• FOLLOW US

Siti Nurhaliza Tampil Dengan Basyirah, Selitkan Unsur Timur Tengah

Penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza membawa perkhabaran gembira kepada peminatnya apabila muncul dengan single baharu berjudul Basyirah di semua pelantar digital.

Basyirah yang diambil daripada perkataan Arab yang membawa maksud khabar gembira adalah hasil ciptaan penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun manakala liriknya pula hasil nukilan Ahmad Fedtri Yahya.

Tertarik dengan melodinya yang mempunyai unsur Timur Tengah, Siti memutuskan untuk merakamkan lagu tersebut dan berhasrat untuk menjadikannya sebagai single sempena bulan bulan Ramadan ini.

“Demo lagu ini diterima agak lewat oleh pihak Universal Music Malaysia dan Siti Nurhaliza Productions untuk dimuatkan dalam album terbaru saya. Kami sepakat menyimpan lagu ini untuk projek khas pada masa akan datang.

“Disebabkan edaran album terbaru saya ditangguhkan, Basyirah berjaya saya rakamkan khusus untuk single Ramadan kerana bersesuaian dengan suasana kita sekarang ini.

Menurut Siti, pertama kali mendengar melodinya, dia akui jatuh hati kerana ia ada tarikan tersendiri. Tak dinafikan, ketika rakaman dirinya berasa sebak dan cuba menyampaikan seluruh maksud dalam lagu ini dengan penuh penghayatan.

Jelas beliau, walaupun lagu ini dilancarkan pada bulan yang penuh keberkatan ini, namun liriknya tidak menyentuh secara langsung mengenai Ramadan.

Sebaliknya, beliau menjelaskan ia adalah satu metafora terhadap situasi yang dialami dunia hari ini yang sedang berdepan dengan penularan wabak Covid-19.

“Ketika perbincangan, memang ada idea untuk memasukkan lirik yang bersesuaian dengan situasi yang berlaku hari ini. Lagu ini juga menterjemahkan sebuah harapan bahawa satu hari nanti akan ada khabar gembira buat Malaysia untuk segera terhindar dari pandemik ini.

“Saya juga mengharapkan Basyirah mampu memberikan semangat kepada seluruh warga dunia yang menghadapi wabak dan petugas barisan hadapan yang berkorban sepenuh jiwa menjaga keselamatan negara,” ujar Dato’ Siti Nurhaliza.

Penyanyi bervokal mantap ini turut mengharapkan lagu ini dapat mengubat kerinduan peminat yang menantikan kemunculan album terbarunya.

Sementara itu, sebagai komposer yang bertanggungjawab untuk menghasilkan lagu itu, Hafiz akui Basyirah memberikan cabaran yang tersendiri buatnya.

“Kami rakamkan lagu ini ketika negara sedang melaksanakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan. Ini bermakna rakaman tidak boleh dilakukan di studio seperti kelazimannya dan perlu dilakukan secara berasingan iaitu Siti merakamkan lagu itu dari rumah.

“Memang agak mencabar kerana agak rumit lebih-lebih lagi membabitkan soal teknikal. Namun, kami berjaya melakukannya dan beliau berjaya menterjemahkan maksud keseluruhan lagu itu seperti yang dikehendaki,” kata Hafiz.

Pernah bekerjasama sebelum ini menerusi lagu Mikraj Cinta, Hafiz berkata dia tekah cuba memberikan yang terbaik untuk lagu itu.

“Sedikit sebanyak saya sudah boleh tahu mengenai kriteria sesebuah lagu yang ingin dinyanyikannya. Justeru saya cuba hasilkan sebuah lagu yang unik serta lain dari apa yang pernah didendangkannya sebelum ini seperti menekankan aspek taranum dalam sebutan dan juga menyelitkan elemen qasidah di dalamnya,” terangnya.

Berkongsi pendapat yang sama dengan Hafiz, Fedtri turut mendedahkan lirik lagu itu terpaksa dirombak beberapa kali untuk disesuaikan dengan kehendak Dato’ Sri Siti Nurhaliza.

“Ketika mula mendengar lagu ini melodinya sangat melankolik dan apa yang terbayang dalam fikiran adalah ia sangat sesuai untuk sebuah lagu putus cinta.

“Namun memandangkan Siti mahukan lirik lagu ini ada kaitan dengan doa dan harapan rakyat yang mahukan wabak ini segera berakhir, saya ubah liriknya mengikut jalan cerita yang diberikan. Saya banyak menggunakan unsur perlambangan atau metafora dalam memilih perkataaan,” katanya.

