• FOLLOW US

Kaka Azraff & Suami Selesa Pilih Nama Ringkas Untuk Bayi Sulung

Penyanyi Kaka Azraff dan suaminya, Adam Azriff kini hanya menanti masa untuk menimang cahaya mata sulung mereka yang dijangka lahir pada minggu hadapan.

Menurut penyanyi kelahiran Klang itu, dia dan suami sudah mempunyai nama untuk anak mereka yang sudah diketahui jantina lelaki menerusi pengumuman dalam majlis baby shower yang diadakan Kaka sebelum ini.

“Kami dah ada nama anak dan ia cukup ringkas hanya ada satu nama sahaja, tidak panjang dua atau tiga nama. Kami lebih selesa pilih nama ringkas sebab Adam pun hanya ada satu perkataan nama sahaja.

“Bab nama memang saya serahkan pada suami, dia yang teliti semua mana-mana nama yang membawa maksud baik untuk cahaya mata kami.

“Nama anak kami akan umumkan sebaik sahaja saya selamat melahirkan dan mengikut tarikh jangkaan, saya akan bersalin pada 9 Oktober ini. Doakan semuanya berjalan lancar dan dipermudahkan ya,” kata Kaka kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sidang media pelancaran single terbaharunya, Diamonds yang berlangsung di Black Pearl Events, Glenmarie, Shah Alam semalam.

Bercerita mengenai perancangan pantang, Kaka berkata dia akan menggunakan khidmat pusat jagaan pantang yang beroperaso di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

“Saya akan berpantang di sana selama 28 hari, semua keperluan saya akan dijaga oleh mereka. Saya sebenarnya tak mahu menyusahkan ibu atau ibu mertua jadi saya rasa ini keputusan yang tepat untuk saya berpantang di bawah jagaan pusat tersebut.

“Saya harap dalam tempoh berpantang, saya akan dapat balik berat badan saya yang dulu. Sejak mengandung, berat badan saya dah naik sampai 15 kilogram, jadi ketika waktu berpantang, saya akan berpantang bersungguh-sungguh,” ujar Kaka lagi.

Kaka mendirikan rumah tangga dengan Adam, yang merupakan seorang usahawan pada 15 Disember tahun lalu.

Walaupun sarat hamil, Kaka atau nama sebenarnya, Noor Atiqa Azraff, 30, tetap mengagahkan diri melancarkan single terbaharunya itu bagi mengubati kerinduan peminat.

Mengulas mengenai perkara itu, Kaka berkata, “Memang saya rasa ini adalah waktu yang tepat untuk melancarkan single Diamonds sebab selepas ini saya akan berehat panjang untuk berpantang.”

“Kiranya lagu ini ibarat buah tangan terbaharu daripada saya buat peminat. Kali terakhir saya keluar single Sibuk pun pada bulan Mac tahun lalu.

“Saya cukup suka lagu Diamonds ini sebab ia mengisahkan tentang harta yang paling bermakna dalam diri seseorang. Ia tidak semestinya harta benda, macam saya, saya dah rasa cukup bahagia dengan anugerah anak selain suami dan keluarga yang sentiasa berada di sisi saya,” katanya lagi.

Diamonds merupakan lagu ciptaan sepenuhnya oleh Alif Sleeq.

Diamonds sudah boleh didapati menerusi semua pelantar digital bermula 13 September lalu selain muzik video Diamonds yang diarahkan Izzat Zulkefli dan Zuliana Eusoff boleh ditonton menerusi saluran Youtube Warner Music Malaysia. – KopiPlanet.com

Tiada Masalah Alahan, Kaka Azraff Umum Hamil Empat Bulan

Penyanyi Kaka Azraff mengumumkan dia kini sedang hamil empat bulan.

Menurut Kaka, dia mengambil keberkatan bulan Ramadan bagi berkongsikan berita baik itu.

“Saya ambil kesempatan nak berkongsi berita gembira bersempena bulan Ramadan bahawa saya sedang berbadan dua.

