• FOLLOW US

“Tiada Perbincangan Dibuat Bersama Pihak Finas” – Ahmad Idham

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Ahmad Idham Ahmad Nadzri menegaskan tiada perbincangan dibuat dan pihak Finas tidak pernah diberitahu mengenai kemunculan pasangan pelakon Fattah Amin dan Fazura semasa menyampaikan trofi Anugerah Khas Juri pada Festival Filem Malaysia ke-30 (FFM30) yang berlangsung baru-baru ini.

Ahmad Idham berkata, dia sendiri sudah membuat pemerikasaan dengan jawatan kuasa Finas dan FFM30 berhubung isu yang timbul itu.

“Saya sudah memeriksa dengan jawatan kuasa Finas dan FFM30 dan didapati tiada persetujuan mengenai Fattah dan Fazura naik bersama-sama untuk menyampaikan anugerah.

“Malah, saya juga difahamkan ada beberapa penggiat seni yang menyatakan rasa tidak bersetuju dengan tindakan tersebut kerana ia seolah-olah tidak menghormati agenda majlis nasional seperti ini,” kata Ahmad Idham.

Tegasnya lagi, kesemua penyampai pada malam itu juga adalah mereka yang sudah pun pernah dinobatkan sebagai pemenang menerusi pelbagai kategori FFM sebelum ini.

Sehubungan itu, Ahmad Idham meminta pihak produksi memberi surat tunjuk sebab serta bertanggung jawab ke atas tindakan yang disifatkan tidak wajar berlaku dalam sejarah FFM.

“Finas merupakan pihak yang membayar kos produksi pada malam itu. Lagipun ini bukan majlis anugerah sekolah menengah yang boleh diubah sesuka hati,” tegas beliau.

Dalam pada itu, beliau berharap agar pihak Datuk Hans Isaac dan Fazura tidak perlu bersengketa hinggalah laporan lengkap diterima oleh pihak Finas. – KopiPlanet.com

Ada Pihak Tidak Puas Hati Fattah Teman Fazura Naik Ke Pentas???

Semalam berlangsungnya acara anugerah Festival Filem Malaysia Ke-30 (FFM30), di mana menyaksikan filem Crossroads: One Two Jaga diumumkan sebagai pemenang bagi kategori Filem Terbaik.

Cuma, di sebalik kemeriahan acara yang berlangsung itu, ada juga cerita kurang enak yang Cik Kopi dengar daripada beberapa sumber terdekat.

Kalau ramai yang menonton acara berkenaan, mesti akan perasan kesemua penyampai anugerah pada malam tadi adalah mereka yang pernah muncul sebagai pemenang FFM sebelum ini.

Bagaimanapun, apa yang menjadi tanya apabila salah seorang penyampai iaitu Fazura muncul dipentas untuk menyampaikan anugerah sambil ditemani suaminya Fattah Amin.

Ketika Adibah Noor mengumumkan nama yang akan menjadi penyampai pun hanya nama Fazura sahaja disebut memandangkan dia merupakan pemenang Pelakon Wanita Terbaik FFM27.

Namun begitu, Cik Kopi dengar ada juga berlaku sedikit kekecohan di belakang pentas. Menurut sumber Cik Kopi, Fazura sendiri yang meminta pihak produksi supaya membenarkan suaminya naik sekali untuk menemaninya menyampaikan anugerah.

Jadi, dengarnya ada yang tidak berpuas hati memandangkan nama-nama yang sudah ditetapkan sahaja naik ke pentas untuk menyampaikan anugerah. Lagipun tiada pula kelihatan penyampai lain yang naik ke pentas ditemani pasangan.

Kalaulah benar Fazura memang ingin suaminya menemaninya di atas pentas, rasanya perlulah memaklumkannya dengan lebih awal. Dan kalau pihak produksi tidak mengizinkan, dia seharusnya perlu akur dengan keputusan tersebut.

Mungkin ramai yang beranggapan ia merupakan perkara kecil, tetapi Cik Kopi rasa setiap orang perlu bersikap profesional serta ikut segala yang ditetapkan supaya majlis berjalan dengan lancar.

Bagi Cik Kopi, sepatutnya perkara sebegitu tidak seharusnya berlaku. Apatah lagi acara seperti FFM itu merupakan sebuah majlis yang berprestij dengan memberi pengiktirafan hasil kerja anak seni yang terbaik. – KopiPlanet.com

Crossroads: One Two Jaga Dinobat Filem Terbaik FFM30

Filem Crossroads: One Two Jaga telah dinobatkan sebagai Filem Terbaik dalam acara Anugerah Festival Filem Malaysia Ke-30 (FFM30) yang berlangsung malam ini.

Kejayaan tersebut menyaksikan filem arahan Namron itu menewaskan empat buah filem lain, antaranya seperti Paskal The Movie, Guang, One Two Jaga, Dukun dan Vedigundu Pasangge.

