• FOLLOW US

J-Born Juara Muzikal Lawak Superstar, Bawa Pulang RM150,000

Kumpulan J-Born yang dianggotai Khir Rahman, Joey dan Vicha membuat kejutan apabila dinobatkan sebagai juara Muzikal Lawak Superstar (MLS) musim pertama.

Dengan kemenangan itu, J-Born berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM150,000 beserta trofi sumbangan Astro.

Konsistensi persembahan juga melayakkan Joey memenangi kategori Superstar Musim Ini selain kreativiti yang dilakukannya pada setiap minggu.

Tidak menyangka kemenangan itu, Khir berkata kejayaan kumpulan J-Born adalah disebabkan keserasian mereka selain kerja keras yang diterapkan oleh mereka bertiga.

“Kami tidak menyangka kemenangan ini dan penglibatan saya dalam program ini semuanya hasil pujukan Joey yang percaya saya boleh melakukannya.

“Saya belum menyifatkan diri saya seorang pelawak dan diharapkan kemenangan ini dapat membuka ruang dan peluang untuk bukan pelawak menyertai program sebegini.

Naib juara pula dimenangi kumpulan UNI yang merupakan gabungan Atu Zero, Fakrul UNIC, Fad Bocey. Mereka berjaya menerima hadiah wang tunai RM75,000 beserta trofi.

Tempat ketiga menjadi milik kumpulan New Boh yang dianggotai Ali, Mamak dan Tomok dan dengan kemenangan itu, mereka berjaya membawa wang tunai RM50,000 beserta trofi.

Kumpulan Botak yang disertai Abam, Achey dan Black pula meraih tempat keempat dan tidak pulang dengan tangan kosong apabila membawa pulang wang tunai RM25,000 beserta trofi.

Pemenang MLS ditentukan menerusi 50 peratus undian daripada juri tetap iaitu Datuk Awie, Nora Danish dan Altimet dan selebihnya menerusi undian peminat.

Dihoskan Nabil Ahmad dan Nabila Huda, MLS dipancarkan secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil dan disiarkan menerusi Astro Warna (132) dan Warna HD (123).

Pertandingan akhir itu turut dimeriahkan dengan persembahan daripada De’Fam, Haqiem Rusli, Ella, Hafiz Suip, Ismail Izzani, Rachel AF, Kashika Ceria Megastar dan Umai Ceria Megastar Ministar.

Markah finalis MLS:

Juara: J-Born 63.66%

Naib Juara: UNI 60.25%

Tempat ketiga: New Boh 44.86%

Tempat keempat: Botak 42.88%

– KopiPlanet.com

Dua Tersingkir… Hanya Empat Kumpulan Mara Ke Final MLS 2019

Saingan separuh akhir Muzikal Lawak Superstar 2019 (MLS 2019) menyaksikan dua kumpulan gagal untuk meneruskan aksi di pentas final pada minggu hadapan.

Nasib nyata tidak menyebelahi Voices dan Titans apabila kedua-dua kumpulan mendapat markah terendah, sekali gus menampilkan empat kumpulan akan beraksi di final iaitu J-Born, Botak, UNI dan Newboh.

Salah seorang juri tetap, Altimet menyatakan keenam-enam kumpulan yang bertanding sudah memberikan yang terbaik dan aksi yang menghiburkan.

“Kalau ikutkan saya bersama-sama dua orang lagi juri iaitu Datuk Awie dan Nora Danish seboleh-bolehnya mahu kesemua peserta layak ke pentas akhir.

“Bagaimanapun, adalah normal dalam sebuah pertandingan yang dikira berdasarkan kedudukan dan sudah menjadi ketetapan pihak produksi untuk menyingkirkan dua kumpulan yang berada di kedudukan terbawah,” ujarnya.

Pada saingan separuh akhir menyaksikan J-Born mendahului kedudukan dengan markah sebanyak 60.36 peratus dan diikuti Botak (51.11 peratus), UNI (48.81 peratus), Newboh (44.25 peratus), Voices (43.41 peratus) dan Titans (32.05 peratus).

Sementara itu, penyanyi Shiha Zikir yang mewakili kumpulan Voices berkata, dia bersama ahli kumpulan yang lain sudah cuba melakukan yang terbaik.

Ujarnya, sejak berkecimpung dalam bidang lawak ini, dia baru menyedari bahawa bukan mudah untuk membuatkan orang ramai terhibur dengan apa yang dipersembahkan.

“Kami dah berusaha bersungguh-sungguh, tetapi rezeki tidak memihak kepada kami. Cuma saya agak kecewa sedikit kerana tidak dapat memenuhi hasrat peminat kumpulan Voices untuk melihat kami ke peringkat seterusnya,” ujarnya.

