• FOLLOW US
Filem, Malam Gala, Terkini

“Ambil Masa Enam Bulan Cari Adil Dan Vera” – Pengarah Busker

Bagi mendapatkan pelakon yang bersesuaian untuk membawakan watak Adil dan Vera, pengarah filem Busker, Syed Khairul Fariz mendedahkan pasukan produksinya terpaksa menunggu hampir enam bulan sebelum bertemu pelakon yang sesuai untuk dua watak utama itu.

Menurutnya, pelbagai peringkat ujibakat dilakukan termasuk ujian keserasian sehinggalah ia akhirnya menjadi milik pelakon muda Hafeez Mikail dan Daiyan Trisha.

“Busker adalah filem cinta remaja dan semestinya kami perlu cari pelakon-pelakon remaja di antara usia 18 hingga ke 25 tahun supaya nampak lagi real dalam skrin.

“Pelbagai ujibakat dilakukan termasuk ujian keserasian dan kalau nak tahu enam bulan kami cari pelakon yang sesuai untuk bawa watak Adil dan Vera.

“Macam watak Adil, dia bukan sahaja perlu pandai berlakon malah dia juga kena tahu menyanyi dan ada latar belakang main muzik sedikit,” katanya ketika ditemui pada Malam Gala Filem Busker di MM2 Cineplex, Damansara baru-baru ini.

Sementara itu, penerbitnya, Syahrul Imran berkata idea untuk menerbitkan Busker tercetus sekitar awal tahun 2000 apabila dia mengutarakan pendapat dan menjangkakan filem genre percintaan remaja kembali popular kerana ia amat jarang dipertontonkan di layar perak.

“Meletakkan muzik sebagai latar belakang bersesuaian dengan kumpulan sasar penonton filem iaitu remaja di kalangan usia 18 hingga 25 tahun. Apa yang lebih menarik tentang filem Busker ini ia menampilkan 21 lagu baru dan lama. Kesemua lagu-lagu ini dipilih atas relevan pada masa sekarang dan genre yang selalu dimainkan oleh pemuzik jalanan itu sendiri,” katanya.

Lokasi penggambaran Busker 100 peratus dilakukan di sekitar Johor Bahru yang mana penggambaran bermula pada Disember tahun lalu.

Filem ini turut menggunakan khidmat Monoloque selaku pengarah muzik. Lagu tema Busker iaitu Atma Jiwa merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Monoloque yang dinyanyikan band Simfoni Dalam Poket yang terdiri daripada Hafeez, Anas Ridzuan dan Bulan.

Bakal ditayangkan pada 11 Januari ini, Busker akan disiarkan di 70 pawagam di Malaysia termasuk di Brunei dan Singapura.

Selain Hafeez dan Daiyan, filem ini turut dibarisi Anas Ridzuan, Bulan, Mas Khan, Jihan Muse, Zain Ruffedge dan Man Bai.

Busker mengisahkan sekumpulan remaja yang menikmati muzik jalanan dan ingin memperjuangkan minat mereka ke tahap yang lebih tinggi. Ia memaparkan konflik persahabatan dan percintaan di antara Adil dan Vera. – KopiPlanet.com

Kredit Foto:  Azul Adnan

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend