• FOLLOW US

Persembahan ‘Air Mata’ Berjaya Nobatkan Puteh Juara MLM 2019

Kumpulan Puteh diumumkan sebagai juara program Maharaja Lawak Mega 2019 (MLM2019) sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM500,000 beserta trofi.

Dengan tema bebas dan muzikal komedi, Puteh yang dianggotai oleh Ali, Mamak dan Man menampilkan dua persembahan cemerlang serta menerima pujian daripada juri.

Naib juara pula dimenangi oleh kumpulan Zero (Atu, Sharif dan Shaiful) dan mereka berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM250,000 beserta trofi.

Sementara itu, kumpulan Bocey (Abam, Achey dan Fad) pula berjaya mendapat tempat ketiga dan membawa pulang hadiah wang tunai RM150,000 beserta trofi.

Kumpulan JBorn (Khir Rahman, Vicha dan Joey) dan Rare (Ajak, Ropie dan Ilya) pula meraih tempat keempat dan kelima.

Puteh membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 berserta trofi manakala Taman pula membawa pulang wang tunai RM15,000 beserta trofi.

Selain itu, Puteh turut memenangi anugerah Oppo Punchline Machine dan Flamitoz Kumpulan Paling Syok! yang membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan produk Adabi bernilai RM500.

MLM2019 menggunakan format pemarkahan sebanyak 70 peratus daripada juri tetap manakala 30 peratus daripada jumlah undian SMS penonton.

Selain persembahan finalis, penonton juga dihiburkan dengan persembahan hebat oleh Hazama dan Naqiu Boboy.

MLM2019 dihoskan oleh Datuk AC Mizal serta dibarisi juri terdiri daripada Datuk Jamal Abdillah, Inul Daratista, Najip Ali dan Lisa Surihani.

Ia dipancarkan secara langsung dari Royal Theater Shah Alam dan disiarkan di Astro Warna (132) dan Warna HD (124). – KopiPlanet.com

Peratusan markah final MLM 2019:

Puteh: 71.93%

Zero: 60.83%

Bocey: 58.52%

JBorn : 51.48%

Rare: 50.63%

Azlee, Mamat Buat Comeback Sertai Maharaja Lawak Mega 2019

Program Maharaja Lawak Mega 2019 (MLM 2019) memperlihatkan kemunculan semula anggota kumpulan Senario, Azlee dan Mamat Sepah dalam industri lawak tempatan.

Azlee dan Mamat digabungkan menerusi kumpulan Stone bersama-sama Acong Sweetchild bagi menghadapi saingan 10 lagi peserta pada tahun ini.

Bercakap mengenai penglibatannya itu, Azlee berkata dia mengambil masa yang agak lama sebelum bersetuju untuk menyertai kumpulan Stone.

“Ketika saya dihubungi Mamat dan Acong untuk sertai Stone, saya fikir panjang juga sebab ramai kawan-kawan cakap anggota Senario dah legend, sepatutnya berada di kerusi juri.

“Apabila fikir balik apa salahnya saya sertai program ini untuk sama-sama memeriahkan lagi MLM 2019 di samping bekerja dengan ramai pelawak generasi baharu,” katanya.

Dia berkata demikian kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sidang media Maharaja Lawak Mega 2019 yang diadakan di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, Mamat pula berkata ‘kehilangannya’ dalam industri sebelum ini bukan disebabkan merajuk, sebaliknya kerana terikat dengan komitmen kerja yang lain.

“Sudah agak lama saya menyendiri dari industri dan ia bukan disebabkan saya merajuk. Sebaliknya, saya sibuk dengan kerja belakang tabir menguruskan acara.

“Untuk kemunculan semula dalam kumpulan Stone ini saya ada minta tips daripada Jep dan Shuib, mereka beri galakan dan semangat untuk suruh saya beri yang terbaik dalam setiap persembahan. Walaupun jarang berjumpa, namun hubungan kami masih lagi baik sehingga hari ini,” katanya.

MLM 2019 menampilkan 11 peserta Rojak (Bell, Chiwan, Rahim), Puteh (Mamak, Ali, Man), Bocey (Achey, Abam, Fad) Zero (Atu, Syaiful, Syarif), Rare (Ajak, Ropie, Pak Ya), JBorn (Khir Rahman, Vicha, Joey), Stone (Mamat, Azlee, Acong), Jambus (Tauke, Tapai), termasuk dua peserta dari Indonesia iaitu Rahmet dan Popon serta kumpulan dari Brunei Cali yang dianggotai Tony dan Khai.

Peserta akan diadili dengan format pemarkahan 70 peratus daripada juri profesional dan 30 peratus undian online peminat.

Juara MLM 2019 bakal membawa pulang wang tunai RM500,000 dan trofi, naib juara ( RM250,000 dan trofi), tempat ketiga (RM150,000 dan trofi), tempat keempat (RM50,000 dan trofi) dan tempat kelima (RM15,000 dan trofi).

Program ini bakal dihoskan Datuk Ac Mizal dan barisan juri profesional hanya akan diumumkan pada minggu pertama MLM 2019 bersiaran.

MLM 2019 bakal bersiaran dari 1 November ini dan disiarkan menerusi saluran Astro Warna (132) dan Warna HD (124). – KopiPlanet.com