• FOLLOW US

“Ambil Masa Enam Bulan Cari Adil Dan Vera” – Pengarah Busker

Bagi mendapatkan pelakon yang bersesuaian untuk membawakan watak Adil dan Vera, pengarah filem Busker, Syed Khairul Fariz mendedahkan pasukan produksinya terpaksa menunggu hampir enam bulan sebelum bertemu pelakon yang sesuai untuk dua watak utama itu.

Menurutnya, pelbagai peringkat ujibakat dilakukan termasuk ujian keserasian sehinggalah ia akhirnya menjadi milik pelakon muda Hafeez Mikail dan Daiyan Trisha.

“Busker adalah filem cinta remaja dan semestinya kami perlu cari pelakon-pelakon remaja di antara usia 18 hingga ke 25 tahun supaya nampak lagi real dalam skrin.

“Pelbagai ujibakat dilakukan termasuk ujian keserasian dan kalau nak tahu enam bulan kami cari pelakon yang sesuai untuk bawa watak Adil dan Vera.

“Macam watak Adil, dia bukan sahaja perlu pandai berlakon malah dia juga kena tahu menyanyi dan ada latar belakang main muzik sedikit,” katanya ketika ditemui pada Malam Gala Filem Busker di MM2 Cineplex, Damansara baru-baru ini.

Sementara itu, penerbitnya, Syahrul Imran berkata idea untuk menerbitkan Busker tercetus sekitar awal tahun 2000 apabila dia mengutarakan pendapat dan menjangkakan filem genre percintaan remaja kembali popular kerana ia amat jarang dipertontonkan di layar perak.

“Meletakkan muzik sebagai latar belakang bersesuaian dengan kumpulan sasar penonton filem iaitu remaja di kalangan usia 18 hingga 25 tahun. Apa yang lebih menarik tentang filem Busker ini ia menampilkan 21 lagu baru dan lama. Kesemua lagu-lagu ini dipilih atas relevan pada masa sekarang dan genre yang selalu dimainkan oleh pemuzik jalanan itu sendiri,” katanya.

Lokasi penggambaran Busker 100 peratus dilakukan di sekitar Johor Bahru yang mana penggambaran bermula pada Disember tahun lalu.

Filem ini turut menggunakan khidmat Monoloque selaku pengarah muzik. Lagu tema Busker iaitu Atma Jiwa merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Monoloque yang dinyanyikan band Simfoni Dalam Poket yang terdiri daripada Hafeez, Anas Ridzuan dan Bulan.

Bakal ditayangkan pada 11 Januari ini, Busker akan disiarkan di 70 pawagam di Malaysia termasuk di Brunei dan Singapura.

Selain Hafeez dan Daiyan, filem ini turut dibarisi Anas Ridzuan, Bulan, Mas Khan, Jihan Muse, Zain Ruffedge dan Man Bai.

Busker mengisahkan sekumpulan remaja yang menikmati muzik jalanan dan ingin memperjuangkan minat mereka ke tahap yang lebih tinggi. Ia memaparkan konflik persahabatan dan percintaan di antara Adil dan Vera. – KopiPlanet.com

Kredit Foto:  Azul Adnan

Penangan Busker, Hafeez Dapat Offer Jadi Penyanyi

Pelakon Hafeez Mikail mendedahkan dia ada menerima tawaran daripada sebuah syarikat rakaman namun buat masa ini lebih senang untuk menumpukan perhatian terhadap projek khas bersama komposer Monoloque.

Kebolehan Hafeez menyanyi dan bermain alat muzik terbukti apabila dia berjaya membawakan watak penyanyi jalanan menerusi filem Busker yang bakal memulakan tayangannya di pawagam pada 11 Januari ini.

Menerusi filem arahan Syed Khairul Fariz itu, Hafeez yang membawakan watak Adil mempunyai band bernama Simfoni Dalam Poket yang turut dianggotai Anas Ridzuan dan Bulan.

“Ada sebuah syarikat rakaman ini dah menawarkan saya untuk menjadi penyanyi solo, tapi saya terpaksa tolak dulu buat masa ini.

“Saya perlu belajar betul-betul dalam bidang nyanyian barulah fikir semula tentang itu. Tapi untuk Simfoni Dalam Poket pula, Monoloque yang akan uruskan sebab dia yang cipta kumpulan ini.

“Kalau boleh dia memang nak kami terus menjadi sebuah band,” katanya ketika ditemui pada Malam Gala Busker di MM2 Cineplex, Damansara baru-baru ini.