“Saya tidak berkongsi di awal kehamilan kerana menghormati permintaan keluarga dan setelab doktor mengesahkan kandungan sihat, baru saya yakin untuk berkongsi dengan semua,” katanya.

Kaka berkata demikian kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama anak yatim anjuran Warner Music di Hotel Royal, Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Kaka atau nama sebenarnya, Noor Atiqa Mohd Azraff, 30, dia tidak mengalami sebarang alahan sepanjang kehamilannya.

“Melepasi semester pertama, saya tidak mengalami sebarang alahan.

“Saya ternanti juga perasaan dan pengalaman semasa alahan tetapi tidak ada cuma di awal kehamilan saya alah dengan bau badan suami,” ujarnya.

Kaka turut berkongsi cerita, suaminya, Adam Azriff turut mengambil inisiatif sendiri dengan berhenti merokok sejak mengetahui dirinya berbadan dua.

“Saya rasa terharu suami dah dua bulan berhenti merokok sejak saya mengandung dan ini pengorbanan yang dia ambil kerana dia tahu saya tidak suka kepada bau asap rokok,” katanya lagi.

Kaka berkahwin dengan Adam pada 14 Disember lalu di Klang, Selangor selepas dirisik pada 27 November 2018. – KopiPlanet.com

Kaka Azraff Sah Bergelar Isteri Usahawan Adam Azriff

Penyanyi Kaka Azraff atau nama lengkapnya Noor Atiqa Azraff, 29, telah selamat diijabkabulkan dengan jejaka pilihan hati, Adam Azriff, seorang usahawan pada jam 9.53 malam di kediaman keluarganya di Klang, Selangor sebentar tadi.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan pihak pengurusannya, Kaka dan Adam dinikahkan oleh Ustaz Azmi Selamat dan diwalikan oleh bapa saudara Kaka, Nor Izam Aminuddin. Penyanyi lagu Sibuk itu menerima mas kahwin bernilai RM300.

Majlis akad nikah yang serba sederhana itu dihadiri oleh kaum keluarga terdekat dan sahabat rapat kedua-dua belah pihak.

Mengangkat tema Melayu Klasik, Kaka kelihatan anggun mengenakan busana kebaya putih disamping suami yang nampak segak dalam persalinan daripada rona sama.

Kaka dan suami menzahirkan rasa syukur mereka kepada Allah S.W.T. dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak di atas doa restu dalam meraikan penyatuan kasih mereka ini.

Bagi meraikan pasangan mempelai, satu majlis resepsi bersama pihak media dan peminat akan diadakan pada suatu tarikh yang akan diberitahu kelak. – KopiPlanet.com

Kaka dan Adam mula menjalinkan hubungan istimewa sejak tiga bulan lalu sebelum mengambil keputusan bertunang pada 27 November lepas. – KopiPlanet.com

Kaka Azraff Bertunang Senyap-Senyap Dengan Usahawan Kafe?

Penyanyi Kaka Azraff sebelum ini dikenali sebagai antara selebriti yang cukup berahsia mengenai kisah peribadinya.

Namun, baru-baru ini penyanyi berusia 29 tahun itu dikhabarkan sudah mengikat tali pertunangan dengan kekasihnya, Adam Azriff yang dikatakan mengusahakan perniagaan kafe hipster.

Adam menerusi Instagram Story berkongsikan gambar Kaka yang manis berbaju kurung rona kuning cair serta berselendang kelabu telah disarungkan cincin oleh ibunya.

Selain itu, jejaka itu turut menulis kapsyen,” Say hello to my soon to be ex girlpren @kakaazraff.”

Penyanyi lagu Sibuk itu sebelum ini pernah digosipkan bercinta dengan Rody Kristal dan Awi Rafael. – KopiPlanet.com

Artis Terkenal Tanah Air Bakal Jayakan Hari Eksport Belia 2018

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan menganjurkan acara Hari Eksport Belia 2018 yang akan berlangsung pada 8 Disember 2018 di Menara MATRADE, Kuala Lumpur.

Ketua Eksekutif MATRADE, Ir. Dr. Mohd. Shahreen Zainooreen Madros berkata, acara berkenaan dianjurkan bertujuan menggalakkan belia negara mengambil inisiatif untuk merangka pelan mengakses pasaran luar negara seawal penglibatan mereka dalam aktiviti keusahawanan.

“Sebagai agensi promosi perdagangan negara, MATRADE melihat usaha ini sebagai satu langkah proaktif bagi memastikan kesedaran tentang perdagangan antarabangsa dalam kalangan usahawan muda negara.

“Tambahan pula, kami melihat budaya keusahawanan belia semakin kuat pada waktu ini, namun perspektif mereka masih bertumpu di peringkat domestik sahaja,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa majlis sidang akhbar Hari Eksport Belia 2018 yang berlangsung di Menara MATRADE hari ini.

Menurut Mohd. Shahreen, antara aktviti yang akan berlangsung selama sehari itu seperti sesi bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking untuk membincangkan peluang dan cabaran belia menceburi bidang perniagaan global dan sesi panel bersama usahawan selebriti.

Ujar beliau, turut tidak ketinggalan aktiviti sukan luaran seperti memanah, street soccer, wall climbing, paintball, arked e-sukan, pertunjukan robotic, karnival jualan, pertunjukkan fesyen dan banyak lagi.

“Bagi memeriahkan lagi acara Hari Eksport Belia 2018 berkenaan, turut tidak ketinggalan penampilan artis-artis terkemuka dan selebriti media sosial tanah air.

“Antara artis terkemuka yang akan datang untuk membuat persembahan seperti Kaka Azraff, Caprice dan Andi Bernadee serta pertunjukkan fesyen oleh Anis Al Idrus,” jelasnya.

Kemasukan ke Hari Eksport Belia 2018 adalah percuma dan 2,000 pengunjung terawal bakal menikmati cenderahati istimewa pada hari acara tersebut.

Untuk keterangan lebih lanjut, boleh lawati laman sosial MATRADE di Facebook, Instagram (Youth Export Day) atau laman sesawang www.youthexportday.com. – KopiPlanet.com

Kaka Azraff Anggap Ada Hikmah Gagal Uji Bakat Gol & Gincu 2

Penyanyi Kaka Azraff menganggap kegagalannya dalam uji bakat untuk salah satu watak utama dalam filem Gol & Gincu 2 mempunyai hikmah di sebaliknya.

Menurut Kaka, di sebalik kegagalannya itu, kini dia telah mendapat peluang untuk menyanyikan salah satu lagu runut bunyi (OST) filem berkenaan berjudul Shout It Out.

“Saya akui pernah menghadiri sesi uji bakat untuk watak yang kini dibawakan oleh Diana Danielle. Namun begitu, saya langsung tidak kecewa dengan kegagalan berkenaan.

“Biarpun gagal berlakon dalam filem berkenaan, tetapi saya sangat gembira dengan peluang yang diberikan. Ia sekali gus meneruskan legasi makcik saya iaitu Ella,” ujarnya.

Kaka ditemui KopiPlanet.com semasa majlis pelancaran OST Gol & Gincu 2 yang berlangsung di Red Box Pavilion bersama-sama dengan Aizat Amdan.

Untuk filem Gol & Gincu yang ditayangkan pada tahun 2005, Ella merupakan penyanyi untuk OST filem berkenaan yang bertajuk Teruja.

Dalam pada itu, mengenai projek terkininya sekarang, Kaka memberitahu buat sekarang dia masih dalam proses menghasilkan album penuh.

Ujarnya, buat masa ini dia baru sahaja selesai merakamkan dua buah lagu, termasuk lagu Sibuk yang dilancarkan beberapa bulan.

“Untuk album ini ia masih lagi dalam proses untuk memilih konsep yang bertepatan. Selain itu, ada empat buah lagu lagi yang akan dirakam untuk dimuatkan dalam album saya ini nanti,” ujarnya. – KopiPlanet.com