Cerita ArtisHiburan

Vanessa Reynauld Tampil Dengan Putus… Kisah Cinta Yang Tidak Mampu Diselamatkan

Setelah meraih perhatian menerusi program The Masked Singer Malaysia (TMSM), penyanyi Vanessa Reynauld terus mengorak langkah dalam kerjaya seninya.

Menyarung kostum Rajah Brooke dalam program berkenaan, gadis berusia 20 tahun itu kini tampil dengan lagu baharu berjudul Putus.

Tidak dinafikan, vokal penyanyi kelahiran Klang, Selangor ini cukup memukau apalagi mendendangkan lagu berentak balada.

Bukan setakat merdu, bahkan kelunakan suaranya menjadi kelebihan untuk menyuntik jiwa dalam setiap lagu dinyanyikan. Demikian juga untuk lagu Putus ini.

Lagu hasil ciptaan komposer tersohor, Farouk Roman dan lirik ditulis Amylea Azizan ini jelas menyerlahkan kemantapan laras vokal Vanessa.

Meskipun ceritanya bukanlah ditulis mengikut pengalaman penyanyi itu sendiri, bukan penghalang kepada penyampaian yang cukup mendayu daripada Vanessa.

Menariknya, lagu berkenaan dipilih antara runut bunyi untuk drama Takdir Yang Tertulis arahan pengarah tersohor, Shahrulezad Mohameddin.

Drama dibintangi Nazim Othman, Nad Zainal, Elvina Mohamad, dan Alvin Chong itu bakal mengisi slot Samarinda TV3 bermula pada Januari 2021.

Mana tidak, dia sendiri merasakan kesakitan dialami pasangan bercinta dalam lirik lagu ini. Biarpun tiada kaitan dengan dirinya, Vanessa menyifatkan Putus adalah sebuah hasil tulisan yang begitu mendalam.

Menurut Vanessa, tiada siapa inginkan percintaan yang menyakitkan dan seseorang patut berhak mendapat pasangan jauh lebih bagus.

“Putus mengisahkan pasangan bercinta yang menempuh turun dan naik dalam hubungan mereka. Lagu Putus ini bercerita mengenai hubungan yang sudah tawar dan sangat toksik.

“Ini disebabkan sebelah pihak melakukan sesuatu hal yang mengakibatkan mereka berdua sudah tidak boleh bersama meskipun masih saling mencintai.

“Apa yang saya nak pendengar belajar daripada lagu ini adalah sekiranya terperangkap dalam hubungan toksik, jangan teruskan. Hal itu hanya menambah derita sendiri semata-mata kerana percaya masih sayangkan dia dan tidak mungkin bertemu yang lebih baik.

“Tinggalkan saja kerana kamu berhak mendapat seseorang yang jauh lebih menghargai,” katanya mengenai lagu berkenaan.

Yang pasti, Vanessa tidak mengambil remeh proses pembikinan lagu ini dan meletakkan sepenuh jiwa untuk menghidupkannya.

Biarpun tidak terbabit langsung dengan penulisan lagu itu sendiri, baginya tugas sebenar perlu digalasnya adalah tidak lain untuk mendalami serta menjiwai karya berkenaan.

“Untuk lagu ini, tanggungjawab saya hanya untuk menyanyikan saja dan tidak terbabit pun dalam proses pembikinannya. Lagu ini memang sudah siap terlebih dulu sebelum diberikan kepada saya.

“Saya dengar, belajar melodi, dan rakam lagu. Proses rakaman mengambil masa selama dua hari.

“Saya cuma belajar plot cerita dalam lagu ini dan menyampaikan dengan pengalaman yang pernah saya lihat sendiri dalam perhubungan orang lain. Saya sendiri tidak pernah melalui pengalaman sebegini,” katanya.

Vanessa juga tidak menafikan semestinya berdepan cabaran tertentu untuk melunaskan lagu ini. Menurutnya, bahagian paling susah dalam Putus adalah untuk menyampaikannya dengan sepenuh jiwa.

Ini kerana ia membawa maksud yang sangat berat manakala dirinya sendiri tidak pernah mengalami kisah cinta begitu.

“Saya dapat salurkan kesedihan itu menerusi pengalaman melihat sendiri hubungan orang terdekat. Agak mencabar jugalah memandangkan ia bukan daripada pengalaman sendiri. Memang susah untuk saya memberi corak emosi yang tepat namun tetap berusaha menyanyikan Putus sebaiknya,” katanya.

Vanessa mulai mencuri perhatian dalam bidang seni suara selepas mewakili Malaysia dalam pertandingan Water Cube Cup Worldwide Chinese Singing Competition di Beijing, China di mana dia mendapat naib juara. Penyanyi ini turut mencuba nasib dalam pertandingan Astro Ceria Megastar.

Tidak ketinggalan, pembabitannya dalam program TMSM begitu membuka mata lebih ramai peminat hiburan tempatan dengan kemantapan vokalnya dan dia berjaya mendapat naib juara.

Corak nyanyiannya yang bertaraf antarabangsa turut mendapat perhatian ramai pengikutnya di media sosial. Dengan jumlah pengikut lebih 74,000 di Instagram, dia turut popular di TikTok.

Putus boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button