• FOLLOW US

Kron Naskhah Moden Segar Warnai Industri Filem Tempatan

Tajuk: Kron
Tarikh Tayangan: 22 Ogos 2019
Durasi: 1 jam 30 minit
Genre: Drama
Pengarah: Opie Zami
Pelakon: Zahiril Adzim, Dayana Roza, Aman Graseka, Mamak Puteh, Ellie Suriaty, Opie Zami, Ruminah Sidek
Klasifikasi: P13

Jarang-jarang sekali filem tempatan mengetengahkan konsep ‘time travel’ dan di atas sebab itu, pengarah filem Kron, Opie Zami cuba mencabar diri dengan menerbitkan naskhah bergenre sebegitu bagi memberi satu nafas baharu dalam industri filem tanah air.

Filem lokal berunsur fiksyen sebegini tidak seharusnya kita meletakkan ekspektasi yang tinggi namun Opie berjaya melakukan yang terbaik untuk menjadikan naskhahnya suatu karya yang segar.

Lokasi dan sinematografi dalam filem ini kelihatan sangat berseni namun sedikit suasana kelam mungkin ingin diselarikan dengan vibrasi gelap mengikut jalan cerita yang diterbitkan syarikat produksi Opyglobal Pictures.

Daripada segi jalan ceritanya, ia kelihatan sedikit kompleks namun masih boleh mudah difahami. Lakonan para pelakon pula tidak perlu dipertikaikan lagi kerana masing-masing berjaya menyampaikan karakter masing-masing dengan baik dan berkesan.

Tataan seni juga harus diberi pujian kerana set penggambarannya membuatkan kita seakan-akan masuk ke alam yang cuba disampaikan itu. Secara keseluruhannya, Kron mampu membuka mata rakyat Malaysia bahawa filem lokal bergenre sebegini juga boleh berdaya saing dengan filem antarabangsa mahupun filem negara jiran.

Kron yang merupakan sebuah filem fiksyen turut menerapkan beberapa fakta sebenar tentang kerajaan negeri Kedah dahulu kala. Ia mengisahkan tentang seorang pengkaji serajah di sebuah muzium di Kedah bernama Profesor Daud di mana pihak atasan telah menghalang dirinya dan pembantunya, Sham untuk melakukan ekspedisi menjejaki laluan Raja Siam untuk mencari bunga emas dan perak kerana bimbang akan bahaya.

Namun Profeseor Daud nekad untuk meneruskan misinya selepas seorang ahli perniagaan, Suri bersetuju untuk menanggung kos ekspedisi tersebut. Dia turut mendapat bantuan daripada seorang pengarah televisyen paranormal, Pian yang menawarkan diri untuk merakam aktiviti mereka tanpa sebarang bayaran.

Keadaan yang pada mulanya lancar menjadi buruk apabila perjalanan mereka terganggu, setelah pandangan mereka dikaburkan dan menyebabkan mereka tersalah masuk laluan sehingga menyebabkan kumpulan ekspedisi itu diburu oleh makhluk misteri bernama Kron.

Mula ditayangkan hari ini di 61 pawagam seluruh negara termasuk Brunei, Kron pasti mengujakan anda dan mampu memberikan hiburan sepenuhnya buat anda sekeluarga. – KopiPlanet.com

Isu Berkemban Dalam Iklan Produk: Dayana Roza Mohon Maaf

Pelakon Dayana Roza tampil membuat permohonan maaf terhadap mana-mana pihak yang tersinggung dengan iklan produk sabun keluarannya, Dermaganic yang menampakkannya hanya berkemban dengan memakai top berwarna putih.

Menurut Dayana, 28, dia tidak berniat untuk menimbulkan kontroversi sebaliknya hanya ingin mengikut konsep iklan produk antarabangsa yang sentiasa tampil dengan tema ‘less is more’.

“Saya mohon maaf jika ada mana-mana pihak yang tersinggung dengan penampilan saya dalam iklan itu walaupun saya rasa ia tidak keterlaluan bagi pihak orang-orang yang rapat dengan saya termasuk ahli keluarga dan rakan-rakan.

