Cerita ArtisHiburan

Takdir Tercipta Kembali Temukan Semula Adira & Hafiz Suip

Setelah pernah mencipta fenomena menerusi lagu Ombak Rindu dan Untuk Cinta, dua penyanyi popular iaitu Adira dan Hafiz Suip kembali ditemukan semula menerusi duet terbaharu mereka iaitu Takdir Tercipta.

Lagu berentak balada berkenaan turut diangkat sebagai lagu runut bunyi drama bersiri ‘Lelakimu Yang Dulu’ lakonan Sharnaaz Ahmad dan Nelydia Senrose yang bakal bersiaran di slot Akasia TV3 mulai 19 September ini.

Takdir Tercipta merupakan hasil gubahan komposer Ikhwan Fatanna dan Ayden Ali manakala lirik lagu pula ditulis oleh Ikhwan Fatanna bersama penerbit drama ‘Lelakimu Yang Dulu’ iaitu Arisz Ab Rahman. Lagu berkenaan turut mendapat sentuhan magis komposer dan penerbit terkenal, Omar K sebagai penerbit rakaman.

Lagu runut bunyi yang menepati plot drama ‘Lelakimu Yang Dulu’ ini berkisar tentang pasangan kekasih yang menggenggam kemas jodoh pertemuan mereka atas dasar mereka diciptakan untuk saling melengkapi dan ditakdirkan untuk hidup bersama.

Persembahan Hafiz dan Adira yang penuh penghayatan dalam lagu Takdir Tercipta berjaya memberi jiwa kepada penceritaan lagu ini serta keserasian dan keharmonian vokal pasangan duet ini dalam saling melengkapi persembahan vokal mereka sekali lagi terserlah menerusi single terbaharu mereka ini.

Mengulas tentang lagu duet ketiga bersama Hafiz ini, Adira menyatakan peluang kembali merakamkan lagu dengan Hafiz adalah suatu pengalaman yang menyeronokkan.

“Sudah lama kami tidak ditemukan dalam lagu. Bagi saya, Hafiz seorang yang sangat komited dan profesional dengan kerjanya. Saya melihat kelunakan suaranya dan kemahiran seni vokalnya merupakan kekuatan dia.

“Sejujurnya saya senang bekerja dengan Hafiz dan kerana itulah kami cepat serasi dalam berduet untuk sesebuah lagu. Saya harapkan Takdir Tercipta ini mendapat sambutan luar biasa dan sokongan tidak berbelah bahagi daripada peminat,” ujarnya.

Menariknya, single solo terkini Hafiz dan Adira iaitu ‘Kisah Cinta Kita dan Pujaan Hati masih mendominasi corong-corong radio tempatan dan carta lagu Malaysia sehingga kini adalah pencipta sama yang sama untuk duet Takdir Tercipta.

Mengulas tentang ini, Hafiz berkata, “Sebenarnya tak dirancang pun untuk menggunakan penulis lagu yang sama untuk lagu duet ini. Saya kira ini merupakan kebetulan saja kerana komposer Ikhwan Fatanna dan Ayden Ali sering bekerja rapat dengan pihak Nova Music.

“Secara peribadinya, saya memang suka dengan karya-karya ciptaan mereka. Alhamdulillah, kerjasama kami dalam Kisah Cinta Kita menjadi dan mendapat sambutan luar biasa peminat. Begitu juga dengan sambutan luar biasa peminat untuk lagu Pujaan Hati nyanyian Adira,” jelasnya.

Hafiz meluahkan bahawa harapannya untuk melihat Takdir Tercipta berjaya mencipta fenomena tersendiri dan sekurang-kurangnya mendapat sambutan yang baik seperti lagu-lagu solo mereka.

“Lagipun sudah lama kami tidak berduet, jadi saya harap agar para penggemar muzik tempatan dapat menerima baik lagu duet ini.

“Semoga usaha kami untuk kembali berduet atas permintaan peminat dihargai kerana lagu ini memang kami persembahkan khas buat peminat yang setia menyokong kami,” jelas Hafiz lagi yang turut menyatakan bahawa gandingan mereka secara duet adalah kerana mereka hanya muncul empat tahun sekali saja untuk berduet. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button