Untuk kategori Pengarah Terbaik pula, ia diraih oleh Namron (Crossroads: One Two Jaga) dengan menewaskan empat calon lain iaitu Andrian Teh (PAskal The Movie), Dain Said (Dukun), Dr. Vimala Perumal (Vedigundu Pasangge) dan Syamsul Yusof (Munafik 2).

Sementara itu, bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik pula menjadi milik Dr. Rosdeen Suboh menerusi filem Crossroads: One Two Jaga dan Pelakon Wanita Terbaik pula diraih oleh Datin Seri Umie Aida (Dukun).

FFM 30 yang berlangsung kali ini menyaksikan sebanyak 42 buah filem layak bertanding, di mana sebanyak 25 filem berbahasa Melayu dicalonkan, manakala lapan (Mandarin), tujuh (Tamil) dan dua (Kantonis).

Antara barisan juri yang mengadili anugerah pula terdiri daripada Datin Paduka Shuhaimi Baba, R. Perakas Rajaram, Mior Hashim Manap, Shazryn Mohd. Faizal, Mohd. Filus Ghazali, SM Zakir, Akma Suriati Awang, Ayob Ibrahim, Effendee Mazlan dan U-Wei Hj Saari selaku Ketua Juri. – KopiPlanet.com

**Senarai Pemenang FFM 30
-Filem Terbaik – Crossroads: One Two Jaga
-Pengarah Terbaik – Namron (Crossroads: One Two Jaga)
-Pelakon Lelaki Terbaik – Rosdeen Suboh (One Two Jaga)
-Pelakon Wanita Terbaik – Datin Seri Umie Aida
-Anugerah Khas Juri – i) Paskal The Movie ii) Vedigundu Pasangge iii) Busker The Movie
-Anugerah Karyawan Sepanjang Zaman – AR Badul
-Cerita Asal Terbaik – Crossroads One Two Jaga
-Lakon Layar Terbaik – Amri Rohayat, Fared Ayam & Namron (Crossroads: One Two Jaga)
-Penggiat Belakang Tabir – Habsah Hassan
-Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik – Hasnul Rahmat (Polis Evo 2)
-Pelakon Pembantu Wanita Terbaik – Nabila Huda (Makrifat Cinta)
-Filem Box Office – Munafik 2
-Pengarah Harapan Terbaik – Quek Shiou Chuan (Guang)
-Pelakon Kanak-Kanak Terbaik – Eng Wei Jie (Rise Of The Legend – Lee Chong Wei)
-Sinematografi Terbaik – Yeong Tuck Wei (Guang)
-Pelakon Lelaki Harapan – Kyo Chen (Guang)
-Pelakon Wanita Harapan – Jaya Ganason (En Veettu Thottathil)
-Lagu Tema Terbaik – Busker The Movie
-Skor Muzik Asal Terbaik – Two Sisters
-Penataan Seni Terbaik – Guang
-Penyunting Terbaik – Dukun
-Penataan Bunyi Terbaik – Pulang
-Kesan Khas Terbaik – Dukun
-Kostum Busana Terbaik – Dukun
-Poster Filem Terbaik – Crossroads: One Two Jaga

FFM30 Berlangsung 30 Mac Ini, Dihoskan Nabil Ahmad & Adibah Noor

Festival Filem Tempatan ke-30 (FFM30) akhirnya kembali diadakan pada 30 Mac ini bertempat di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Pengerusi Perbadanan Filem Nasional (Finas), Datuk Samsuni Mohd Nor berkata penganjuran FFM30 adalah untuk memberi pengiktirafan kepada penggiat industri filem tempatan selain membudayakan semangat cinta filem keluaran tempatan.

“Pelbagai sektor telah menyumbang kepada perkembangan industri filem tempatan. Maka, FFM30 kembali pada tahun ini bagi memberi pengiktirafan kepada semua penggiat filem yang terlibat dalam penerbitan filem sepanjang tahun lalu.

“Sebanyak 42 filem akan bertanding bagi merebut 27 kategori yang dipertandingkan,” katanya kepada KopiPlanet ketika ditemui pada majlis sidang media FFM30 yang diadakan di Dorsett Hartamas, Kuala Lumpur hari ini.

Antara filem yang dipertandingkan seperti Munafik 2, Pinjamkan Hatiku, Paskal, Polis Evo 2, KL Special Force, Tombiruo, One Two Jaga dan Hantu Kak Limah.

FFM30 akan dihoskan oleh pasangan pengacara Nabil Ahmad dan Adibah Noor dengan mengangkat tema Inspirasi Sinemaku. Kali terakhir FFM29 diadakan adalah pada 24 September 2017.

Antara selebriti yang terlibat sebagai penyampai anugerah pada malam berprestij itu ialah Datuk Yusof Haslam, Fauziah Datuk Ahmad Daud, Maya Karin, Faizal Hussein, Pekin Ibrahim, Zul Ariffin, Erma Fatima dan ramai lagi.

Ia akan disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (104) dan Ria HD (123). – KopiPlanet.com