• FOLLOW US

Noorkhiriah Beri Peringatan Untuk Tidak Terus Hina Perubahan Orang

Pelakon Noorkhiriah Ahmad Shafie memberi peringatan kepada khalayak umum supaya tidak terus menghina perubahan setiap individu itu.

Khiriah, 43, berkongsi nasihat menerusi laman Instagram miliknya yang ringkas dan padat tentang perspektif netizen zaman sekarang.

“Sesapa pun boleh berubah. Namun istiqomah dalam perubahan tidak semua berjaya. Maka sesama kita doakan.

“Jangan pandang orang lain masuk neraka, kita macam ke syurga. Semua ini pendosa termasuk akak. Suka tak suka itulah kita. Assalamualaikum,” tulisnya.

Sebelum ini, pelakon itu pernah menjadi tumpuan peminat apa segelintir netizen yang menyatakan dirinya bermulut jahat biarpun bertudung menerusi watak lakonannya dalam drama bersiri Nur.

Khiriah mendirikan rumah tangga dengan Azfaizul Ahtan pada 11 November 2006. Pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Muhammad Hudhaifah, 10, dan Muhammad Yusoff, 8 tahun. – KopiPlanet.com

Kembali Berlakon Drama, Noorkhiriah Sudah Sedia Dikecam Netizen

Setelah lebih setahun tidak tampil di kaca televisyen, pelakon Noorkhiriah menyatakan dirinya sedia dikecam netizen gara-gara watak yang dibawakannya dalam drama bersiri Nur yang sudah mula ditayangkan di TV3 untuk slot Samarinda.

Noorkhiriah berkata, dalam drama berkenaan dia membawakan watak antagonis bernama Aishah iaitu seorang wanita bertudung labuh, tetapi mempunyai hati yang sangat busuk dan ia merupakan kali pertama ia membawakan watak sedemikian.

“Kalau sebelum ini orang lebih mengenali saya dengan watak baik, gadis kampung atau watak air mata. Namun, untuk drama ini agak berbeza dan sudah bersedia sekiranya dikecam netizen terutamanya penonton.

“Bagaimanapun, ia juga menjadi salah satu sebab saya tertarik untuk berlakon drama ini setelah dikatakan ‘merajuk’ sehingga mengambil keputusan untuk berhenti berlakon sejak setahun yang lalu,” ujarnya ketika ditemui semasa majlis previu rancangan TV3 sempena bulan Ramadan.

Menurutnya, biarpun baru satu episod ditayangkan di kaca televisyen, Noorkhiriah menyatakan dia sudah mendapat pelbagai maklum balas daripada mereka yang menonton drama berkenaan.

“Begitu banyak komen-komen yang diberikan di laman sosial sehingga saya membacanya sampai pukul 2.00 pagi. Ramai yang kata tak sanggup melihat saya bawa watak sebegitu, namun saya gembira kerana lakonan saya dalam drama berkenaan diterima ramai,” ujarnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya apa yang membuat dia tergerak hati untuk kembali berlakon semula, pelakon itu memberitahu secara jujur dia begitu rindukan dunia lakonan yang telah diceburi sejak sekian lama.

Ujarnya, tidak dinafikan sepanjang setahun tidak berlakon dia masih lagi ada menerima beberapa tawaran daripada pengarah, namun terpaksa menolaknya kerana agak kecewa dengan industri lakonan.

“Pada asalnya memang saya sudah tidak mahu berlakon lagi, tetapi saya akui rindu terhadap lakonan itu masih mendalam. Jadi, setelah difikirkan semasak-masaknya saya telah ambil keputusan untuk berlakon semula.

“Lagipun rasa sayang sangat untuk saya terus tinggalkan dunia lakonan selama-lamanya. Apatah lagi saya telah ceburi bidang ini dalam tempoh yang cukup lama,” ujarnya.

Sepanjang menyepi buat seketika dalam lakonan, pelakon itu memberitahu dia banyak memberikan tumpuan kepada perniagaan secara dalam talian dan menyertai pelbagai karnival jualan yang dianjurkan. – KopiPlanet.com