• FOLLOW US

Pengasas Bawal Exclusive Beri Amaran Keras Kepada Penciplak Tudung Keluarannya

Sebanyak 4,901 helai tudung tiruan jenama Bawal Exclusive yang dianggarkan bernilai RM73,965.00 telah berjaya dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hasil serbuan yang dilakukan di dua buah premis di Kuala Lumpur dan Alor Setar, Kedah semalam.

Menerusi siasatan yang dilakukan, KPDNHEP mendapati tudung tiruan itu telah menyalahguna cap dagang Bawal Exclusive di bahagian tag tudung tiruan tersebut.

Menurut pengasas Bawal Exclusive, Haliza Maysuri, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang di atas kesalahan menciplak tanda dagang jenama keluarannya itu.

“Tudung di bawah jenama Bawal Exclusive sudah lali ditiru rekaannya sejak dahulu lagi tapi kali ini sudah melampau apabila mereka turut menciplak tag dagang kami pada setiap tudung yang dijual mereka.

“Saya terkilan bila hal ini berlaku sebab bukan senang nak usahakan jenama Bawal Exclusive sejak 21 tahun lalu dan pihak tidak bertanggungjawab ini senang-senang sahaja rosakkannya.

“Kepada usahawan-usahawan baharu yang ingin memulakan perniagaan sebegini, ciptalah jenama anda sendiri. Berniagalah dengan penuh etika, baru berkat dan berjaya.

“Bawal Exclusive tidak akan berdiam diri, kami ingin lindungi hak dan jenama ini dan apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ambil tindakan, ia diharap menjadi iktibar kepada yang lain semoga perkara ini tidak berulang, di masa akan datang,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sidang media yang berlangsung di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah peguam mewakili jenama itu, Ahmad Hafiz Zubir.

Kes tersebut disiasat bawah Seksyen 8 (2) Akta Perihal Dagangan 2011 yang mana pesalah boleh disabitkan hukuman denda sehingga RM20,000 bagi setiap helai tudung tiruan yang diniagakannya. – KopiPlanet.com

Isu Video: Pihak Pengurusan Aiman Tino Cari Jalan Terbaik

Penyanyi Aiman Tino menyatakan pihak pengurusannya kini sedang mencari jalan terbaik berhubung isu sebuah video sedang beronani yang sudah mula viral.

Aiman menerusi laman Instagramnya berkata, dia berharap agar isu berkenaan tidak dipanjangkan dan akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya ia terus dibangkitkan.

“Berhubung isu yang sedang tular, Aiman dan pihak pengurusan sedang memuktamadkan jalan terbaik bagi memastikan isu ini dapat diselesaikan dengan segera dan tidak berlarutan.

“Diharapkan isu ini tidak dipanjangkan lagi dan tindakan undang-undang bakal diambil jika ada pihak cuba membangkitkan semula sehingga menjadikannya berlarutan,” jelasnya.

Menurut Aiman, dia juga memohon maaf kepada semua pihak terutama teman media yang telah banyak membantu karier seni dan menzahirkan rasa terima kasih yang tidak berbelah bahagi terhadap sokongan dan keprihatinan terhadap kariernya.

“Kepada peminat setia, terima kasih atas nasihat serta sokongan berterusan anda. Aiman sayang ada semua,” ujarnya mengakhiri kata-kata. – KopiPlanet.com

Terima Gambar Lucah Buat Andi Bernadee Serik

Penyanyi yang mula mendapat perhatian selepas videonya menyanyikan lagu Tak Tun Tuang menjadi viral, Andi Bernadee mendedahkan dirinya pernah menerima gambar lucah yang dikirimkan peminat menerusi aplikasi direct message (DM) di laman Instagramnya.

Menurut Andi, disebabkan sering kali berhadapan dengan situasi sebegitu, dia kini lebih berhati-hati dalam membalas setiap mesej dan komen peminatnya.

“Mula-mula saya balas mesej-mesej yang diterima, tetapi bila mereka dah mula bagi gambar bukan-bukan seperti bergambar dengan pakai coli, saya dah berhenti balas mesej mereka.

“Sejak insiden itu, saya lebih berhati-hati dalam membalas komen dan mesej peminat,” kata Andi ketika ditemui pada Majlis Pengenalan Menu Flavours by SBU Cafe di Shah Alam hari ini.

Walaupun namanya kini semakin dikenali sebagai penyanyi, anak kelahiran Sabah itu tidak menolak pelawaan sekiranya dilamar mana-mana pihak untuk berlakon.

“Saya memang minat berlakon, cuma kena belajar teknik-teknik lakonan dulu. Baru-baru ini saya terserempak dengan Kak Ogy, beliau buka kelas lakonan kan. Mana tahu saya boleh sertai kelas beliau nanti sekiranya diberi peluang untuk berlakon,” katanya yang mengakui masih belum mempunyai kekasih hati.

Sementara itu, dalam perkembangan aktiviti nyanyiannya, Andi boleh berbangga apabila muzik video penuh lagu cover Tak Tun Tuang telah berjaya mencatatkan jumlah tontonan sebanyak 1.6 juta hanya dalam masa selama tiga minggu sahaja sejak ia mula dimuat naik di laman Youtube.

Ketika ditanya tidakkah dia ingin berduet dengan penyanyi asal lagu tersebut iaitu Upiak Isil, Andi berkata dia sememangnya ingin berkolaborasi dengan Upiak sekiranya diberikan peluang.

Ujarnya, walaupun dikenali ramai sebagai ‘Abang Tak Tun Tuang’, namun Andi kini lebih selesa jika dirinya dikenali dengan nama komersilnya sendiri iaitu Andi Bernadee.

“Orang dah mula kenal saya sejak lagu itu jadi viral, sampaikan kanak-kanak pun panggil saya Abang Tak Tun Tuang. Namun, kalau boleh lepas ini saya harap lebih dikenali dengan nama komersil saya sendiri iaitu Andi Bernadee,” ujar jejaka berusia 26 tahun ini.

Andi kini sedang sibuk mempromosikan single terbaharunya, Tiada Lagi Maaf dan lagu duetnya dengan Anis Al-Idrus berjudul Tak Guna. – KopiPlanet.com