Jaja Ishak Nafi Kehilangan Noorkhiriah Sekadar Gimik Drama Terbaharu Boss Kid
Penebit popular, Jaja Ishak menafikan kehilangan Noorkhiriah adalah sekadar gimik semata-mata demi memberi perhatian kepada drama terbaharu terbitan syarikatnya, Boss Kid yang kini sedang ditayangkan di TV3.
Jaja memaklumkan kehilangan pelakon itu dalam industri seni adalah secara kebetulan dan pihaknya tidak perlukan gimik yang sedemikian demi meraih publisiti.
“Kalau diikutkan kali terakhir berjumpa dengannya ketika saya menjemputnya menjadi pengacara sebuah program dan kemudian dia tiba-tiba sahaja menghilang.
“Apa yang saya difahamkan dia sedikit merajuk dengan industri kerana sudah lama tidak mendapat tawaran,” jelasnya.
Bagaimanapun, Jaja memberitahu bahawa seminggu sebelum drama Boss Kid ditayangkan di televisyen, Noorkhiriah ada menghubunginya menerusi Whats App.
Ujarnya lagi, pelakon itu berjanji untuk tidak lagi menghilangkan diri kerana sudah menyedari dirinya masih relevan serta diperlukan dalam industri seni.

“Saya ada berpesan kepadanya supaya tidak berbuat perkara sebegini lagi kerana dalam industri seni sudah menjadi lumrah ada turun naik buat seseorang pelakon itu.
“Apa pun saya paham perasaan terkilan yang dirasainya dan dia berhak untuk merajuk. Cuma janganlah terlalu lama kerana dia seorang pelakon yang cukup berbakat,” jelasnya.
Pada masa sama, dengan tayangan frama Boss Kid yang menggandingkan Noorkhiriah bersama Datuk Fizz Fairuz, Jaja berharap ia dapat menaikkan semula nama pelakon berkenaan.
“Saya dimaklumkan drama ini semakin diminati penonton dan ini tentu memberi peluang untuk penerbit lain memberi peluang lakonan pada Noorkhiriah pada masa akan datang,” ujarnya.
Boss Kid bersiaran menerusi slot Lestary TV3 sejak 21 Ogos lalu dan mengisahkan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun yang berusaha mengubah kehidupan keluarganya menerusi kreativiti, keberanian serta kebijaksanaan memanfaatkan media sosial. – KopiPlanet.com