Melihat baik lirik yang dihasilkan, Basyirah jelas mengajak umat islam menghayati zikir dan berdoa kepada Allah untuk diberi ketenangan di dalam kehidupan harian pada bulan yang sangat mulia untuk umat Islam ini.

Sementara itu, Pengurus Promosi Bahagian Domestik Universal Music, Anne Mukhtar memaklumkan lirik video Basyirah akan ditayangkan di laman YouTube Siti pada Jumaat (8 Mei) jam 3 petang.

“Pada sebelah malam pula, beliau akan muncul dalam siaran langsung di Instagramnya bersama Hafiz Hamidun dan Ahmad Fedtri Yahya jam 9 malam. Selain itu, Siti juga akan melancarkan #7nasihatchallenge di Tik Tok pada 11 Mei ini.

“Sempena pelancaran lagu ini di Joox pada 15 Mei ini, beliau turut mengundang peminat untuk berkaroke dengannya di Joox Karaoke,” katanya. – KopiPlanet.com

Kritikan Sosial Siti Nurhaliza Menerusi Single Terbaharu 7 Nasihat

Setelah tampil dengan single Terang pada tahun lalu, penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza kini muncul pula dengan single terbaharu berjudul 7 Nasihat.

Menariknya, Siti Nurhaliza bergandingan dengan rapper yang semakin meningkat naik iaitu pasangan duo Kmy Kmo dan Luca Sickta yang bertindak selaku komposer dan turut membuat penampilan istimewa menerusi single tersebut.

“Sebagai seorang artis senior, sudah tentu saya tidak mahu ketinggalan dengan peredaran muzik semasa.

“Peluang bergandingan dengan mereka merupakan salah satu cara untuk saya mendekati peminat muzik dan pendengar yang lebih muda,” ujar beliau.

Menurut Siti, lagu 7 Nasihat ini adalah merupakan sebuah karya istimewa kerana ia menggabungkan elemen hip-hop, rap dan tradisional.

Jelas beliau, menerusi lagu ini juga ia dapat menyuntik minat generasi muda menghayati gabungan irama yang digarap dengan begitu baik sekali.

“7 Nasihat merupakan sebuah lagu yang bukan sahaja berpaksikan kepada elemen muzik kemelayuan, malah bait-bait katanya turut melambangkan kesantunan orang Melayu dalam memberi kritikan sosial menggunakan bahasa kiasan,” ujar beliau.

Single terbitan Siti Nurhaliza Productions dengan kerjasama Universal Music Malaysia ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 20 Februari 2020. – KopiPlanet.com

Siti Nurhaliza Tidak Patah Semangat, Mahu Terus Aktif Berbasikal

Biarpun mengalami kecederaan lutut dalam satu pertandingan berbasikal anjuran sebuah bank Sabtu lalu, penyanyi no.1 negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyatakan insiden itu tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan aktiviti sukan tersebut.

Menurut Siti, suaminya iaitu Datuk Seri Khalid Jiwa juga tidak memberi halangan kepadanya untuk terus aktif dengan hobinya selepas insiden berkenaan.

“Kecederaan yang dialami tidak mematahkan semangat saya dan ia bukanlah kecederaan serius. Alhamdulillah, saya berjaya habiskan kayuhan dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat yang tidak putus-putus mendoakan dan mengambil berat tentang saya.

“Suami saya pun tidak menghalang saya untuk terus berbasikal sebab dia tahu saya seorang yang lasak dan kuat semangat. Bagi saya semua benda yang kita buat mesti ada risikonya,” katanya.

Siti ditemui pada majlis kerjasama Simplysiti bersama Shopee yang diadakan di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur hari ini.

Siti turut berkongsi yang dia ‘merawat’ sendiri kecederaan lutut kirinya berbekalkan pengalamannya menjaga suami yang pernah terlibat dengan kemalangan jalan raya suatu ketika dahulu.

“Saya buat sendiri ‘dressing’ luka ini sebab dah biasa balut luka suami yang pernah terlibat kemalangan sebelum ini,” ujarnya lagi.

Siti mengalami kecederaan lutut kiri ketika ingin mengelak tayar basikal seorang peserta yang tercabut dalam kayuhan yang berlangsung di Lebuh Raya Lekas, malam Sabtu lalu.

Walaupun cedera, Siti tetap berjaya menamatkan kayuhan sejauh 78 kilometer itu dan usahanya itu mendapat pujian daripada pengikut di laman sosial Instagramnya. – KopiPlanet.com

Koleksi Raya Creacion Siti Nurhaliza Ketengahkan Konsep Art Deco

Penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza mengetengahkan konsep Art Decorative sebagai tema bagi koleksi raya tahun ini untuk jenama pakaiannya, Creacion by Siti Nurhaliza.Busana Creacion mengambil insprirasi daripada art deco yang cukup popular di Perancis sejak tahun 1920-an lagi.

Sebanyak 43 koleksi pelbagai warna diperkenalkan dan antara warna yang dipilih tahun ini seperti merah, hijau dan warna-warna pastel seperti coklat, merah jambu dan biru lembut.

Menurut Siti, uniknya koleksi art deco ini ialah ia menampilkan corak garisan selaras dan senada yang membuatkan si pemakai bukan sahaja kelihatan kemas malah juga kelihatan eksklusif.

“Aidilfitri adalah saat yang mencipta memori istimewa dan berbekalan dan disebabkan itu kesemua rekaan yang dipersembahkan ini adalah bertujuan untuk mengembalikan nostalgia indah, kenangan raya yang pastinya mengindahkan lagi suasana di pagi raya peminat setia Creacion.

“Untuk tahun ini sebanyak 89 helai kurung moden dan jubah pelbagai warna dan corak dihasilkan bagi memenuhi kehendak pelanggan. Creacion memang mementingkan konsep ‘less is more’ agar baju kurung ini bukan sahaja boleh digayakan ketika hari raya sebaliknya turut juga boleh dibawa ke pejabat dan majlis-majlis lain,” katanya kepada KopiPlanet.com selepas majlis pertunjukan fesyen raya Creacion & SimplySiti by Siti Nurhaliza 2019 yang berlangsung di Malaysia Petroleum Club, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Harga setiap koleksi eksklusif ini didatangkan pada harga mampu milik iaitu dari lingkungan RM200 hingga RM350 sehelai.

Bagi yang mahu sedondon dengan anak perempuan, Creacion turut memperkenalkan satu koleksi iaitu Sara dan Sofia Kurung untuk kedua ibu dan anak bergaya bersama dengan rekaan baju kurung moden berwarna kuning dan kelabu itu. Pakaian kanak-kanak dijual pada harga RM90.

Buat yang mahu dapatkan koleksi Creacion Raya 2019, anda boleh mengunjungi butik Creacion berdekatan bagi mendapatkan baju raya anda! – KopiPlanet.com

 

View this post on Instagram

 

Ibu yang tak sabar..koleksi #CREACIONNOSTALGIARAYA tahun ni ada baju kurung ibu&anak tau ..

A post shared by Siti Nurhaliza Tarudin (@ctdk) on

Foto: Instagram Creacion

Siti Nurhaliza, Hijjaz Bakal Jayakan Makan Malam Amal Karnival Mahabbah 1.0

Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan kumpulan nasyid terkenal Hijjaz menjadi pilihan untuk menjayakan majlis makan malam Karnival Mahabbah 1.0 yang akan berlangsung pada 24 April ini.

Pengarah program, Mohd. Hafizullah Mohd. Tahir berkata, pemilihan kedua-dua artis berkenaan adalah berdasarkan faktor pengaruh yang dimiliki mereka.

“Ketika sesi membuat pemilihan, kami mencari artis yang mampu menarik orang ramai ke acara itu. Misalnya, Siti dipilih kerana beliau bukan sahaja disukai segenap lapisan masyarakat, malah dalam kalangan ustaz dan ustazah pun ramai yang meminatinya.

“Alhamdulillah, proses untuk mendapatkan Siti bagi menjayakan majlis makan malam amal ini berjalan dengan lancar, malah kami berbesar hati dengan kesediaan beliau menyertai usaha ini,” ujarnya.

Karnival Mahabbah 1.0 anjuran Masjid Muhibbuddin Shah, Ipoh itu akan berlangsung dari 24 April sehingga 28 April di Stadium Indera Mulia, Ipoh, manakala Majlis Makan Malam Amal bersama Siti dan Hijjaz akan berlangsung pada 24 April jam 8.30 malam.

Sebanyak tiga kategori meja akan dijual untuk persembahan itu iaitu platinum (RM5,000), Gold (RM3,000) dan Silver (RM2,000). Untuk pembelian tiket boleh hubungi talian 017-5232302 (Ustaz Azhari) atau 013-4866153 (Ustaz Bukharie).

Ketika ditanya mengenai tujuan penganjuran tersebut, Hafizullah menjelaskan matlamat utamanya adalah mencari dana untuk masjid tersebut bagi keperluan perbelanjaan ketika bulan Ramadan nanti.

Ujarnya, selain majlis makan malam amal itu, terdapat banyak lagi aktiviti yang berlangsung selama lima hari seperti pembukaan lot kedai jualan, program keusahawan, buffet amal, ceramah agama, persembahan buskers dalam kalangan imam di masjid berkenaan serta pelbagai lagi.

Sementara itu, Siti yang turut hadir ke majlis sidang media majlis berkenaan memberitahu persetujuannya untuk terlibat sama kerana menghulurkan sesuatu kepada mereka yang memerlukan dengan melihat ia satu tangunggjawab sebagai seorang umat Islam.

“Sebagai orang Islam, saya merasakan ini hanyalah satu peranan kecil yang dapat dilakukan untuk membawa masyarakat supaya lebih dekat dengan masjid.

“Lagipun, masjid tidak seharusnya dilihat sebagai tempat ibadat semata-mata, malah kita perlu sedar bahawa masjid juga merupakan pusat aktiviti masyarakat setempat,” jelasnya.

Pada masa sama, Siti juga berharap agar para peminatnya bukan sahaja di Ipoh, tetapi di utara agar dapat turun beramai-ramai dan memberi sokongan kepada acara karnival dan majlis makan malam itu nanti.

Ujarnya, dia akan menguar-uarkan tentang karnival berkenaan di laman sosialnya dan berharap agar apa yang dilakukan mendapat keberkatan daripada Allah.

“Untuk persembahan nyanyian pula, saya akan mempersembahkan lagu-lagu kerohanian serta lagu-lagu pop yang mempunyai mesej ketuhanan,” jelasnya. – KopiPlanet.com

Pernah Berkayuh 30km, Siti Nurhaliza Jadikan Berbasikal Aktiviti Rutin

Dengan hanya bermula sebagai hobi sejak kira-kira dua tahun yang lalu, penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza kini menjadikan berbasikal sebagai aktiviti rutin.

Menurut Siti, ia merupakan aktiviti yang paling digemari oleh dirinya dan suami dan sekiranya mempunyai masa terluang, ia akan diisi dengan melakukan aktiviti berkenaan.

“Kini ia menjadi minat saya yang sangat mendalam. Paling jauh saya pernah mengayuh basikal adalah sejauh 30 kilometer.

“Selain dapat meningkatkan stamina, apa yang paling menyeronokkan apabila dapat melakukan aktiviti ini beramai-ramai serta mendapat lebih ramai kenalan baharu,” ujar beliau.

Menurut Siti, dengan melakukan aktiviti sebegini juga ia dapat memberi peluang untuk beliau melakukan aktiviti riadah bersama suami tercinta.

Ujar beliau lagi, memandangkan dia selalu berkongsi aktiviti tersebut di laman sosial, ramai peminat yang memberikan kata-kata semangat, malah ada yang ingin turut serta.

“Apabila ramai yang mahu menyertai saya, ia telah memberikan idea untuk menganjurkan aktiviti berbasikal bersama para peminat,” ujarnya.

Jelasnya, sememangnya sejak kecil lagi dia memang sudah aktif berbasikal, misalnya kalau beliau pergi ke sekolah atau ke pasar. – KopiPlanet.com

Aura Siti Nurhaliza Masih Berbisa, Kekal Penghibur No.1 Negara

Konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour di tiga negara akhirnya melabuhkan tirai pada malam Sabtu lalu. Kehangatannya cukup dirasai lebih 10,000 peminat yang memenuhi segenap inci ruang dalam Axiata Arena, Kuala Lumpur.Masih berbisa! Itu yang boleh disimpulkan selepas menonton keseluruhan konsert mega penyanyi no.1 negara ini.

Memulakan tirai persembahan dengan segmen lagu Etnik Kreatif, Siti memilih lagu Badarsila sebagai lagu pembukaan sebelum meneruskan persembahan dengan seleksi lagu lain seperti Joget Berhibur, Joget Kasih Tak Sudah, Nirmala, Balqis, Hati Kama dan menamatkan segmen pertama itu dengan lagu berhantunya, Cindai.

Segmen itu turut didedikasikan Siti kepada komposer yang banyak berjasa kepadanya iaitu Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah.

Untuk segmen kedua, Siti memilih lagu-lagu balada popular dendangannya seperti Jawapan Di Persimpangan, Jerat Percintaan, Wajah Kekasih, Bila Harus Memilih, Cuba Untuk Mengerti, Intrig Cinta, Bisakah dan Biarlah Rahsia yang turut di’sing-along’ bersama puluhan ribu peminat dalam stadium itu.

Siti juga tidak ketinggalan menceritakan memorinya bersama seorang lagi komposer yang cukup yakin dengan bakatnya iaitu Allahyarham Datuk Adnan Abu Hasan. Menurut Siti, beliau tidak akan melupakan jasa Adnan dan isterinya yang sudi menumpangkannya ketika di awal kerjayanya di Kuala Lumpur.

Dalam pada bergembira, Siti juga tidak lupa akan tragedi pencemaran bahan kimia di Pasir Gudang, Johor dan insiden tembakan pengganas di Christchurch, New Zealand. Siti mengetuai 10,000 peminat bertafakur selama seminit bagi mendoakan kesejahteraan kesemua mangsa yang terlibat dalam dua tragedi tersebut.

Sebelum memasuki segmen ketiga, Siti menjemput penyanyi Indonesia, Tulus bagi menyanyikan lagu Seindah Biasa bersama-samanya.

Meneruskan momentum konsert, Siti kemudiannya meneruskan dengan lagu Percayalah, Bukan Cinta Biasa, Purnama Merindu, Anta Permana, Jaga Dia Untukku, Destinasi Cinta, Lebih Indah dan menutup persembahan dengan Bersandar Cinta.

Ternyata aura anak jati Kuala Lipis, Pahang ini tidak perlu dipertikaikan apabila stamina Siti dilihat cukup bertenaga sepanjang lebih dua jam durasi persembahan.

Sebelum KL, Siti terlebih dahulu menjayakan konsert jelajah di Jakarta, Indonesia dan Singapura.

Konsert Siti Nurhaliza On Tour dibawakan oleh Shiraz Projects dan Aubrey Suwito merupakan pengarah muzik bagi konsert tersebut.

Penyanyi Indonesia, Yura Yunita dan penyanyi kacukan Jerman-Malaysia, Natasha Sass telah dipilih menjadi artis pembukaan konsert di KL. – KopiPlanet.com

Foto: Instagram CTDK

Akhirnya… Pengikut Instagram Siti Nurhaliza Cecah Enam Juta

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menjadi artis dan rakyat Malaysia pertama yang mencapai enam juta pengikut di laman sosial Instagram.

Dengan jumlah berkenaan, penyanyi berkenaan mengungguli carta dengan menjadi artis tempatan yang mempunyai paling ramai pengikut Instagram.

Sebelum ini, instagram Siti Nurhaliza dan Neelofa menjadi perhatian netizen yang mahu melihat siapa antara mereka yang mampu mendapat enam juta pengikut terlebih dahulu.

Sementara itu, berada di kedudukan kedua pula pelakon dan pengacara MeleTOP iaitu Neelofa yang setakat ini mengumpul pengikut Instagram seramai 5.9 juta.

Berada di kedudukan ketiga pula adalah pelakon Nora Danish yang mempunyai pengikut Instagram seramai 5.7 juta. Sebelum ini, pelakon berkenaan pernah berada di tangga pertama sebelum dipintas oleh Neelofa.

Sementara itu, pelakon dan pelawak Zizan Razak pula menjadi artis lelaki yang mempunyai paling ramai pengikut Instagram iaitu seramai 5.6 juta. – KopiPlanet.com

Kredit foto: Instagram Datuk Seri Siti Nurhaliza

Siti Nurhaliza, Faizal Tahir Galas Tugas Juri Tetap Big Stage

Dua penyanyi popular popular, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir dipilih sebagai juri tetap program terbaharu terbitan Astro, Big Stage.

Siti selaku juri tetap melihat program ini sebagai satu inisiatif baharu bagi mengetengahkan lagi  penyanyi-penyanyi muda berbakat besar agar lebih dikenali.

“Sebagai juri, saya akan sentiasa memberi komen membina bagi menambah baik persembahan setiap peserta. Ada di antara peserta yang saya pernah lihat persembahan mereka di Youtube dan Smule.