Simfoni Dalam Poket merupakan band ciptaan dalam filem Busker namun pengarah muzik filem tersebut iaitu Monoloque melihat band itu mempunyai potensi untuk dikembangkan ke scene muzik tanah air.

Hafeez turut mengakui pada awalnya dia langsung tidak boleh bermain gitar dengan baik, namun demi mendalami wataknya Hafeez telah berguru dengan Monoloque agar dirinya tidak nampak kekok membawakan watak seorang pemuzik jalanan.

“Alhamdulillah, setakat itu kemampuan saya, malah saya juga ada buat inisiatif sendiri dengan busking di Bukit Bintang dan Avenue K bagi mendalami lagi watak yang diberikan. Saya harap dapat puaskan hati semua yang menonton Busker nanti,” katanya.

Selain Hafeez, Busker turut dibarisi Daiyan Trisha, Mas Khan, Lia Natalia, Anas Ridzuan, Bulan, Zain Ruffedge dan Jihan Muse. – KopiPlanet.com

Kredit Foto:  Instagram Hafeez Mikail

“Kami Memang Rapat Tapi…” – Daiyan Komen Hubungan Dengan Hafeez

Penyanyi dan pelakon Daiyan Trisha menjelaskan dia tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa dengan rakan gandingan dalam filem Busker, Hafeez Mikail biarpun mereka kelihatan rapat di antara satu sama lain.

Menurut Daiyan, mereka memang rapat namun hubungan itu sekadar kawan baik memandangkan mereka sering menghabiskan masa bersama sejak berlakon dalam filem Busker pada penghujung tahun lalu.

“Dia kawan baik saya, kami memang rapat dan sentiasa lepak bersama. Hubungan rapat ini bukan bermaksud kami nak promote filem, sebaliknya memang kami berkawan rapat tapi tak lebih daripada itu,” katanya ketika ditemui pada majlis Mala Gala Busker di MM2 Cineplex, Damansara baru-baru ini.

Menerusi filem Busker yang bakal ditayangkan pada 11 Januari ini, Daiyan membawa watak sebagai Vera, seorang gadis kolej yang mempunyai bakat menulis puisi dan lirik lagu.

Selain Daiyan, filem arahan Syed Khairul Fariz itu turut dibarisi Hafeez Mikail, Anas Ridzuan, Bulan, Mas Khan dan Lia Natalia.

Sementara itu, bercakap mengenai kepuasan berlakon dalam filem berunsurkan muzik itu, Daiyan mengakui rasa berbaloi berlakon dalam naskhah Busker memandangkan hampir dua tahun dia berehat dalam bidang lakonan bagi memberi ruang untuknya menyelesaikan pengajian ijazah terlebih dahulu.

“Penantian dua tahun berbaloi, dapat pula berlakon dalam filem yang berunsurkan muzik, lagi saya gembira. Alhamdulillah, saya sudah beri yang terbaik dan harapnya semua suka dengan filem ini,” katanya yang berguru dengan cikgu lakonan, Sobri Anuar dua bulan sebelum penggambaran bermula pada Disember tahun lalu.

Menurut gadis berusia 24 tahun ini, untuk tahun 2018 dia memasang impian untuk terus fokus dalam bidang seni sama ada dalam dari segi cabang nyanyian mahupun lakonan dan Daiyan juga tidak ‘berkecil hati’ sekiranya peminat lebih mengenalinya sebagai seorang pelakon daripada seoran penyanyi.

“Saya masuk dalam bidang nyanyian terlebih dahulu namun saya okey sahaja jika lebih dikenali sebagai seorang pelakon asalkan orang nampak yang saya buat ini sesuatu yang berseni dan tidak sekadar tangkap muat,” katanya yang mengakui memilih karya berdasarkan jalan cerita sesuatu naskhah itu.

Busker mengisahkan sekumpulan remaja yang diwakili Adil (Hafeez) meminati muzik jalanan dan ingin memperjuangkan minat mereka ke tahap lebih tinggi. Adil yang mula berkawan dengan Vera (Daiyan) mendapat semangat baharu dalam menggapai impiannya untuk berkarya dengan muzik namun berhadapan dengan konflik di antara persahabatan dan percintaan apabila tanpa disedari dirinya sudah mula menyayangi gadis tersebut. – KopiPlanet.com

Kredit Foto:  Instagram Daiyan Trisha