• FOLLOW US

“Rasa Macam Dah Nak Mati Sebab Nafas Pendek” – Remy Ishak

Pelakon Remy Ishak mengakui dia merasai sedikit bebanan dan tidak selesa ketika perlu menaikkan berat badan sehingga 85 kilogram bagi menjayakan watak dalam filem Sangkar.

Menurut Remy atau nama sebenarnya, Mohammad Zalimei Ishak, 37, dia merasakan ‘seksanya’ berbadan besar selepas mengalami masalah susah untuk bernafas sehingga merasakan seperti hendak mati.

“Menerusi filem Sangkar saya perlu naik berat badan lebih kurang dalam 85 hingga 90 kilogram. Seumur hidup saya tak pernah naik lebih daripada 73 kilogram sebab itu merupakan berat ideal saya. Untuk dapatkan berat badan yang sesuai bagi watak ini, saya upah seorang jurulatih kecergasan untuk memantau aktiviti pemakanan saya.

“Saya tidak boleh hentam makan sebarangan nanti bukan badan yang naik, perut pula yang naik. Ketika badan saya besar, bukan sahaja rasa susah nak bergerak, nak tidur pun rasa susah sebab ada ketika saya rasa macam dah nak mati sebab nafas pendek. Nak naik tangga rumah pun rasa tak selesa dan termengah-mengah,” jelasnya.

Remy berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Sangkar di Battle Arena, Jaya Shopping Centre, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana telah berhasil untuk kembali menurunkan semula berat badannya setelah selesai penggambaran.

“Alhamdulillah, selepas habis penggambaran Sangkar akhirnya berat badan saya turun balik kepada yang asal,” katanya.

Dalam pada itu Remy menyatakan dia sanggup mengambil cabaran untuk membesarkan badannya dalam filem arahan Kabir Bhatia itu kerana mahukan penampilan yang berbeza dalam setiap naskhah lakonannya bagi memberikan variasi imej kepada penonton.

“Untuk setiap naskhah lakonan, saya tak mahu kelihatan terlalu sama dan sebab itu saya tidak kisah naik berat badan untuk sesuaikan dengan watak sebagai petinju MMA.

“Itulah cabarannya dan dalam masa yang sama, jari kaki saya patah ketika sedang menjalani latihan. Saya takut melarat sehingga menyusahkan pihak produksi tapi nasib baik kecederaan itu segera pulih sebelum penggambaran bermula,” katanya.

Sangkar bakal ditayangkan pada 29 Ogos ini. Filem mengisahkan tentang sukan mixed martial arts (MMA) itu turut menampilkan Zul Ariffin, Mira Filzah, Fadzlan Hazim, Nik Adam Mika dan Niezam Zaidi.

Sangkar yang menelan kos produksi sebanyak RM3 juta ini diterbitkan oleh empat syarikat penerbitan iaitu Primeworks Studios, Infinitus Gold, Astro Shaw dan MM2 Entertainment. – KopiPlanet.com

Kredit foto: Instagram Remy Ishak

Penerbit Filem Sangkar Sahkan Sudah Beli Hakcipta Muzik Teaser Trailer Sangkar

Menerusi kenyataan balas dari komen di laman media sosial Suka Filem, penerbit filem Sangkar, Astro Shaw, Primeworks Studios, Infinitus Gold dan mm2 Entertainment menegaskan pihaknya sudah membeli hakcipta bagi runut bunyi teaser filem Sangkar.

“Terima kasih atas perhatian. Untuk makluman pihak kami telah mendapat kebenaran dan membeli hakcipta runut bunyi berkenaan untuk special teaser Sangkar.

“Segala bentuk rangka promosi untuk menggunakan runut bunyi ini telah mendapat kebenaran sepenuhnya. Diharapkan penjelasan ini dapat menjawab segala kekeliruan,” ujar satu kenyataan ringkas yang dikeluarkan.

Sebelum ini, terdapat dakwaan seorang vlogger yang mengatakan muzik untuk teaser trailer filem berkenaan meniru sebuah filem Hollywood iaitu Robin Hood.

Susulan dakwaan tersebut, terdapat segelintir pihak yang dikatakan mahu memboikot filem berkenaan apabila ditayangkan di pawagam.

Sangkar merupakan sebuah filem aksi lakonan Zul Ariffin, Remy Ishak dan Mira Filzah yang akan tayang pada 29 Ogos ini. – KopiPlanet.com

Suka Hero Tinggi, Farah Nabilah Teringin Berlakon Dengan Remy Ishak

Pernah berganding dengan beberapa aktor popular seperti Zul Ariffin, Fikry Ibrahim dan Syafiq Kyle, pelakon Farah Nabilah menyatakan hasratnya yang teringin berlakon dengan pelakon Remy Ishak pula selepas ini.

Menurut Farah, dia ingin mencuba berlakon dengan Hero Malaya itu kerana lakonan Remy yang mantap dan berkesan dalam setiap nakshah yang dilakonkannya.

“Selepas berganding dengan Zul Ariffin, Fikry Ibrahim dan Syafiq Kyle, saya sekarang ini teringin pula nak berlakon dengan Remy Ishak.

“Bukan apa, saya sebenarnya suka berlakon dengan pasangan yang lebih tinggi kerana keserasian itu mudah dibentuk. Bagi saya fizikal hero itu juga memainkan peranan dalam mencipta keserasian di antara kami,” katanya.

Farah berkata demikian kepada KopiPlanet.com ketika ditemui semasa majlis minum petang amal, Chari-Tea With Farah Nabilah anjuran ARDF di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur semalam.

Ketika ditanya tidakkah dia takut untuk bergandingan dengan aktor tersebut yang dikenali agak tegas ketika berada di set penggambaran, Farah berkata, “Saya tidak kisah kalau seseorang itu bersikap tegas kalau berkaitan kerja, saya okey dengan perkara itu”.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Farah akan memasuki set penggambaran drama slot Akasia pada minggu pertama Ramadan.

“Ini pertama kali saya berlakon dalam jangka masa yang panjang ketika bulan puasa. Sekali lagi saya akan digandingkan dengan Fikry.

“Yang menariknya, dalam drama ini kami akan melakonkan watak serius berlainan daripada drama bersiri Cik Reen Cik Ngok Ngek,” kata Farah lagi. – KopiPlanet.com

Minuman Berkhasiat Origina Buat Remy Ishak Kembali Minum Susu

Pelakon Remy Ishak mengakui dia bukanlah seorang penggemar minuman bersusu, namun keunikan minuman jenama Origina telah berjaya mengubah pendiriannya itu.

Menurut Remy atau nama sebenarnya, Mohammad Zalimei Ishak, 37, bahan-bahan organik dan berkhasiat dalam Origina telah menyebabkannya mula mengamalkan penggambilan susu dalam kehidupan sehariannya.

“Kalau nak tahu sebenarnya saya bukanlah seorang yang suka minum susu. Tapi bila sekali cuba air Origina ini saya terus terpaut hati dengan rasanya.

“Origina menawarkan minuman dengan kualiti rasa dan standard yang tinggi. Kesemua produk Origina setanding dengan jenama minuman antarabangsa, malah lebih berkhasiat dan menyihatkan,” katanya kepada KopiPlanet.com

Remy ditemui pada majlis pengumumannya sebagai duta Origina yang berlangsung di Hotel Grand Millenium, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sejak ditubuhkan pada 2014, Origina yang merupakan keluaran syarikat PS Food & Beverage Sdn. Bhd telah mengeluarkan tiga kategori minuman, berasaskan susu, jus buah-buahan dan teh campuran jus buah-buahan.

Di bawah kategori minuman berasaskan susu terdapat tiga produk iaitu susu coklat, susu kurma dan teh tarik.

Jus buah-buah pula menawarkan jus epal, jus anggur, jus durian belanda dan jus delima manakala kategori teh campuran jus buah-buahan menyediakan perisa teh lemon dan teh epal.

Pengarah PS Food & Beverage, Nur Fatin Diana Mohd Zain memberitahu penglibatan Remy bersama Origina mewujudkan persekitaran penjenamaan baharu yang tidak pernah dilaksanakan jenama minuman lain.

“Pelantikan Remy melangkaui peranan seorang duta kerana kita mahu beliau menjadi sebahagian daripada keluarga Origina. Imej Remy yang sering mempromosikan gaya hidup sihat juga menepati identiti jenama Origina,” katanya.

Kesemua minuman Origina dipek dalam bentuk ‘flexible packaging soft pack’ dengan matlamat melestarikan alam sekitar dan menjimatkan ruang penyimpanan.

Selain Malaysia, jenama Origina telah menembusi pasaran luar negara di Singapura, Brunei, Vietnam, Kemboja dan China. – KopiPlanet.com

Saya Dah Putus Tunang Tapi Kami Kekal Berkawan Baik – Remy Ishak

Pelakon Remy Ishak mengesahkan dia sudah putus tunang dengan Roszaliza Yusof atau Ezza Yusof sejak sebulan lalu.

Menurut Remy, selepas dua tahun pertunangan dia tidak nampak hala tuju dalam perhubungan mereka sekali gus mengambil keputusan untuk melepaskan ikatan tersebut.

“Ya, saya sudah putus tunang tapi kami masih kekal berkawan. Saya sebenarnya enggan mengulas lanjut perkara ini.

“Saya rasa Ezza akan mempunyai kehidupan yang lebih baik sekiranya saya melepaskannya,” katanya kepada KopiPlanet.com

Remy ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta minuman Origina yang berlangsung di Grand Millenium, Kuala Lumpur hari ini.

Remy juga menafikan wujudnya orang ketiga sehingga membawa kepada putusnya hubungan pertunangannya itu.

Pelakon Mira Filzah sebelum ini dikaitkan mempunyai hubungan istimewa dengan Remy selepas mereka dikatakan jatuh cinta ketika bergandingan dalam drama Lelaki Kiriman Tuhan dan Pujaan Hati Kanda.

“Hubungan kami putus bukan disebabkan ada orang ketiga. Kesian Mira, tak pasal-pasal nama dia dikaitkan,” ujar Remy.

Menurut Remy, 37, sekiranya jodohnya berpanjangan dengan Ezza dia bersedia untuk kembali bersama.

“Kami sekarang dalam tempoh bertenang dan kalau ada jodoh kami bersama semula, saya bersedia menerimanya.

“Ezza seorang gadis yang baik, walaupun dah putus tetapi hubungan kami masih baik sehingga kini,” katanya.

Untuk rekod, Remy bertunang dengan usahawan atas talian itu pada 1 Mei 2017. – KopiPlanet.com

Individu Ugut Sebar Fitnah, Remy Ishak Buat Laporan Polis

Pelakon Remy Ishak membuat laporan polis terhadap seorang lelaki di Balai Polis Ampang semalam gara-gara tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki itu yang dikatakan biadap.

Remy menerusi Insta Story berkata dia membuat laporan itu kerana lelaki itu mengugut untuk menyebarkan fitnah terhadap dirinya.

Walau bagaimanapun, aktor berbadan sasa itu tidak mendedahkan butiran mengenai laporan yang dibuat olehnya semalam.

“Saya baru balik dari balai polis tadi. Saya ada buat laporan polis, ada satu mamat ini dia kurang ajar dengan saya.

“Saya faham sekarang ini zaman dunia viral, dunia yang sangat cepat tapi jangan ambil kesempatan dan jangan aniaya kami (selebriti),” katanya.

Menurut pelakon filem Pulang ini, dia memahami zaman sekarang ramai yang cuba mengejar populariti segera di media sosial namun tidak menyangka akan ada segelintir daripada mereka yang mempergunakan artis dan selebriti bagi mencapai tujuan itu.

“Buat video terutamanya bila berkenaan dengan selebriti sebab nak glamor. Lepas itu, ugut nak viral, nak aibkan, nak fitnah! Come on, where’s your brain? Ada banyak lagi cara lain untuk kau dapat duit.

“Kau buat benda bangang macam ini semata-mata nak satu kampung tahu pasal masalah kau.. Bodoh!,” luahnya. – KopiPlanet.com

 

Kredit Foto: Instagram Remy Ishak

Setahun Bertunang, Remy Ishak Masih Belum Pilih Tarikh Kahwin

Walaupun sudah setahun bergelar tunangan kepada seorang ahli perniagaan, pelakon Remy Ishak mengakui dia masih belum bersedia untuk melangkah ke alam rumah tangga.

Menurut Remy, bukan dia tidak memandang serius tentang perkahwinan, sebaliknya kesibukan kerjaya ternyata menyebabkannya masih belum boleh memilih sebarang tarikh untuk ke fasa seterusnya.

“Saya masih belum menetapkan tarikh kahwin. Memang saya plan bertunang untuk tempoh dua tahun, tetapi masing-masing belum sedia untuk berumah tangga.

“Saya rasa buat masa ini saya tak boleh komited nak pegang peranan sebagai suami disebabkan kesibukan kerja. Namun begitu, bukan saya cakap yang saya tak pandang serius tentang perkahwinan. Saya rasa ada banyak benda yang saya tak capai lagi untuk membolehkan saya jaga anak orang,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Remy ditemui pada Majlis Previu Program Syawal Media Prima 2018 yang berlangsung di Hotel New World, Petaling Jaya baru-baru ini.

Sebelun ini, bintang utama filem Pulang berusia 36 tahun itu mengambil keputusan untuk bertunang dengan Ezza Yusof, 35, pada 1 Mei 2017.

Menurut Remy, walaupun masih belum menetapkan tarikh perkahwinan mereka, namun masing-masing positif kerana masa yang ada digunakan untuk lebih mengenali antara satu sama lain.

