• FOLLOW US

Penyanyi Tersohor Siti Nurhaliza Selamat Lahirkan Bayi Perempuan

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza telah selamat melahirkan seorang bayi perempuan di sebuah pusat perubatan di ibu kota kira-kira pukul 8.17 pagi tadi.

Menerusi kenyataan yang dibuat pengurusnya, Rozi Abdul Razak, penyanyi berkenaan melahirkan bayi seberat 3.55 kilogram menerusi pembedahan.

“Siti dan bayi berada dalam keadaan baik dan buat masa ini hanya kaum keluarga terdekat saja diberi kebenaran untuk melawat.

“Suami beliau, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa turut melahirkan rasa syukur kerana segalanya telah selamat. Apa yang penting bagi beliau adalah proses melahirkan berjalan dengan baik, isteri dan anaknya juga sihat,” ujarnya.

Menurut Rozi, Siti dan suami juga ingin mengucapkan terima kasih di atas doa dan sokongan daripada ahli keluarga, rakan-rakan, peminat dan juga pihak media sejak dari awal kehamilan sehinggalah melahirkan.

Ujarnya, pasangan ini memilih hari Isnin untuk kelahiran anak pertama mereka kerana bersamaan dengan hari kelahiran Nabi Muhammad (Rasulullah s.a.w) selain jatuh pada tarikh 1 Rejab.

“Buat masa ini Siti mahu diberi ruang untuk berehat dan menumpukan perhatian pada hari-hari awal bergelar ibu. Mengenai wajah dan nama anak, Siti dan Khalid meminta diberi sedikit masa sebelum mengumumkannya,” jelasnya. – KopiPlanet.com

Siti Nurhaliza Teruja Peminat Hadiahkan Pakaian Bayi

Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengakui sangat teruja apabila dihadiahkan pakaian bayi oleh para peminat kesayangannya.

Siti berkata, beliau sangat menghargai hadiah-hadiah yang telah diberikan oleh para peminatnya dan menganggap ia merupakan rezeki buat diri dan bayi yang akan lahir nanti.

“Mengenai persiapan, ketika ini saya masih belum sempat lagi membeli perabot untuk bayi. Untuk pakaian pula, saya bersyukur dan berterima kasih kerana banyak mendapat hadiah pakaian bayi daripada peminat.

“Ini semua adalah rezeki daripada Allah untuk saya dan bayi. Lagipun peminat-peminat saya berbesar hati untuk bagi dan ia merupakan tanda kasih mereka kepada saya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Pembukaan Jakel & Ariani Ostia Bangi yang berlangsung pada pagi tadi.

Menurut beliau, memandangkan menerima terlalu banyak hadiah pakaian bayi, penyanyi itu tidak bercadang untuk membeli lagi pakaian bayi.

Berkenaan dengan tawaran mendapat tajaan sempena kelahiran cahaya mata sulung beliau, Siti menyatakan memang terdapat ramai pihak yang memberikan tawaran kepadanya.

“Saya akui memang ada yang datang berjumpa dan mahu memberikan tajaan, cuma saya tidak mahu terlalu menguar-uarkan mengenainya.

“Selain itu, tiada juga sebarang program televisyen untuk kelahiran cahaya mata saya ini kerana ingin melalui proses kelahiran ini dengan keadaan yang sangat tenang. – KopiPlanet.com

Siti Nurhaliza Umum Bakal Timang Anak Perempuan

Teka-teki mengenai jantina bayi yang dikandung penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza akhirnya didedahkan sendiri oleh beliau menerusi satu entri di laman sosial Instagramnya, pagi ini.

Menerusi video yang dikongsikan itu, Siti mengumumkan dia dan suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa bakal menimang cahaya mata perempuan yang dijangka lahir bulan Mac ini.

“Nak kongsikan dengan semua sempena birthday Siti, Insya-Allah apa yang kami nanti-nantikan, doktor sahkan anak kami adalah ‘puteri’.

“Doakan zuriat kami sihat dan menjadi anak solehah. Alhamdullillah, terima kasih atas doa semua dan semoga semuanya selamat,” katanya.