“Masa saya tayangkan iklan itu kepada ayah saya dia pun cakap benda ini pasti akan jadi kontroversi,  tetapi memang bukan niat saya untuk timbul kontroversi. Sebaliknya, saya hanya mengambil konsep ringkas, ‘less is more’ yang sinonim dengan iklan produk kecantikan antarabangsa,” ujarnya.

Dia berkata demikian ketika ditemui semasa majlis pratonton filem Kron yang diadakan di MM2 Cineplexes, E-Curve, Mutiara Damansara semalam.

Dayana berkata, walaupun sudah lali dengan pelbagai kecaman, dia meminta semua pihak menghormati pandangannya seperti mana dia menghormati teguran dan pandangan orang ramai di luar sana.

“Rasanya kalau bukan saya yang jadi model iklan itu mesti tiada orang yang kecam, padahal saya masih lagi berbaju dalam iklan tersebut. Biasalah, orang lebih suka melihat kesalahan yang kita lakukan daripada perkara-perkara baik yang pernah kita buat.

“Saya akui sedikit tertekan tapi ini bukan kali pertama saya dikecam, saya hormati pandangan orang dan saya harap orang pun hormati pandangan saya dan saya sentiasa percaya setiap benda berlaku ada hikmahnya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, filem lakonan Dayana berjudul Kron bakal ditayangkan bermula 22 Ogos ini. Filem arahan Opie Zami itu turut menampilkan Zahiril Adzim, Aman Graseka, Mamak Puteh dan Ruminah Sidek. – KopiPlanet.com

Semangat Setiakawan Punca Dayana Roza Berkawan Dengan Mat Rempit

Jika kebanyakan daripada kita sering melabelkan mat rempit dengan pelbagai aktiviti negatif seperti dadah dan jenayah ragut, pelakon Dayana Roza pula berfikiran sebaliknya.

Menurut Dayana atau nama sebenarnya, Nur Dayana Kamsun Baharin, 28, tidak semua mat rempit terlibat dengan aktiviti negatif seperti yang digambarkan ramai, malah dia sebenarnya sangat mengagumi semangat setiakawan yang tunjukkan mereka.

“Saya ada kawan mat rempit dan dia siap kena buli lagi di sekolah. Apa yang boleh saya katakan tidak semuanya jahat. Pandangan saya mula terbuka sejak berlakon filem Minah Motor, ramai mat rempit yang saya kenal baik-baik orangnya.

“Selain itu, saya ‘respect’ mereka sebab hubungan persahabatan di antara mereka sangat kuat. Kalau seorang ada masalah mereka pasti akan sedia membantu, itu antara benda positif yang saya nampak pada mat rempit ini. Saya memang tidak kisah berkawan dengan mat rempit,” katanya kepada KopiPlanet.com

Dayana ditemui pada majlis pengenalan filem Marabahaya Underground yang diadakan di Malaysia Animation Park Studios (MAPS), Ipoh, Perak baru-baru ini.

Bercerita lebih lanjut tentang filem aksi sukan permotoran itu, Dayana berkata minatnya dalam sukan permotoran akan direalisasikan dengan sebaik mungkin menerusi watak Amira yang dijayakan olehnya.

“Watak saya dalam filem ini bukan seorang wanita tomboy, kalau filem aksi mesti orang ingat pelakon wanita kena bergaya ala tomboy tapi tidak dalam filem ini.

“Saya masih menampakkan ciri-ciri fizikal seorang wanita seperti berambut panjang, cuma minatnya sahaja yang lebih terarah kepada sukan drift,” jelasnya.

Selain Dayana, filem terbitan D’Edge Communications itu turut dibintangi Akim Ahmad, Hazama dan Fatin Afeefa.

Penggambaran akan bermula pada minggu pertama Ramadan dan lokasi penggambaran akan berlangsung di sekitar Perak dan Cameron Highland. – KopiPlanet.com