Dua dunia berbeza, satu kisah cinta yang mencuri perhatian seluruh Malaysia. Bella Astillah, selebriti tanah air, dan YB Syed Saddiq, tokoh politik, bakal melangkah ke alam perkahwinan menerusi Walimatulurus Bella Astillah & Syed Saddiq.
Ia merupakan sebuah siri istimewa eksklusif Astro yang mengabadikan perjalanan mereka menuju hari bahagia dan kehidupan sebagai suami isteri.
Bermula 6 Oktober 2026, lapan episod ini membawa penonton mengikuti perjalanan Bella Astillah & Syed Saddiq bersama keluarga dalam membuat persiapan menjelang hari bahagia mereka.
Dari debaran menuju ke majlis pernikahan, detik-detik penuh bermakna bersama insan tersayang, hinggalah kepada realiti kehidupan selepas diijabkabul, program ini turut menampilkan sisi peribadi Bella dan Syed Saddiq dalam melayari fasa baharu sebagai suami isteri bersama anak-anak.
‘Walimatulurus Bella Astillah & Syed Saddiq’ merakam sebuah perjalanan yang cukup istimewa buat pasangan daripada dua latar belakang berbeza ini.
“Bagi kami, satu penghormatan apabila diberi kepercayaan untuk mengabadikan perjalanan istimewa ini dan membolehkan seluruh Malaysia menyaksikan detik-detik tersebut secara eksklusif hanya di Astro.
“Kami berharap ‘Walimatulurus Bella Astillah & Syed Saddiq’ dapat menjadi satu perjalanan yang dinikmati bersama, bermula dari debaran menuju hari bahagia, detik mereka disatukan, hinggalah melangkah ke fasa kehidupan baharu.
Astro sentiasa komited menghubungkan peminat dengan momen terindah personaliti kegemaran mereka menerusi liputan eksklusif ini,” ulas Naib Pengerusi Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad.
Perjalanan Bella Astillah & Syed Saddiq turut diteruskan menerusi dua majlis resepsi di lokasi berbeza.

Selepas Kuala Lumpur, pasangan ini bakal diraikan di Muar, Johor pada 25 Oktober 2026 bagi sebelah keluarga Syed Saddiq, serta Kota Kinabalu, Sabah bagi keluarga dan kenalan Bella pada 31 Oktober 2026.
“Astro mengucapkan setinggi-tinggi tahniah buat Bella dan Syed Saddiq. Semoga mahligai yang dibina sentiasa dipenuhi kebahagiaan, kasih sayang dan kenangan indah untuk mereka sekeluarga.
“Selamat menempuh kehidupan baharu, Bella Astillah & Syed Saddiq!” tambah Raqim.
Sementara itu, buat Bella pula ia sangat bermakna dirinya, lebih-lebih lagi apabila dapat berkongsi detik-detik bahagia ini bersama keluarga, Ayden, Ara dan semua yang sentiasa mendoakan mereka.
“Semoga kisah ini menjadi kenangan manis yang akan kami simpan selamanya. Kami sangat menghargai setiap doa dan sokongan yang diberikan.
“Terima kasih Astro kerana menjadi sebahagian daripada perjalanan istimewa ini dan merakam detik bahagia kami secara eksklusif,” sambung Syed Saddiq.
Saksikan kisah pasangan romantis ini menerusi ‘Walimatulurus Bella Astillah & Syed Saddiq’, bermula 6 Oktober 2026, setiap Selasa, jam 11 malam di Astro Ria (saluran 104), serta boleh distrim secara On Demand menerusi Astro GO dan Sooka.
Majlis nikah Bella Astillah & Syed Saddiq bakal disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (Saluran 104), Astro Prima (Saluran 105), Astro Awani (saluran 501), Sooka & Astro GO, serta platform media sosial Astro Malaysia dan Astro Gempak pada 10 Oktober 2026, Sabtu, jam 9 pagi. – KopiPlanet.com