Siti membuat pengumuman itu bersempena ulang tahun kelahirannya yang ke-39 hari ini.

Sementara itu, Siti turut menyatakan penghargaannya terhadap kebanyakan stesen radio tempatan yang mendedikasikan segmen khas buatnya bersempena hari jadinya yang disambut hari ini, 11 Januari.

Antara stesen radio yang mengadakan slot khas dendangan lagu-lagu popular nyanyian anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu adalah seperti Sinar FM, Suria FM, Kool FM dan Hot FM. – KopiPlanet.com

Kredit foto:  Instagram Datuk Seri Siti Nurhaliza

“Boleh Tengok Macam Mana Saya Pujuk Suami” – Siti Nurhaliza

Pelbagai ‘drama’ menarik yang mewarnai percutian Datuk Seri Siti Nurhaliza sekeluarga bakal ditayangkan secara eksklusif menerusi program travelogue CTDK-ation.

CTDK-ation yang memaparkan gelagat serta ragam 24 ahli keluarga penyanyi popular itu akan ditayangkan selama 10 minggu bermula 29 Disember ini di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (132).

Malah Siti turut mendedahkan ada beberapa sedutan khas bakal ditayangkan seperti babak di mana beliau memujuk suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa yang pada ketika itu sedang marah.

“Macam-macam ‘drama’ sepanjang 20 hari kami bercuti, maklumlah rombongan kami ramai di tempat baru, pelbagai ragamlah yang keluar.

“Kalau nak tengok macam mana Datuk K marah dan macam mana saya pujuk dia, jangan lupa tengok program ini. Bukan senang nak mengumpulkan ahli keluarga bercuti ramai-ramai begini,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media CTDK-ation di Great Eastern Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Rombongan yang disertai keluarga besar Siti itu telah menjalani penggambaran Oktober tahun lalu.

Turut menyertainya ialah ibu Siti, Siti Salmah Bachik, ibu mertuanya, Siti Zainab Hanafi serta anak-anak tiri penyanyi itu, Adib, Ashraf dan Aazief.

Portugal, Sepanyol dan Dubai menjadi pilihan rombongan tersebut kerana ingin menyulusuri sejarah Islam di sana pada suatu ketika dahulu. CTDK-ation mendapat kerjasama Ziarah Harmoni Travel and Tours dan Dubai Tourism.

Menceritakan lagi pengalaman menarik sepanjang bercuti, Siti berkata, bilik ibu dan ibu mertuanya sering menjadi perhatian ahli rombongan memandangkan mereka sempat membawa stok makanan kering dan sambal dari Malaysia bagi menghilangkan kerinduan terhadap masakan Melayu.

“Bilik ibu dan ibu mertua sentiasa jadi tumpuan kami anak-beranak memandangkan mereka bawa stok makanan sambal, bilik merekalah yang paling meriah sekali,” seloroh Siti yang kini sedang hamil enam bulan.

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal berkata, pihaknya memang mencari masa yang sesuai untuk menayangkan CTDK-ation biarpun sudah lebih setahun rakaman program itu berlangsung.

Menurutnya, bulan ini dipilih memandangkan bersesuaian dengan cuti hujung tahun yang mana ramai orang mengambil kesempatan menghabiskan cuti bersama-sama keluarga.

“Program ini tidak pernah dikeluarkan lagi di mana-mana platform dan memang kami simpan sehingga hujung tahun ini kerana ia mempunyai nilai eksklusifnya yang tersendiri.

“Ini kerana kalau kita tengok ahli keluarga Siti kebanyakan dikenali ramai dan sekarang memang masa yang sesuai untuk ditayangkan kerana akhir tahun adalah masa orang pergi bercuti,” katanya. – KopiPlanet.com

Tahniah! Siti Nurhaliza Dikurniakan Gelaran Datuk Seri

Selepas hampir 22 tahun melibatkan diri dalam bidang seni, penyanyi No. 1 negara, Datuk Siti Nurhaliza dikurniakan Darjah Kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri pada majlis Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-87 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, Pekan, pagi ini.

Watch Now!