• FOLLOW US
Event, Gaya Hidup

UPAG UTP Sasar Raih Emas Di Festival Tarian Antarabangsa

Kecemerlangan Kumpulan Kesenian & Kebudayaan Universiti Teknologi Petronas (UPAG) diteruskan lagi apabila mereka terpilih untuk mewakili negara ke Pertandingan Festival Tarian Antarabangsa di Cheonan, Korea Selatan pada 12 hingga 16 September ini.

Seramai 32 pelajar UTP yang terdiri daripada berbilang bangsa terlibat dalam pertandingan tersebut yang berada di bawah kelolaan ketua mereka, Toh Jian Heng.

Pernah memenangi Kategori Penari Terbaik sebelum ini, tahun ini UPAG menyasarkan untuk memenangi juara keseluruhan yang mana berpeluang membawa pulang wang tunai RM41,452 (US$10,000).

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik & Alumni Universiti Teknologi Petronas, Profesor Madya Dr Nor Hisham Hamid, UTP berbangga dapat mewakili Malaysia yang mana sekali gus dapat menjadi pemangkin kepada orang luar untuk lebih mengenali tarian tradisional negara.

“Kami berbangga dapat mewakili Malaysia, untuk menjadikan tarian dan budaya Malaysia relevan untuk negara luar kita pertama sekali perlu tingkatkan rasa cinta rakyat pada keseniaan dan kebudayaan tradisional. Diharapkan dengan sedikit usaha kami ini akan dapat memperkenalkan budaya Malaysia kepada seluruh dunia,” katanya kepada pihak media.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar UTP, Profesor Madya Dr Nurlidia Mansor pula berkata, “Kami menggalakkan pelajar menceburi bidang luar akademik, beri kebebasan termasuk mereka koreografi mereka sendiri.”

“Pelajar yang terpilih menyertai UPAG bukan calang-calang orang yang mana kami akan pilih pelajar yang memperolehi CGPA melebihi 3 pointers dan ke atas.

“Ini kerana pertandingan ini memerlukan mereka yang sangat berdisplin, yang mana pelajar harus tahu menyeimbangkan antara masa belajar dan juga pertandingan tarian ini.

“Menariknya lagi, UPAG turut diwakili pelajar daripada pelbagai bangsa di Malaysia seperti Melayu, Cina, Kadazan Dusun dan Melanau,” ujarnya.

Ketua pelajar UPAG, Toh Jian Heng berkata, mereka bakal bersaing dalam empat kategori iaitu International Folk Dance, Street Dance Parade & Performance, Solo & Duet (Best Dancer Competition) dan The Funny Dance Battle.

“Menerusi empat kategori ini, kami sasarkan untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat emas. Kami berbangga dengan penyertaan dan dapat mewakili Malaysia dalam memartabatkan tarian dan budaya kebangsaan di mata dunia,” katanya. – Kopiplanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend