Kerjasama menerusi single Tak Tertanggung Lagi ternyata membawa pengalaman bermakna buat Pasya apabila kesungguhan pasukan Aryan Putra Entertainment (APE) dan A*CAP (Archive Capital) meninggalkan kesan tersendiri sepanjang penghasilan projek tersebut.
Bagi penyanyi yang dikenali menerusi program Mentor 7 itu, pengalaman kali ini melangkaui proses merakamkan sebuah lagu. Perancangan terperinci, ruang bertukar idea serta persediaan promosi yang tersusun membuatkan beliau berasa dihargai sebagai sebahagian daripada pasukan.
“Sepanjang perjalanan saya dalam industri, saya pernah melalui pelbagai pengalaman dan kerjasama. Tetapi projek ini memberikan pengalaman yang berbeza, terutama dari segi cara setiap perkara dirancang dan dilaksanakan.”
“Daripada penyusunan jadual, perbincangan idea, sesi fotografi khas bersama pasukan profesional, sehinggalah kepada penghasilan muzik video, semuanya diberikan perhatian. Saya dapat rasa kesungguhan mereka dalam setiap peringkat,” ujar Pasya.
Tak Tertanggung Lagi adalah sebuah kisah yang mengungkap tentang keretakan rumah tangga, persahabatan dan cabaran menghidupkan emosi sebenar.

Lebih menyentuh hatinya, komitmen tersebut diberikan walaupun penglibatannya bersama APE dan A*CAP adalah khusus untuk projek ini.
“Saya bukan artis rakaman tetap mereka. Saya hanya bekerjasama untuk projek ini, tetapi usaha dan perhatian yang diberikan begitu menyeluruh. Mereka benar-benar mahu kami menghasilkan sesuatu yang terbaik bersama-sama.”
“Cara kerja sebegini adalah satu perjalanan yang belum pernah saya lalui dalam bentuk yang sama sebelum ini. Saya seronok, banyak belajar dan sangat berterima kasih atas kepercayaan serta komitmen mereka,” tambahnya.
“Tak Tertanggung Lagi”, yang dilancarkan pada 23 Oktober 2026, merupakan hasil tulisan Aryan Putra, diinspirasikan daripada kisah sebenar seorang sahabat rapat mereka yang melalui episod kegagalan dalam perkahwinan.
Kedekatan dengan kisah tersebut menjadikan proses penyampaian lagu lebih mencabar buat Pasya. Beliau perlu menghidupkan rasa kecewa dan pergolakan emosi dengan penuh penghayatan, sambil menjaga kejujuran cerita yang menjadi asas karya itu.
“Apabila kita tahu kisah di sebalik sebuah lagu, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan sahabat sendiri, perasaan ketika menyanyikannya memang berbeza. Saya mahu menyampaikan emosinya dengan jujur supaya pendengar dapat merasai apa yang cuba disampaikan,” katanya.
Cabaran itu diteruskan dalam penghasilan muzik video apabila Pasya turut diberi tanggungjawab melakonkan watak beremosi serta menjayakan babak yang melibatkan aksi atau stunt. Menurut Pasya, ini merupakan pengalaman pertamanya menggalas tuntutan lakonan sedemikian dalam sebuah muzik video.
“Seronok, tetapi sangat mencabar. Kali ini saya perlu membawa emosi lagu ke dalam lakonan. Ada babak yang menuntut saya keluar daripada kebiasaan, termasuk aksi yang belum pernah saya lakukan dalam muzik video sebelum ini.”
“Ia membuatkan saya lebih memahami watak dan cerita lagu ini. Saya bersyukur kerana pasukan banyak membantu sepanjang proses tersebut,” jelasnya.
Di bawah arahan Esham Shahlin, sebahagian daripada kisah sebenar itu diolah menjadi sebuah penceritaan visual dengan pendekatan tersendiri. Muzik video tersebut bukan gambaran semula keseluruhan kejadian sebenar, sebaliknya sebuah interpretasi kreatif yang membawa pengajaran daripada konflik hubungan yang diketengahkan.
Sambutan awal turut memberikan semangat kepada pasukan apabila “Tak Tertanggung Lagi” mendapat penempatan dalam senarai main platform penstriman pada hari pertama pelancarannya, meskipun diperkenalkan dengan promosi awal yang ringkas. Bagi Pasya, perkembangan itu merupakan permulaan yang menggalakkan menjelang gerak kerja promosi yang lebih menyeluruh selepas sidang media ini.
“Apabila lagu ini mendapat tempat dalam playlist sejak hari pertama, kami tentunya bersyukur. Ia memberikan semangat kepada kami untuk terus memperkenalkan lagu ini kepada lebih ramai pendengar. Saya berharap mereka dapat menghayati lagunya dan mengikuti cerita yang kami bawakan menerusi muzik video,” katanya.
Muzik video rasmi “Tak Tertanggung Lagi” akan dilancarkan pada malam hari yang sama dengan sidang media ini, membuka lembaran seterusnya bagi kerjasama Pasya, Aryan Putra, APE dan A*CAP.




