• FOLLOW US
Event, Hiburan

Tayangan Ola Bola Percuma Di Empat Negeri Sempena Hari Kemerdekaan

Demi membangkitkan semangat patriotisme, penerbit Ola Bola The Musical, Puan Sri Tiara Jacquelina membawakan pementasan Ola Bola Merdeka Tour di empat buah negeri bermula 31 Ogos ini.

Jelajah Ola Bola Merdeka Tour akan singgah di Pulau Pinang, Kuching, Sarawak, Kota Kinabalu, Sabah dan Kuantan, Pahang.

Menurut Tiara, inisiatif itu diambil bagi mengembalikan sambutan bulan kemerdekaan yang dirasakan semakin suram diraikan pada saban tahun.

“Saya tidak tahulah mengapa sejak kebelakangan ini hari kemerdekaan dirasakan sama seperti hanya cuti awam normal. Sambutan itu sudah semakin tidak dirasakan dan atas sebab itu, saya ingin membawakan pementasan Ola Bola Merdeka Tour ke empat negeri ini.

“Selain menghangatkan sambutan merdeka, kami juga ingin berterima kasih kepada peminat yang sentiasa menyokong jenama Ola Bola. Jika sebelum ini mereka sering kali bertanya bila Ola Bola hendak dibawa ke luar Kuala Lumpur, kali ini kami bawakan ia secara percuma untuk anda semua,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sidang media Ola Bola Merdeka Tour yang berlangsung di Matic, Jalan Ampang, Kuala Lumpur hari ini.

Pementasan di Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Kuantan akan dipentaskan dalam versi showcase apabila ia dipadatkan menerusi tempoh sejam persembahan manakala penonton di Kuching berpeluang menyaksikan pementasan penuh seperti yang dipentaskan di Istana Budaya sebelum ini.

Ola Bola Merdeka Tour yang dianjurkan Enfiniti (M) Sdn Bhd akan memulakan jelajah di Majestic Theathre, Pulau Pinang pada 31 Ogos diikuti di Stadium Perpaduan Kuching (6-8 September), Kompleks JKKN Sabah (18 September) dan Auditorium Darul Makmur, RTM Pahang (21 September).

Tiket boleh didapati di lokasi persembahan diadakan. Ola Bola Merdeka Tour menampilkan Altimet, Luqman Hafidz dan Brian Chan. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend