
Viu, perkhidmatan penstriman video terkemuka PCCW, bakal membawa penonton menyelami dunia yang lebih gelap menerusi The Hidden Hand (Dia Perempuan Sialan), siri seram Viu Original pertama yang akan ditayangkan secara eksklusif di Viu sejak 22 September lalu, setiap Selasa dan Rabu.
Bersempena Hari Malaysia, drama ini turut ditayangkan secara esklusif episod pertama pada 18 September yang lalu.
Menggabungkan elemen seram supernatural, thriller dan cerita rakyat Melayu dengan kisah dendam yang mendebarkan, siri 12 episod ini meneroka sisi gelap keluarga, pengkhianatan dan dendam, sekali gus memperkenalkan dimensi baharu dalam penceritaan kandungan original Viu Malaysia.
Berdasarkan idea asal Eirma Fatima, diterbitkan oleh Rumah Karya Citra, ditulis oleh Siti Jasmina Ibrahim dan diarahkan oleh Nur Ain Sharif, The Hidden Hand (Dia Perempuan Sialan) dibintangi Meerqeen, Caitlin Halderman dan Hannah Delisha, bersama Datin Sri Umie Aida, Nadia Aqilah, Farah Ahmad dan Amerul Affendi.
Mengenai Siri Ini
Selepas melayan pembantu rumahnya, Bulan (Farah Ahmad) dengan kejam, Puan Sri Asyikin (Datin Sri Umie Aida) meninggal dunia secara misteri lapan bulan kemudian, menyebabkan keluarganya percaya bahawa kediaman mereka telah disumpah.
Selepas kematian Puan Sri, anak perempuannya, Nerina (Hannah Delisha), dan menantunya, Syawal (Meerqeen), terus menetap di rumah agam keluarga tersebut.
Pada hari pengebumian Puan Sri, seorang pembantu rumah baharu bernama Riska (Caitlin Halderman) tiba. Riska telah diambil bekerja oleh Syawal untuk menjaga Nerina yang sedang mengandung anak pertama mereka.
Berwajah manis dan polos, perwatakan lembut Riska sebenarnya menyembunyikan rahsia gelap – dia sebenarnya anak kepada Bulan dan sengaja menyusup masuk ke dalam kediaman tersebut untuk membalas dendam.
Namun, apabila gangguan mistik mula berlaku di rumah itu, keadaan menjadi semakin tidak terkawal. Malah Riska sendiri tidak bersedia dengan apa yang bakal berlaku.

Dari Kaca Skrin ke Pengalaman Seram Interaktif
Membawa penceritaan The Hidden Hand (Dia Perempuan Sialan) melangkaui kaca skrin, Viu Malaysia bekerjasama dengan Hauntu, perkhidmatan pengalaman imersif bertema seram interaktif di Malaysia, untuk kolaborasi pertama Hauntu bersama sebuah platform penstriman.
Berlangsung dari 24 September hingga 1 November 2026, kolaborasi ini memberi peluang kepada peminat untuk merasai sendiri dunia Dia Perempuan Sialan menerusi pengalaman khas di Hauntu yang menghidupkan semula beberapa babak ikonik daripada siri tersebut dalam suasana penceritaan yang imersif.
Kolaborasi untuk tempoh terhad ini menggabungkan unsur cerita rakyat Melayu dan elemen seram tempatan dengan penggunaan bunyi, aroma serta pencahayaan khas bagi mewujudkan suasana yang lebih mendebarkan dan membawa pengunjung menyelami dunia Dia Perempuan Sialan.
Sepanjang tempoh kempen, peminat juga berpeluang menyertai sesi ramah mesra eksklusif bersama barisan pelakon pada tarikh dan slot masa terpilih, sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk berinteraksi dan bergambar bersama pelakon kegemaran. – KopiPlanet.com