“Bila kami berdua dah betul-betul bersedia, baru kami akan melangkah ke fasa seterusnya. Saya bagi masa dan ruang untuk dia lebih mengenali diri saya dan begitu juga sebaliknya,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan seni, Remy kini sedang sibuk dalam set penggambaran filem terbaharu berjudul Sangkar.

Filem berkenaan menyaksikan Remy membawakan watak seorang petinju MMA yang turut menampilkan pelakon lelaki popular iaitu Zul Ariffin.

Untuk filem berkenaan, Remy memberitahu dia terpaksa menaikkan berat badannya daripada 73 kilogram dan kini ia sudah mencecah 82 kg untuk tuntutan watak tersebut.

“Setakat ini sudah 18 hari saya jalani penggambaran untuk filem Sangkar. Antara cabaran dalam filem ini, saya perlu menaikkan berat badan untuk watak sebagai petinju MMA. Saya banyak berlawan dengan Zul menerusi filem ini.

“Terbaharu, saya juga bakal tampil dengan filem Pulang yang akan ditayangkan pada bulan Julai ini. Selepas raya, saya akan kembali sibuk dengan rangka promosi Pulang,” katanya. – KopiPlanet.com

Kredit foto:  Instagram Remy Ishak

Remy Tidak Terburu-Buru Nak Kahwin, Masih Kumpul Duit

Walaupun usianya sudah mencecah 36 tahun namun pelakon Remy Ishak tidak mahu terburu-buru mendirikan rumah tangga memandangkan dia kini sedang giat mengumpul duit untuk mendirikan rumah tangga selepas hampir setahun mengikat tali pertunangan dengan tunangnya, Ezza Yusof.

Menurut Remy, sehingga kini dia belum mempunyai sebarang perancangan untuk berkahwin dalam masa terdekat dan bersyukur mempunyai tunang yang begitu memahami diri dan karier lakonannya.

“Saya kini dalam fasa tengah mengumpul duit untuk mendirikan rumah tangga. Kalau boleh saya nak buat majlis secara sederhana sahaja. Saya percaya pada jodoh yang telah ditentukan Tuhan. Tunang saya pula jenis yang memahami dan tidak pernah mendesak saya,” katanya ketika ditemui pada Malam Gala Projek Siri Original DO[s]A di GSC Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.

DO[s]A merupakan drama kolaborasi di antara produksi Malaysia dan Indonesia yang akan disiarkan di Astro First saluran 480 bermula 14 Februari ini.

Jika kebanyakan orang takut untuk menghadapi dugaan sepanjang tempoh pertunangan, namun ia tidak menjadi satu masalah buat aktor itu. Ini kerana baginya ujian pertunangan dapat mematangkan seseorang individu itu sebelum melangkah ke fasa seterusnya.

“Memang alam pertunangan itu penuh ujian dan dugaan tapi saya sentiasa berfikiran positif. Untuk melangkah ke alam perkahwinan, kita perlu hadapi dugaan pertunangnan terlebih dahulu, kalau kita boleh hadapinya memang kita sudah bersedia untuk ke fasa seterusnya selepas itu,” katanya.

Remy dan Ezza yang merupakan seorang usahawan mengikat tali pertunangan pada 30 April 2017.

Sementara itu, Remy mengakui dia tidak mengetahui gosip bertebaran mendakwa tunangnya merupakan seorang ibu tunggal selain dia berkeras menafikan perkara tersebut.

Sebelum ini terdapat khabar angin mendakwa tunangnya merupakan seorang ibu tunggal disebabkan kekerapan wanita berkenaan memuat naik gambarnya dengan seorang budak lelaki di laman sosialnya.

“Ada viral ke tentang kisah dia (Ezza) dah kahwin? Saya tak tahu pula. Namun begitu, apa yang boleh saya kata dia belum pernah berkahwin.

“Saya juga selalu berpesan kepadanya supaya tidak perlu layan sangat gosip-gosip sebegini, nanti dia yang akan tertekan,” katanya lagi.

Bercakap mengenai drama DO[s]A yang dibintanginya, Remy memegang watak sebagai Farid yang mempunyai empat adik-beradik yang dijayakan pelakon Asraff Sinclair, Hisyam Hamid, Shenty Feliziana. Datuk M.Nasir pula membawakan karakter sebagai Latif iaitu bapa kepada empat beradik itu.

Selain mereka, drama ini turut dibintangi pelakon Indonesia seperti Reuben Elishama, Roy Marten dan Hannah Al-Rashid. – KopiPlanet.com

Kredit foto:  Instagram Remy Ishak