• FOLLOW US

Irina Kolesnikova Penari Balet Bertaraf Dunia Beraksi Di Istana Budaya

Persembahan teater muzikal ballerina bertaraf dunia kebiasaannya selalu diadakan di kota metropolitan dunia seperti di London dan New York, namun pentas Istana Budaya kali ini terpilih dalam kalendar jelajah produksi St Petersburg Ballet Theatre (SPBT).

Menurut pengasas dan pemilik SPBT, Konstantin Tachkin, dia melihat pentas Istana Budaya suatu lokasi persembahan bertaraf dunia dan semestinya ia satu kebanggaan buatnya dan pasukan apabila dapat mengadakan pementasan di situ.

“Istana Budaya satu tempat yang cantik, kami berbesar hati untuk mengadakan persembahan di sini malah pentasnya juga sangat sesuai dengan persembahan klasikal Swan Lake yang akan dipertontonkan nanti.

“Persembahan balet ini adalah satu bentuk seni yang sangat indah dan diharapkan kami dapat memupuk minat anda semua di sini untuk cintakan tarian balet,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sidang media teater Swan Lake di Istana Budaya, Kuala Lumpur semalam.

Swan Lake bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 26, 27, dan 28 Julai ini bermula jam 8.30 malam.

Tiket-tiket berharga RM455 (Diamond), RM345 (Platinum), RM245 (Gold), RM155 (Silver) dan RM95 (Bronze) boleh didapati menerusi www.myticket.asia atau hubungi hotline 012-2560082.

Sementara itu, bintang ballerina yang akan mengetuai seramai 45 penari balet lain iaitu Irina Kolesnikova pula melahirkan perasaan teruja dan tidak sabarnya untuk menjayakan persembahan di hadapan peminat di Malaysia.

“Walaupun sudah banyak kali saya memainkan watak ini saya tidak pernah berasa bosan sebab saya sentiasa menambah baik persembahan agar dapat timbulkan kelainan.

“Balet ini bukan hanya satu tarian sebaliknya ia turut melibatkan bakat lakonan menerusi mimik muka sejajar dengan watak yang dimainkan.

“Bila orang beri tepukan itu suatu perkara yang memuaskan hati saya apabila persembahan kami dapat diterima ramai pihak,” ujar Irina.

Swan Lake dibawakan oleh SPBT dengan kerjasama Shiraz Projects Sdn. Bhd. SPBT sebelum ini telah menjelajah ke pentas teater bertaraf dunia di London, Paris, Sydney dan Singapura bagi mempamerkan aksi ballet Swan Lake.

Swan Lake mengisahkan karya klasik tentang Putera Siegfried yang jatuh cinta dengan Puteri Angsa Odette, seorang wanita cantik yang bertukar menjadi angsa putih setelah terkena sumpahan ahli sihir Rothbart. Ia memaparkan kisah bagaimana cinta sejati akhirnya menang dan menguasai segalanya termasuk mematikan hasad dengki individu yang berhati busuk. – KopiPlanet.com

Swan Lake Irina Kolesnikova Bakal Dipentaskan Di Istana Budaya

Penari balet utama wanita antarabangsa Irina Kolesnikova bersama rakan-rakan bintang produksi St Petersburg Ballet Theatre bakal menajayakan sebuah pementasan memukau di Istana Budaya, Kuala Lumpur berjudul Swan Lake bermula 26 hingga 28 Julai ini.

Ditubuhkan pada 1994, St Petersburg Ballet Theatre bukan sahaja terkenal dengan jurulatih penari Vaganova tetapi juga sebuah produksi yang menghasilkan karya seni yang cukup menakjubkan.

Diterajui penari ballet utama, Irina Kolesnikova, produksi tersebut telah menggembara ke seluruh dunia untuk mempersembahkan karya klasik daripada himpunan karya agung seperti Giselle, Don Quixote, La Bayadere, Romeo and Juliet serta The Nutcracker dan Sleeping Beauty.

Pertama kali dipentaskan di St Petersburg, Rusia pada 1895, Swan Lake merupakan salah satu produksi tarian balet paling popular di dunia dengan aksi ‘white acts’ yang sukar ditandingi serta suasana dewan tarian yang menakjubkan.

Swan Lake mengisahkan putera Siegfried ketika muda yang jatuh cinta dengan Puteri Angsa Odette, seorang wanita yang bertukar menjadi angsa putih setelah terkena sumpahan ahli sihir Rothbart. Ini adalah sebuah kisah bagaimana cinta sejati menguasai segalanya.

Swan Lake dibawakan oelh St Petersburg Ballet Theatre dengan kerjasama Shiraz Projects Sdn. Bhd.

Tiket pementasan dijual pada harga RM455 (Diamond), RM345 (Platinum), RM245 (Gold), RM155 (Silver) dan RM95 (Bronze) menerusi laman web www.myticket.asia. – KopiPlanet.com