• FOLLOW US

Lamar Erra Fazira, Isteri Beri Lampu Hijau Kepada Awie

Setelah lebih 20 tahun mengalami episod kegagalan dalam percintaan, penyanyi Datuk Awie dan Erra Fazira akan kembali mengusik kenangan lalu di antara mereka menerusi Konsert Awie Romantika yang akan berlangsung pada 15 Februari nanti.

Awie berkata, dia melihat keserasian yang cukup kuat dengan bekas teman wanitanya itu sebagai salah satu faktor yang membuatkannya tertarik untuk bekerjasama dengan Erra menerusi konsert berskala besar yang dianjurkan oleh HS Shazlicious.

“Keserasian yang ada di antara kami dalam bidang lakonan dan nyanyian telah membuatkan saya melamar Erra untuk bersama-sama menjayakan konsert ini.

“Sebelum membuat lamaran, saya terlebih dahulu dah minta keizinan daripada isteri dan dia beri lampu hijau demi konsert ini. Isteri juga merupakan peminat Erra malah dia sempat berpesan pada saya yang dia nak bergambar dengan Erra nanti,” katanya yang juga merupakan suami kepada Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin.

Menerusi satu sidang media yang diadakan di Zebra Showcase, Palace of Golden Horses, Seri Kembangan hari ini, nama Erra diumumkan sebagai penyanyi undangan yang akan memeriahkan konsert solo Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 51.

Menurut Awie, konsert itu nanti akan menyelitkan beberapa babak lakonan di antaranya dengan Erra selain merungkai persoalan ramai mengenai punca perpisahan mereka, dua dekad lalu.

“Saya dan Erra tidak boleh halang apa yang orang luar nak cakap mengenai kisah lama kami, mereka berhak menilai apa sahaja. Daripada biar mereka terus berteka-teki mengenai perkara tersebut, kami kembalikan nostalgia itu menerusi lagu-lagu yang akan didendangkan pada malam konsert nanti.

“Di luar ke mana sahaja saya pergi, orang pasti akan bertanya tentang kami, malah sampaikan ada orang suruh saya berkahwin dengan Erra. Kami di sini hanya nak tunjukkan contoh yang baik, yang mana jika tiada jodoh tak semestinya kita kena bermusuh. Apa yang lepas, biarkan ia berlalu.

“Untuk konsert ini, kami akan berduet menerusi dua buah lagu dan Erra akan turut mendendangkan tiga buah lagu solonya di samping diselang-selikan dengan beberapa sketsa lakonan yang bersesuaian dengan kisah lama kami,” ujar Awie lagi.

Sementara itu, Erra, 45, pula berkata dia tidak terus menyatakan persetujuan apabila dilamar Awie untuk menyertai konsertnya. Sebaliknya, bekas Ratu Cantik Malaysia 1992 ini mengambil sedikit masa untuk meneliti terlebih dahulu hala tuju konsert tersebut.

“Ketika ditawarkan, saya tidak terus bersetuju, malah kami ada buat perjumpaan untuk berbincang mengenai apa intipati yang telah dirancang untuk konsert tersebut.

“Awie cakap konsert ini nak diselitkan sedikit sketsa. Suatu ketika dahulu nama kami sangat sinonim sebagai pasangan bercinta. Jadi, tujuan Awie adalah untuk merungkaikan persoalan peminat mengenai perpisahan itu.

“Kalau mahukan saya menyanyi sahaja, lebih baik Awie ambil Kak Ziana kan? Tapi, Awie kata ada sketsa dan penceritaan kami, itu adalah sebab kenapa saya bersetuju untuk sertai konsert ini,” ujar Erra.

Tiket Konsert Awie Romantika yang akan diadakan pada 15 Februari 2020 di Stadium Malawati, Shah Alam boleh didapati menerusi www.myticket.asia atau hubungi talian (03-86050195).

Tiket berharga RM78 (green zone), RM128 (purple zone), RM188 (yellow zone), RM238 (red zone), RM308 (grey zone) dan RM438 (vip zone). – KopiPlanet.com