Penyanyi baharu di bawah naungan Shiha Zikir Empire, Hazreen Amreena kini telah muncul dengan single terbaharu berjudul Teruskanlah.
Menurut Hazreen, 29, lagu hasil kerjasama Shiha Zikir Empire dan Sony Music Entertainment Malaysia ini membawa makna dan impak yang lebih dekat dengan dirinya berbanding lagu pertamanya sebelum ini.
“Lagu Teruskanlah memang berbeza penceritaannya. Kalau sebelum ini saya hanya ada lagu cinta, tapi kali ini ia membawa mesej tentang perjuangan dalam hidup.
“Kita semua tahu, kita semua ada perjuangan dan pengorbanan tersendiri. Tipulah kalau tak ada rasa penat, rasa nak mengalah, tetapi tetap gagah teruskan kehidupan demi orang yang tersayang. Ada juga yang kita pendam sendiri supaya tetap nampak kuat di mata orang tersayang padahal jauh di sudut hati, kita tak kuat.
“Jadi, dengan lagu Teruskanlah ini, ia sedikit sebanyak dapat meluahkan apa yang tersimpan dalam hati seseorang yang mungkin tak dapat nak diluahkan sendiri. Insya-Allah lagu ini boleh memujuk dan memeluk hati semua yang sedang berhabis habisan berjuang untuk kuat,” katanya membuka bicara.
Dalam pada itu, Hazreen juga menyifatkan kerjasamanya dengan Shiha Zikir sebagai satu perkara yang bermakna, lebih-lebih lagi lagu Teruskanlah ini dicipta sepenuhnya oleh Shiha selaku penulis lirik dan komposer.
“Saya sangat berterima kasih kepada Shiha Zikir Empire sebab mempercayai diri saya dan sentiasa ada untuk membantu saya. Kak Shiha memang seorang yang sentiasa mahukan yang terbaik dan tegas ketika bekerja. Bagi saya, cara Kak Shiha itulah yang membantu saya untuk tidak leka dalam mengejar impian terutamanya sebagai penyanyi yang masih mencari langkah.
“Lagu ini bermula dengan pertanyaan Kak Shiha kepada saya, beliau tanya saya mahu lagu apa. Kemudian saya luahkan kepada beliau yang saya nak lagu untuk anak sulung atau seorang provider yang sentiasa bekerja keras untuk orang tersayang walaupun diri sendiri penat dan tiada tempat untuk meluah. Maka dari itu, terhasil lah karya indah ini. Terima kasih Kak Shiha untuk karya yang penuh bermakna ini,” katanya.

Hazreen juga menambah: “Lagu ini saya tujukan kepada diri saya sendiri dan sesiapa yang berjuang dalam hidup mereka. Macam saya sendiri, saya masih berusaha mencapai impian saya dalam bidang seni ini, tipulah kalau tak pernah nak give up, tapi itu bukan alasan untuk saya berhenti di tengah jalan.
“Jadi, makna lagu ini juga dekat dengan diri saya. Saya harap bila orang dengar lagu ini, mereka akan lebih kuat, tidak mudah mengalah dan terus berjuang hingga ke akhirnya,” jelasnya.
Pada masa sama, Hazreen juga meletakkan harapan agar lagu Teruskanlah ini menjadi batu loncatan untuk kerjayanya berkembang lebih mekar.
“Semoga lagu ini didengar dan diminati ramai orang. Saya juga berharap agar menerusi lagu ini, Allah kurniakan saya lebih banyak rezeki dan peluang pada masa akan datang.
“Pada masa sama, semoga mesej lagu Teruskanlah dapat sampai tepat ke hati pendengar. Saya juga harap ramai orang menggunakan lagu ini di platform media sosial terutamanya ketika hendak berkongsi pahit manis kehidupan mereka. Kalau orang rasa lagu ini dapat jadi pemangkin semangat, saya sangat sangat bersyukur,” katanya.
Sementara Shiha pula berkata, dia memilih untuk bertanya pelbagai soalan kepada Hazreen terlebih dahulu sebelum mula menulis lagu berkenaan.
“Untuk lagu kedua Hazreen ini, memang saya tanya dia mahu lagu macam mana. Bagi saya, kalau hendak keluarkan lagu artis naungan saya, kedua-dua belah pihak perlu rasa gembira dan puas hati. Hazreen boleh dapat lagu yang dia mahu, begitu juga dengan saya.
“Sewaktu menulis lagu ini, saya banyak tanya soalan kepada Hazreen. Katanya, dia mahu lagu tentang apa yang dilalui oleh anak sulung sebab kadang-kadang dia sendiri rasa penat tapi perlu kuat untuk berbakti kepada keluarga.
“Saya tanya bagaimana cara dia luah perasaan, menurutnya, ketika sedang sedih dia suka duduk dalam bilik dan menangis, maka dari pengalamannya itu saya pun tulis lirik: “di kamar ku sendiri, bertahan untuk berdiri, di saat duniaku runtuh melalui takdir sendiri. Begitu juga dengan jawapan-jawapan lain yang dia beri kepada saya, saya tukar dan olah menjadi lirik lagu ini,” jelasnya.
Shiha juga berpendapat bahawa lagu Teruskanlah ini bukanlah hanya sesuai untuk anak sulung sahaja, tetapi untuk semua yang menggalas tanggungjawab melalui penat lelah cari rezeki untuk keluarga dan insan-insan tersayang.
“Saya sendiri pun boleh kaitkan dengan mesej dan penceritaan lagu ini. Selain untuk diri kita, kita kerja untuk tolong atau berkongsi rezeki dengan keluarga, ibu bapa dan pasangan (bagi yang dah berkahwin). Saya mahu lagu ini menjadi peneman untuk mereka yang rasa penat lelah melalui perjalanan kehidupan,” katanya.
Menyentuh tentang perkara menarik yang disukai tentang penyanyi baharu itu, Shiha akui Hazreen mudah menguasai teknik nyanyian dengan bagus.
“Hazreen mempunyai vocal range yang tinggi, saya pun rasa seronok buat lagu untuk dia. Saya boleh cuba macam-macam sebab Hazreen boleh capai note yang lebih daripada saya sendiri, boleh rendah dan tinggi. Lagu ini memang sesuai dengan suaranya.
“Apabila sudah melakukan sesuatu mestilah saya mahukan hasil yang terbaik dan memuaskan hati. Walaupun saya tegas ketika bekerja, saya puji Hazreen kerana dia adalah seorang ada kemahuan yang tinggi.
“Disebabkan saya yang mencipta lagu ini, proses latihan sebelum ke studio rakaman pun memang kerap. Mungkin orang lain selesa untuk terus jumpa di studio dan berlatih sebelum rakam.
“Saya pula tak mahu susahkan ramai orang terutama mereka yang bekerja di studio, biarlah datang dalam keadaan yang cukup bersedia. Maka saya memilih untuk mengadakan sesi latihan untuk Hazreen di pejabat saya,” ujarnya.
Bercerita lebih lanjut mengenai muzik video kali ini pula, dia menjelaskan bahawa ia ringkas tapi ada maksud yang tersendiri, misalnya ada lilin hampir terpadam yang menjadi simbolik untuk seseorang yang tetap bersinar untuk orang-orang yang tersayang.
Dalam pada itu, Shiha juga memuji sikap dan disiplin yang dimiliki Hazreen sejak bernaung di bawah SZE.
“Saya suka Hazreen sebab dia tak putus asa, rajin dan tak goyang kaki. Zaman sekarang ni kalau tiada usaha, habislah. Hazreen jenis orang yang sanggup cuba macam-macam. Selain menyanyi dia pun ada buat content dengan saya untuk media sosial, berlakon dan kerja-kerja lain yang syarikat produksi saya lakukan. Apa yang saya lihat, dia sudah ada peningkatan dan tidak lagi malu depan kamera.
“Disiplinnya juga baik, selagi wajah-wajah itu ada dengan saya, maksudnya attitude, disiplin mereka bagus. Saya harap Hazreen boleh jadi seperti saya, biar agak perlahan membina kerjaya asalkan sanggup untuk teruskan dan melakukan yang terbaik.
“Walaupun zaman sekarang ramai yang menilai berdasarkan sosial media dengan isu viral dan sebagainya, saya beritahu dia, tak mengapa…biar perlahan asalkan terus berusaha kerana rezeki itu kurniaan Allah SWT.
“Sebab itu juga sebelum saya memilih bakat-bakat baru untuk bernaung di bawah SZE, saya tanya dulu, kalau tujuan mereka hanya untuk menjadi popular semata-mata, saya tak nak. Kalau mereka kata nyanyian adalah jiwa, minat yang mendalam dan sanggup untuk belajar, Insya-Allah saya boleh pertimbangkan,” katanya menutup perbualan.
Lagu Teruskanlah boleh mula didengar di platform digital pilihan anda bermula 3 November 2026, sementara muzik video rasminya juga dilancarkan di YouTube pada tarikh sama. – KopiPlanet.com



