dan Brunei, boleh melanggan di platform Vimeo on Demand bermula 30 Disember depan dengan harga AS4.99 dan boleh menonton selama 48 jam secara berulang-ulang. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button