• FOLLOW US
Event, Hiburan

Irina Kolesnikova Penari Balet Bertaraf Dunia Beraksi Di Istana Budaya

Persembahan teater muzikal ballerina bertaraf dunia kebiasaannya selalu diadakan di kota metropolitan dunia seperti di London dan New York, namun pentas Istana Budaya kali ini terpilih dalam kalendar jelajah produksi St Petersburg Ballet Theatre (SPBT).

Menurut pengasas dan pemilik SPBT, Konstantin Tachkin, dia melihat pentas Istana Budaya suatu lokasi persembahan bertaraf dunia dan semestinya ia satu kebanggaan buatnya dan pasukan apabila dapat mengadakan pementasan di situ.

“Istana Budaya satu tempat yang cantik, kami berbesar hati untuk mengadakan persembahan di sini malah pentasnya juga sangat sesuai dengan persembahan klasikal Swan Lake yang akan dipertontonkan nanti.

“Persembahan balet ini adalah satu bentuk seni yang sangat indah dan diharapkan kami dapat memupuk minat anda semua di sini untuk cintakan tarian balet,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sidang media teater Swan Lake di Istana Budaya, Kuala Lumpur semalam.

Swan Lake bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 26, 27, dan 28 Julai ini bermula jam 8.30 malam.

Tiket-tiket berharga RM455 (Diamond), RM345 (Platinum), RM245 (Gold), RM155 (Silver) dan RM95 (Bronze) boleh didapati menerusi www.myticket.asia atau hubungi hotline 012-2560082.

Sementara itu, bintang ballerina yang akan mengetuai seramai 45 penari balet lain iaitu Irina Kolesnikova pula melahirkan perasaan teruja dan tidak sabarnya untuk menjayakan persembahan di hadapan peminat di Malaysia.

“Walaupun sudah banyak kali saya memainkan watak ini saya tidak pernah berasa bosan sebab saya sentiasa menambah baik persembahan agar dapat timbulkan kelainan.

“Balet ini bukan hanya satu tarian sebaliknya ia turut melibatkan bakat lakonan menerusi mimik muka sejajar dengan watak yang dimainkan.

“Bila orang beri tepukan itu suatu perkara yang memuaskan hati saya apabila persembahan kami dapat diterima ramai pihak,” ujar Irina.

Swan Lake dibawakan oleh SPBT dengan kerjasama Shiraz Projects Sdn. Bhd. SPBT sebelum ini telah menjelajah ke pentas teater bertaraf dunia di London, Paris, Sydney dan Singapura bagi mempamerkan aksi ballet Swan Lake.

Swan Lake mengisahkan karya klasik tentang Putera Siegfried yang jatuh cinta dengan Puteri Angsa Odette, seorang wanita cantik yang bertukar menjadi angsa putih setelah terkena sumpahan ahli sihir Rothbart. Ia memaparkan kisah bagaimana cinta sejati akhirnya menang dan menguasai segalanya termasuk mematikan hasad dengki individu yang berhati busuk. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend