• FOLLOW US
Rancangan TV, TV

Drama Sembilan Tampilkan Barisan Pelakon Malaysia, Indonesia

Tidak dinafikan naskhah yang menerapkan elemen thriller dan seram merupakan antara genre yang cukup digemari penonton pada masa kini.

Melihat kepada keadaan tersebut, Astro kini tampil dengan sebuah drama bersiri berjudul Sembilan yang menggabungkan elemen-elemen berkenaan.

Pengarahnya, Razaisyam Rashid berkata, pada kali ini dia cuba tampil dengan sesuatu yang baharu di kala kebanyakan drama-drama sekarang ini lebih kepada unsur cinta.

“Menerusi drama ini, ia merupakan sebuah karya yang menampilkan kelainan dengan mengetengahkan kisah seram Nusantara dengan gabungan elemen moden dan tradisional.

“Istimewanya, menerusi drama ini juga kami turut menggabungkan barisan pelakon daripada Malaysia dan Indonesia,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Sembilan membariskan pelakon hebat dari Malaysia dan Indonesia seperti Beto Kusyairy, Amerul Affendi, Azhan Rani, Sara Ali, Luqman Hafidz, Atiqah Hasiholan, Bima Azriel, Endhita Wibisono dan Roy Marten.

Drama berkenaan mengisahkan tentang watak seorang pelacur bernama Rimbun (lakonan Atiqah Hasiholan) yang mempunyai reputasi buruk di kalangan penduduk Kampung Tanah Merah. Rimbun dikenali sebagai pelacur yang sanggup melayan sesiapa sahaja yang melanggannya.

Dia kemudiannya hamil dan melahirkan seorang bayi lelaki bernama Taduh (lakonan Bima Azriel). Namun begitu, Rimbun tidak mengetahui siapakah bapa kandung kepada Taduh.

Sepanjang 9 tahun membesarkan Taduh, Rimbun sering mengabaikan dan melayan anaknya dengan kasar. Sehinggalah pada suatu hari, Taduh tiba-tiba hilang tanpa dikesan.

Pada ketika saat itulah, Rimbun akhirnya menyedari yang Taduh adalah satu-satunya harta yang dia miliki dan tidak sanggup kehilangannya. Rimbun berusaha mencari Taduh dan sanggup merayu kepada penduduk kampung untuk membantu mencari Taduh. Namun, usaha pencarian mereka menemui jalan buntu.

Ujar Razaisyam, biarpun suasana yang dipaparkan mengenai kisah kehidupan masyarakat di Sarawak dan Kalimantan, tetapi penggambaran tidak dibuat di sana.

Sebaliknya, dia memberitahu penggambaran berlangsung selama 74 hari di sekitar Kampung Orang Asli Kuala Boh (Cameron Highlands), Sungai Lembing (Pahang), Lembah Klang dan Studio Pinewood Iskandar (Johor Bahru).

“Kalau ditanya tentang cabaran sepanjang menghasilkan drama ini, rasanya antara yang paling sukar adalah berkenaan dialog kerana para pelakon perlu bertutur dalam dialek Sarawak dan Kalimantan.

“Bagaimanapun, semuanya dapat diatasi apabila saya dan kesemua barisan pelakon selalu sama-sama duduk berbincang bagi melancarkan lagi penggambaran,” ujarnya.

Jangan ketinggalan untuk menonton drama bersiri seram Sembilan yang sudah mula ditayangkan pada 6 Disember lalu menerusi saluran dan aplikasi Astro GO secara percuma. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend