• FOLLOW US
Viral

Pengasas Bawal Exclusive Beri Amaran Keras Kepada Penciplak Tudung Keluarannya

Sebanyak 4,901 helai tudung tiruan jenama Bawal Exclusive yang dianggarkan bernilai RM73,965.00 telah berjaya dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hasil serbuan yang dilakukan di dua buah premis di Kuala Lumpur dan Alor Setar, Kedah semalam.

Menerusi siasatan yang dilakukan, KPDNHEP mendapati tudung tiruan itu telah menyalahguna cap dagang Bawal Exclusive di bahagian tag tudung tiruan tersebut.

Menurut pengasas Bawal Exclusive, Haliza Maysuri, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang di atas kesalahan menciplak tanda dagang jenama keluarannya itu.

“Tudung di bawah jenama Bawal Exclusive sudah lali ditiru rekaannya sejak dahulu lagi tapi kali ini sudah melampau apabila mereka turut menciplak tag dagang kami pada setiap tudung yang dijual mereka.

“Saya terkilan bila hal ini berlaku sebab bukan senang nak usahakan jenama Bawal Exclusive sejak 21 tahun lalu dan pihak tidak bertanggungjawab ini senang-senang sahaja rosakkannya.

“Kepada usahawan-usahawan baharu yang ingin memulakan perniagaan sebegini, ciptalah jenama anda sendiri. Berniagalah dengan penuh etika, baru berkat dan berjaya.

“Bawal Exclusive tidak akan berdiam diri, kami ingin lindungi hak dan jenama ini dan apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ambil tindakan, ia diharap menjadi iktibar kepada yang lain semoga perkara ini tidak berulang, di masa akan datang,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sidang media yang berlangsung di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah peguam mewakili jenama itu, Ahmad Hafiz Zubir.

Kes tersebut disiasat bawah Seksyen 8 (2) Akta Perihal Dagangan 2011 yang mana pesalah boleh disabitkan hukuman denda sehingga RM20,000 bagi setiap helai tudung tiruan yang diniagakannya. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend