Rancangan TVTV

Siri Realiti TV ‘Rak Rak: Senses Of Love’ Bawa Pendekatan Baharu Format Rancangan Temujanji

Viu mengumumkan bahawa siri realiti original keduanya, Rak Rak: Senses of Love, akan ditayangkan secara eksklusif di Viu bermula 30 April lalu, merentasi semua pasaran Viu, susulan kejayaan pelancaran siri realiti makanan Bite Me Sweet.

Diterbitkan oleh BigHouse Entertainment, Rak Rak: Senses of Love membawa pendekatan baharu dalam format rancangan temujanji dengan memberi penekanan kepada hubungan emosi melalui lima deria, berbanding penampilan fizikal atau komunikasi lisan semata-mata.

Penggambaran yang diadakan di Thailand ini menghimpunkan sekumpulan individu muda dari seluruh dunia yang menetap di Korea Selatan dan Asia Tenggara, dengan latar belakang budaya dan kerjaya yang berbeza.

Mereka bakal membina kemesraan dan hubungan yang lebih rapat melalui pengalaman bersama, tanpa terlalu fokus pada rupa atau perkara luaran.

Melalui siri temu janji yang intim dan tidak konvensional, termasuk aktiviti berasaskan bunyi dan sentuhan hingga tugasan kreatif yang dilakukan bersama, Rak Rak: Senses of Love akan meneroka keterbukaan emosi dan cara manusia berhubung antara satu sama lain tanpa perlu banyak bercakap.

Siri lapan episod yang berdurasi satu jam ini turut memperkukuhkan strategi Viu dalam memperluaskan kandungan realiti premium yang mencabar naratif konvensional, selari dengan kehendak penonton serantau yang semakin mencari kisah hubungan yang lebih autentik dan mendalam.

Rak Rak: Senses of Love dihasilkan melalui kerjasama pelaburan bersama Viu dan Korea Creative Content Agency, susulan memorandum persefahaman yang dimeterai pada Ogos 2024.

Kerjasama ini memfokuskan kepada pembangunan kandungan Korea premium yang digabungkan dengan elemen Asia Tenggara serta berpotensi menembusi pasaran global.

Siri ini, bersama Bite Me Sweet, merupakan antara judul terawal yang dihasilkan di bawah inisiatif tersebut. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button