• FOLLOW US

Aksi Tangkas Donnie Yen Kembali Dalam Siri Terakhir Ip Man 4: The Finale

Peminat filem aksi Ip Man pasti sudah tidak sabar menantikan siri terakhir Ip Man 4: The Finale yang bakal ditayangkan bermula 20 Disember ini.

Masih mengekalkan hero aksi lasak yang sama iaitu pelakon berpengalaman Donnie Yen, pastinya pelbagai aksi lasak dan ekstrem bakal memuaskan hati peminat setia filem ini.

Menurut Donnie, pengalamannya dalam membawakan watak sebagai Ip Man sebelum ini banyak membantunya untuk menjayakan filem tersebut.

“Pengalaman yang saya ada banyak membantu saya menghayati watak ini dengan lebih mendalam namun ia bukanlah satu perkara yang mudah.

“Bagaimanapun, saya cukup bertuah kerana diberi peluang untuk memegang watak yang sama sebanyak empat kali,” katanya.

Ip Man 4: The Finale merupakan arahan Wilson Yip diterbitkan oleh Mandarin Film, manakala dibawakan oleh Lotus Five bersama RAM Entertainment selaku rakan pemasaran.

Bagi menjayakan babak pertarungan pula, pelakon itu menjelaskan bimbingan daripada Yuen Woo Ping yang bertindak selaku pengarah aksi akan memastikan setiap babak dapat dilakukan dengan sempurna.

“Beliau adalah seorang senior yang dihormati dan guru yang terkenal. Saya yakin dengan koreografinya kerana setiap idea yang diutarakan adalah asli dan baharu.

“Selain itu, beliau akan memastikan setiap aksi pukulan mendapat momen yang terbaik bagi mencapai kesempurnaan,” ujarnya lagi.

Selain Donnie, filem hebat ini turut dibintangi Wu Yue, Scott Adkins, Chris Collins, Vanness Wu, Vanda Margraf dan Danny Chan Kwok-kwan.

Ip Man 4: The Finale diedarkan oleh Lotus Five Star bersama rakan pemasaran RAM Entertainment akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 20 Disember ini.

Sinopsis:

Donnie Yen kembali menghidupkan wataknya sebagai Ip Man menerusi Ip Man 4: The Finale. Kisahnya bermula apabila hubungan Ip Man dengan anaknya, Ip Chun semakin terasing. Demi masa depan anaknya, Ip Man telah pergi ke San Francisco, Amerika Syarikat bagi mencari kemudahan persekolahan yang sesuai.

Bagaimanapun, ketika berada di sana, dia berhadapan dengan diskriminasi kaum yang berterusan dan sering diperlakukan secara tidak adil oleh penduduk tempatan.