MLS 2019 disiarkan setiap hari Jumaat pada pukul 9.00 malam di saluran Astro Warna (132) dan Astra Warna HD (124) sejak 28 Jun lalu. – KopiPlanet.com

Sep, Bunga Jadi Mangsa Pertama Penyingkiran Muzikal Lawak Superstar

Rancangan realiti Muzikal Lawak Superstar 2019 yang memasuki minggu ke-2 menyaksikan dua kumpulan telah tersingkir daripada saingan.

Ternyata tuah tidak memiliki kumpulan Sep dan Bunga apabila mendapat markah terendah, sekaligus tidak dapat meneruskan saingan pada minggu berikutnya.

Nora Danish selaku salah seorang juri tetap menyatakan, persembahan kedua-dua kumpulan itu agak kurang memuaskan seperti minggu pertama.

“Untuk minggu ini pun kami lihat prestasi kedua-duanya tiada sebarang peningkatan yang ketara. Itu antara faktor yang dilihat oleh saya, Awie dan Altimet tentang penyingkiran tersebut.

“Bagaimanapun, saya agak terkejut juga apabila dua kumpulan yang tersingkir terus. Pada saya peluang patut diberikan lagi memandangkan saingan baru memasuki minggu kedua,” ujarnya.

Berbeza dengan Nora, seorang lagi juri iaitu Altimet pula menyatakan adalah wajar untuk dibuat penyingkiran dua kumpulan sekaligus memandangkan saingan hanya berlangsung selama lapan minggu.

“Yang pasti penyingkiran akan tetap berlaku setiap minggu. Lagipun ada 14 buah kumpulan yang bersaing, namun hanya empat kumpulan sahaja yang akan beraksi di final.

“Jadi, tidak mustahil sekiranya ada episod yang akan menyaksikan penyingkiran lebih satu kumpulan. Memang semuanya dah buat yang terbaik, tetapi akan ada yang tersingkir,” jelasnya.

Dengan penyingkiran tersebut, menyaksikan 12 buah kumpulan akan meneruskan saingan iaitu J-Born, Heart, Botak, Uni, Titans, Voices, Tamanz, Wasap, Libra, Kroni, Newboh dan Kitawa.

Muzikal Lawak Superstar 2019 merupakan sebuah rancangan realiti muzikal komedi yang disiarkan di saluran Astro Warna (132) dan Astro Warna HD (124) pada setiap Jumaat pukul 9.00 malam.

Rancangan tersebut dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Nabila Huda, manakala Datuk Awie, Nora Danish dan Altimet pula bertindak selaku juri tetap. – KopiPlanet.com

Muzikal Lawak Superstar Pamer Sisi Lawak Pelakon, Penyanyi

Membawakan kelainan, program terbaharu Astro Warna iaitu Muzikal Lawak Superstar (MLS) bakal membawa penonton menjelajah sisi komedi pelakon dan penyanyi yang turut mengambil bahagian.

Bakal bersiaran Jumaat ini pada jam 9 malam di saluran Astro Warna (132), Warna HD (124), MLS menggandingkan 14 kumpulan yang terdiri daripada barisan pelawak bersama selebriti pilihan mereka. Antara yang mengambil bahagian ialah Azmi vokalis kumpulan Caliph Buskers, Tomok, Elly Mazlein, Leez Rosli, Khir Rahman dan Ain Edruce.

Pengurus Saluran Astro Warna, Norzeha Mohd Salleh berkata, “Didorong oleh sokongan hebat dan kepercayaan yang diberi penonton terhadap program-program komedi saban tahun, Astro Warna selaku saluran komedi pertama di Malaysia begitu teruja membawakan program-program segar lagi menghiburkan untuk tontonan semua.”

“Idea MLS dizahirkan selepas melihat keterujaan dan respon positif yang ditunjukkan penonton setiap kali minggu tema Muzikal dalam program Maharaja Lawak Mega, kami yakin format sebegini mampu memenangi hati peminat saluran ini,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pelancaran Muzikal Lawak Superstar di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Persembahan peserta akan diadili oleh tiga juri profesional iaitu Datuk Awie, Altimet dan Nora Danish manakala rancangan ini akan dihoskan pasangan pengacara, Nabil Ahmad dan Nabila Huda.

Markah peserta terdiri daripada 50 peratus daripada juri manakala selebihnya daripada undian penonton menerusi SMS.

Juara MLS bagkal membawa pulang wang tunai berjumlah RM150,000 dan sebuah trofi, naib juara (RM75,000 beserta trofi) dan tempat ketiga (RM25,000 dan trofi). – KopiPlanet.com