“Saya merasakan Big Stage merupakan platform yang sangat bagus untuk mereka, biarpun ada yang pernah menyertai pertandingan nyanyian sebelum ini. Jadi, mereka dah mempersiapkan diri untuk menjadi seorang penyanyi yang bagus. Mereka perlu gunakan peluang ini dengan sebaiknya,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Siti ditemui pada majlis pelancaran Big Stage di Chamber 3, Kuala Lumpur hari ini. Big Stage merupakan pertandingan nyanyian di kalangan penyanyi muda masa kini yang digelar Budak Baru Nak Up (BBNU).

Seramai 10 penyanyi mengambil bahagian iaitu Tajul, Wani Kayrie, Andi Bernadee, Sarah Suhairi, Sissy Iman, Fara Hezel, Baby Shima, Arif Barhan, Afieq Shazwan dan anak Saleem Iklim, Syafiq Farhain.

Sementara itu, Faizal Tahir pula menyifatkan format rancangan ini sesuatu yang segar dan perkara itu membuatkannya tertarik untuk terlibat sama dengan produksi Big Stage.

“Format Big Stage memberi satu perubahan segar dalam industri seni dan para pesertanya pula merupakan barisan artis muda yang boleh menyanyi.

“Kami di sini akan menjalankan tugas menegur dalam cara untuk mengajar mereka memperbaiki lagi mutu persembahan,” kata Faizal.

Bakal memulakan siaran pada 5 Ogos ini, Big Stage akan dihoskan oleh Sherry Al-Hadad dan Alif Satar. Konsert mingguan Big Stage akan bersiaran langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) selama lapan minggu pada setiap Ahad jam 9 malam.

Ernie Zakri pula dilantik sebagai guru vokal yang akan mengajar teknik nyanyian buat para peserta. Setiap minggu peserta akan dinilai oleh juri tetap dan nasib tiga peserta di kedudukan terendah akan ditentukan pula menerusi undian di aplikasi Tik Tok.

Peserta yang mendapat undian terendah akan disingkirkan pada setiap minggu. Selama lapan minggu pertarungan, para peserta akan diberikan cabaran lagu mengikut tema-tema tertentu yang telah ditetapkan pihak produksi.

Juara Big Stage akan memenangi wang tunai RM100,000 beserta trofi sumbangan Astro dan pemenang tempat kedua serta ketiga pula bakal membawa pulang wang RM50,000 dan RM25,000 serta trofi.

Sementara itu, pelakon Eyra Hazali dan Harris Anuar pula diberi peranan sebagai hos Big Stage Live Plus yang akan disiarkan menerusi platform digital.

Big Stage akan disiarkan menerusi Astro Ria (104) dan Ria HD (123). – KopiPlanet.com

Keluar Dengan Produk Baru, Siti Harap SimplySiti Tembus Indonesia

Penyanyi yang juga merupakan usahawan produk kosmetik SimplySiti, Datuk Seri Siti Nurhaliza berhasrat ingin menembusi pasaran negara seberang, Indonesia.

Menurut Siti, beliau sangat berharap impiannya itu akan terlaksana memandangkan sudah lama memasang niat untuk membawanya ke luar negara.

“InsyaAllah, saya sedang berbincang dengan rakan perniagaan di Indonesia dan sekiranya semua perancangan berjalan lancar ia pasti terlaksana.

“Memang menjadi cita-cita saya untuk melihat produk SimplySiti memasuki pasaran Indonesia dan berharap bersempena ulangtahun kelapan jenama ini, ia bakal terlaksana,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Siti ditemui pada majlis pelancaran produk terbaharu SimplySiti, Gold Edition serta ulangtahun kelapan jenama itu di Menara KL, baru-baru ini.

Rangkaian koleksi SimplySiti Gold Edition yang diformulasi dengan Soft-Focus Technology dan Gold Dust memberikan kilauan emas bagi menaikkan seri muka.

“Saya cukup berterima kasih kepada pengguna setia SimplySiti yang selama ini tidak berhenti menyokong produk kami.

“Untuk produk terbaharu ini sempena meraikan ulangtahun kelapan penubuhan SimplySiti, kami datangkan dengan empat produk terkini iaitu Cushion Foundation, Shading Blusher dan lima rona warna untuk Matte Lip Cream,” katanya lagi.

Produk SimplySiti boleh didapati di cawangan Watson terpilih, laman sesawang SimplySiti, aplikasi Shopee dan ahli-ahli SimplySiti Elit. – KopiPlanet.com

Kredit foto: Instagram Datuk Seri Siti Nurhaliza