• FOLLOW US

Ahli Perniagaan Kuantan Pemilik Tudung Termahal Di Dunia

Seorang wanita yang juga merupakan ahli perniagaan dari Kuantan, Pahang mencipta rekod tersendiri apabila menjadi pemilik tudung termahal di dunia.

Tudung jenama Bawal Exclusive yang berharga RM50,000 itu dihasilkan dengan jenama kristal antarabangsa iaitu Swarovski.

Pemilik jenama Bawal Exclusive, Haliza Maysuri berkata, tempahan yang diterima melalui butik Byqiss by Bawal Exclusive yang dimiliki Datin Hamizan Putih itu diterima pihaknya pada Februari lalu.

“Selepas tempahan diterima, kami menghantar fabrik tudung itu ke kilang Swarovski di Austria. Ia mengambil masa selama tiga bulan dan rekaan yang terdapat pada tudung ini juga adalah berdasarkan pilihan pemilik sendiri.

“Ternyata ia merupakan tudung paling mahal di dunia dan kami begitu berbangga apabila pemiliknya adalah seorang ahli perniagaan wanita dari Kuantan,” ujarnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya tentang status pemilik tudung tersebut, Haliza tidak mendedahkan secara terperinci kerana memenuhi permintaan pelanggannya.

“Tidak dinafikan tudung paling mahal di dunia ini merupakan pelanggan tetap jenama kami. Beliau adalah seorang ahli perniagaan yang berjaya, malah sebelum ini juga beliau pernah menempah tudung berharga RM17,000.

“Tudung yang dibelinya ini juga bukan sekadar sebagai perhiasan memandangkan difahamkan beliau juga mahu tudung tersebut terus diwarisi dalam keluarganya,” ujarnya. – KopiPlanet.com