• FOLLOW US

Isa Khan Umum Dah Bertunang Dengan Risteena 23 November Lalu

Teka-teki mengenai status hubungan di antara pelakon Isa Khan dan Nur Risteena Munim akhirnya terjawab selepas mereka mengesahkan sudah bertunang pada hujung November lalu.

Perkara itu diumumkan Isa, 26, menerusi majlis Malam Romantik Ris X Isa yang diadakan di Bora Ombak, Putrajaya, sebentar tadi.

Mereka bertunang pada pada 23 November lalu di Bali, Indonesia selepas lima bulan berkenalan rapat.

“Walaupun ramai yang cuba meracuni fikiran awak dengan mengatakan saya bukan orang baik, namun awak tetap menerima diri saya.

“Malam ini di hadapan semua tetamu, saya berjanji akan menjaga awak dengan penuh kasih dan sayang saya, terima kasih Nur Risteena Munim Zainul Ilyas kerana menerima kehadiran saya dalam hidup awak,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Majlis itu turut dihadiri ahli keluarga kedua-dua belah pihak termasuk adik Risteena, pelakon Ruhainies.

Majlis pengumuman itu turut dimeriahkan dengan sambutan ulang tahun kelahiran ke-30 Risteena pada 19 November lalu.

Pasangan itu mula berkenalan ketika sama-sama terlibat menjayakan drama RTM Bulan Jatuh Ke Langit, Mei lalu.

Risteena sebelum ini pernah bercinta dengan pelakon Ikhwan Khairuddin dan mereka sepatutnya dijadualkan berkahwin November lalu.

Namun dalam satu kenyataan sebelum ini, Ikhwan mengakui hubungan cinta selama tujuh tahun dengan Risteena sudah putus di tengah jalan.

Mengulas mengenai perkara itu, Risteena menjelaskan, Isa bukan seorang perampas seperti yang diperkatakan ramai pihak sebelum ini.

“Saya dan Isa mula rapat ketika saya sudah kembali solo. Keserasian di antara kami menyebabkan kami yakin dengan perhubungan yang dibina selain saya melihat kesungguhan dia dalam hala tuju percintaan kami.

“Setakat ini, kami masih belum merancang lagi bila tarikh nikah dan kami akan beritahu kepada umum bila tiba masanya nanti,” ujar Risteena. – KopiPlanet.com