• FOLLOW US

Drama Sembilan Tampilkan Barisan Pelakon Malaysia, Indonesia

Tidak dinafikan naskhah yang menerapkan elemen thriller dan seram merupakan antara genre yang cukup digemari penonton pada masa kini.

Melihat kepada keadaan tersebut, Astro kini tampil dengan sebuah drama bersiri berjudul Sembilan yang menggabungkan elemen-elemen berkenaan.

Pengarahnya, Razaisyam Rashid berkata, pada kali ini dia cuba tampil dengan sesuatu yang baharu di kala kebanyakan drama-drama sekarang ini lebih kepada unsur cinta.

“Menerusi drama ini, ia merupakan sebuah karya yang menampilkan kelainan dengan mengetengahkan kisah seram Nusantara dengan gabungan elemen moden dan tradisional.

“Istimewanya, menerusi drama ini juga kami turut menggabungkan barisan pelakon daripada Malaysia dan Indonesia,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Sembilan membariskan pelakon hebat dari Malaysia dan Indonesia seperti Beto Kusyairy, Amerul Affendi, Azhan Rani, Sara Ali, Luqman Hafidz, Atiqah Hasiholan, Bima Azriel, Endhita Wibisono dan Roy Marten.

Drama berkenaan mengisahkan tentang watak seorang pelacur bernama Rimbun (lakonan Atiqah Hasiholan) yang mempunyai reputasi buruk di kalangan penduduk Kampung Tanah Merah. Rimbun dikenali sebagai pelacur yang sanggup melayan sesiapa sahaja yang melanggannya.

Dia kemudiannya hamil dan melahirkan seorang bayi lelaki bernama Taduh (lakonan Bima Azriel). Namun begitu, Rimbun tidak mengetahui siapakah bapa kandung kepada Taduh.

Sepanjang 9 tahun membesarkan Taduh, Rimbun sering mengabaikan dan melayan anaknya dengan kasar. Sehinggalah pada suatu hari, Taduh tiba-tiba hilang tanpa dikesan.

Pada ketika saat itulah, Rimbun akhirnya menyedari yang Taduh adalah satu-satunya harta yang dia miliki dan tidak sanggup kehilangannya. Rimbun berusaha mencari Taduh dan sanggup merayu kepada penduduk kampung untuk membantu mencari Taduh. Namun, usaha pencarian mereka menemui jalan buntu.

Ujar Razaisyam, biarpun suasana yang dipaparkan mengenai kisah kehidupan masyarakat di Sarawak dan Kalimantan, tetapi penggambaran tidak dibuat di sana.

Sebaliknya, dia memberitahu penggambaran berlangsung selama 74 hari di sekitar Kampung Orang Asli Kuala Boh (Cameron Highlands), Sungai Lembing (Pahang), Lembah Klang dan Studio Pinewood Iskandar (Johor Bahru).

“Kalau ditanya tentang cabaran sepanjang menghasilkan drama ini, rasanya antara yang paling sukar adalah berkenaan dialog kerana para pelakon perlu bertutur dalam dialek Sarawak dan Kalimantan.

“Bagaimanapun, semuanya dapat diatasi apabila saya dan kesemua barisan pelakon selalu sama-sama duduk berbincang bagi melancarkan lagi penggambaran,” ujarnya.

Jangan ketinggalan untuk menonton drama bersiri seram Sembilan yang sudah mula ditayangkan pada 6 Disember lalu menerusi saluran dan aplikasi Astro GO secara percuma. – KopiPlanet.com

Ngeri… Mulut Beto Kusyairy Kena Jahit Angkara Mangsa Dendam

Pelakon Beto Kusyairy mengakui berasa satu pengalaman baharu apabila terbabit dalam penerbitan drama bersiri mega, Sembilan terbitan Astro Original Series.

Menurut pelakon berkaliber itu, menerusi drama itu dia merasai pengalaman mulutnya ‘dijahit’ menerusi drama 10 episod arahan Razaisyam Rashid itu.

“Mulut saya dijahit merupakan satu pengalaman baharu, apatah lagi apabila diberi peluang bekerjasama dengan jurusolek kesan khas terkenal, Ella Sandera.

“Pasukan kesan khas buatkan terlebih dulu acuan mulut saya lebih kurang awal sebulan kami shooting. Apabila ditambah silikon serta beberapa kandungan lainnya, jadi ia nampak seakan-akan betul mulut saya dijahit. Satu pengalaman baharu jugalah mulut kena jahit,” ujar Beto berseloroh.

Beto ditemui KopiPlanet.com di set penggambaran Sembilan di Pinewood Iskandar Studios, Johor Bahru baru-baru ini.

Beto turut menjelaskan babak mulutnya dijahit merupakan salah satu daripada adegan penting bagi jalan cerita drama bersiri genre seram misteri itu.

“Saya memegang watak sebagai Azim dan babak mulut dijahit itu merupakan pembalasan yang diterima saya akibat bergaduh dengan isteri lakonan pelakon Indonesia, Atiqah Hasiholan di depan anak tirinya,” katanya.

Satu kelainan yang turut dipelajari Beto menerusi naskhah ini ialah apabila dia perlu bertutur dalam bahasa Kalimantan sesuai dengan latar cerita yang menggambaran masyarakat tersebut.

“Untuk mahirkan kami pelakon untuk bercakap dalam bahasa Kalimantan, tenaga produksi sediakan kami dengan bahan-bahan audio bagaimana orang di sana bertutur beberapa bulan sebelum kami mulakan penggambaran agar apa yang dilakonkan itu kelihatan realistik,” ujarnya.

Sembilan merupakan drama kolaborasi Malaysia dan Indonesia dan dijangka ditayangkan di Astro Citra pada bulan Februari 2019.

Memilih lokasi seperti Kampung Orang Asli Kuala Boh Cameron Highlands, Sungai Lembing dan Pinewood Iskandar Studios, drama ini mencatatkan jumlah tenaga kerja produksi mencecah 1,400 orang sepanjang penggambarannya.

Selain Beto, drama ini turut dibintangi Azhan Rani, Luqman Hafidz, Amerul Affendi selain bintang Indonesia Atiqah Hasiholan dan pelakon kanak-kanak, Bima Azriel. – KopiPlanet.com

Kredit foto: Instagram Ella Sandera